Thursday, August 16, 2012

Kejutan yang manis!


Akhirnya, hari terakhir sekolah sebelum cuti! Entah kenapa tahun ini saya ternanti-nanti untuk cuti sekolah. Mungkin kerana lambakan kerja dan pelajar-pelajar yang sangat tak bersemangat nak belajar kerana menantikan cuti menyebabkan saya juga turut berharap untuk cepat-cepat bercuti. Atau sebenarnya saya mengharapkan cuti kerana stok EBM (expressed breast milk) yang sudah habis lalu mengharapkan cuti supaya saya dapat terus DF (direct feed) Hazim. Juga Alhamdulillah syukur, hingga ke saat ini (Hazim 8 bulan) saya masih menyusukan Hazim sepenuhnya. Terima kasih atas rezeki dari-Mu, ya Allah.

Kejutan untuk saya, ada sekeping kad dan sekotak hadiah di atas meja saya. Pertama kali menerima kad raya daripada pelajar di zaman kad raya sepertinya sudah agak asing buat mereka. Daripada Nini (bukan nama sebenar). Eh, siapa ni? Saya tertanya-tanya. Ah, teruknya! Takkan saya tak ingat pelajar yang agak baik dengan saya?

Saya terus membuka kotak hadiah tersebut. Di dalamnya ada sekeping surat berlipat kemas. Saya membaca surat panjang tersebut dan hampir menitiskan air mata. Subhanallah! Daripada seseorang yang tidak saya duga. Pelajar yang telah lama hilang tanpa khabar berita dan dengan kuasa Allah menghubungkan kami semula. (Padanlah saya tak tahu siapa Nini sebab itu nama panggilannya di rumah!)

Ini bukan kisah biasa.

Tahun 20XX saya dilantik menjadi guru tingkatan 2 kelas nombor 4. Di pertengahan tahun saya dikejutkan apabila mengetahui salah seorang pelajar kelas ini mengandung! Terasa seperti mahu pengsan. Rasa bersalah yang amat sangat. Astaghfirullah, bagaimana keadaan ini boleh terjadi! Lebih menggemparkan bila diperiksa kandungannya sudah mencecah 5 bulan, dan saya langsung tidak perasan perubahan pada dirinya! Malah ibunya juga baru mengetahui keadaan anaknya bila pihak sekolah menghubungi dia. Akhirnya kes dia dirujuk kepada bahagian kaunseling juga menjadi kes polis dan atas faktor keselamatan dia terpaksa dipindahkan dan dirahsiakan keadaannya. Oleh kerana itu saya langsung tidak mendengar khabar berita darinya sejak itu.
Alhamdulillah, saya fikir ini hadiah yang cukup besar buat saya di Ramadhan kali ini. Moga Allah melimpahkan kepada dirinya dan kita semua dengan hidayah dan taufik-Nya. Semoga kita terus berusaha mengubah diri menjadi yang lebih baik dan terus-terusan istiqamah dalam kebaikan.

Dalam keadaan saya rasa agak mustahil untuk kembali berhubung dengannya, Allah itu lebih berkuasa. Mungkin tugas saya belum selesai, lalu Allah pertemukan kembali  saya dengannya. Moga diberi petunjuk oleh Allah untuk terus membimbing manusia (termasuklah diri saya sendiri!) dan kekuatan untuk melaksanakannya.

Allah, Allah..
pada-Nya kita semua berharap.
Moga Allah mengampunkan dosa-dosa kita.


Ramadhan Kareem!
27 Ramadhan 1433H