Sunday, May 31, 2009

Lesson from the past


"Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, 'Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan, dan (penduduk) negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata; maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi mereka lah yang menganiaya diri mereka sendiri" (QS. At-Taubah: 70)

Banyak dalam al-Qur'an yang Allah bawa kepada kita kisah-kisah tentang umat terdahulu. Mereka yang ingkar dan azab yang Allah beri terhadap keingkaran mereka. Agak-agaknya kenapa Allah banyak kisahkan tentang mereka ni ya? Seperti pentas memainkan wayang, diulang-ulang kembali..

Tapi sesuatu yang sangat menyentuh hati saya ialah betapa sayangnya Allah kepada kita.
Betapa banyak ayat-ayat cintaNya kepada kita, disampaikan dengan penuh kasihNya untuk mengingatkan supaya memilih jalan yang benar dalam kehidupan kita.
Betapa banyak ayat-ayat cintaNya yang mengingatkan kita supaya tidak tunduk kepada syaitan lantas tertipu dan mengakhiri ujian dunia ini dengan pilihan yang salah.
Betapa banyak peringatan yang diberiNya supaya kita tetap memilih yang benar dan yang baik menurut kehendakNya supaya kita mendapat balasan yang malah tidak terkata hebat keindahannya di akhirat kelak.
SEMUANYA UNTUK KITA.
malah, ALLAH TIDAK RUGI SEDIKITPUN andai kita memilih jalan yang salah.
TETAPI KITALAH YANG RUGI.

"..dan kehidupan di dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu" (57:20)

Dunia ini hanyalah sebuah permainan dan senda gurau. Persis kita sedang bermimpi. Bagaimana mungkin seseorang itu mahu mengecapi sesuatu yang sebenarnya merupakan sesuatu khayalan sahaja? Mahu jadi popular malah bermegah-megah dengan sesuatu yang palsu sahaja. Come on, wake up!!! Bangunlah dari khayalan ini! Ad-dunya mazraatul akhirah. Dunia ini ladang kepada akhirat. Ayuh, masih banyak yang kita perlu cucuk tanam di sini supaya kelak kita dapat memungut hasilnya di akhirat! Janganlah tertipu dengan kehebatan dunia yang sementara, tetapi kejarlah nikmat akhirat yang kekal selamanya itu!!!

Mungkin itu juga apa yang cuba dibawa oleh Rasul-rasul kepada umat mereka. Cukuplah dengan segala yang kalian telah lakukan, bertaubatlah! Kembalilah kepada redha Tuhan!

Lalu, dengan kasih sayang dan Maha Kuasa Allah, diberi para Rasul ini dengan mukjizat bagi menunjukkan betapa mereka sebenarnya sedang membawa kebenaran. Hakikat sebuah kehidupan. Lantas apakah yang menyebabkan umat manusia ini tetap berpaling? Tetap tidak mahu menerima hakikat kebenaran itu?

Di situlah pada saya, terletak sikap manusia yang masih mahu menyimpan egonya. Manusia ego! Manusia yang tahu bahawa itu adalah kebenaran, tetapi tetap enggan menerimanya kerana ego! Degil kerana ego! Berapa ramai manusia yang mahu mengakui kesalahan mereka? berapa ramai manusia yang mahu mengakui kelemahan mereka? Malah berapa ramai manusia yang masih kekal dengan ego walau terbukti dengan jelas kebenaran itu di hadapan mereka?

Mungkin kita dengan mudah akan berkata daripada kisah umat-umat terdahulu.."Betapa bodohnya mereka! Sanggup mengorbankan diri dengan azab sedangkan kebenaran itu sudah jelas dan nyata dihadapan mereka. Bagaimana anak nabi Nuh itu sanggup berpegang pada ego sedang tentunya gunung yang tinggi pun tidak mampu menyelamatkannya daripada azab Allah."
Bukan mereka tidak percaya, tetapi mereka ego. Manusia ego. Lalu Allah menyebabkan hati mereka bertambah gelap langsung tidak mendapat cahayaNya.

Saya bukan hanya membicarakan tentang mereka umat-umat terdahulu semata, tetapi tentang kita sebagai manusia. Kita yang mungkin saja masih mempunyai hati yang dikuasai ego.
Runtuhkanlah tembok ego yang masih menekan hati kita daripada menerima kebenaran!
Kerana kita tidak rugi sedikitpun dengan jatuhnya martabat kita untuk menerima kebenaran,
kita tidak rugi sedikitpun andai kehilangan ego...
tetapi kita membuka ruang untuk menerima cahaya Ilahi yang suci
dan pastinya Allah akan membalas kita dengan nikmat yang berganda-ganda hebatnya.

"Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amalnya dengan cukup dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gulita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, hampir-hampir dia tiada dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun" (24:39-40)

Ayuh, runtuhkan tembok ego kita!
Tiada yang berhak untuk memegang ego itu melainkan Allah. Kita manusia yang dicipta dengan kekurangan masing-masing. Bukanlah si pemberi nasihat itu merasakan dirinya lebih baik. Bukanlah yang menegur itu merasakan dirinya sudah umpama malaikat. Tetapi atas dasar kasih sayang, atas dasar cintanya dia kepada manusia sejagat dan keinginannya untuk bersama-sama dengan mereka di syurga kelak. Atas dasar kasih sayang ini, tangan ini sedia dihulur untuk dipimpin dan memimpin agar kita tetap berada di dalam jalan Tuhan yang benar.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahukbar.
Astaghfirullah.


1 comment:

Nabilah Farhana Yahya said...

insyaAllah..kita mampu meruntuhkan tembok ego kita...saling mengingati sesama kita..thnx kak kd..nice post..