Showing posts with label refleksi. Show all posts
Showing posts with label refleksi. Show all posts

Wednesday, October 15, 2008

hamba dunia

Hari ini selesai satu kerja di tapak pameran, dua minggu lagi perlu kerja di pameran yang lainnya pula. Saya menyangka selepas menghantar tesis segalanya akan menjadi lapang semula, tapi oh..masih banyak kerja rupanya. Badan yang semakin tua ini pun sudah terasa sakitnya. Itulah ragamnya menjadi student, hidup dengan assignment..kalau tidak mengerti tujuan hidup yang sebenarnya, pastinya saya menjadi penyembah assignement, study serta hiburan sekali-sekala. Betapa berjayanya 'mereka' menyibukkan kita dengan hal-hal ini sehingga kita hampir saja menjadi 'pak turut' dalam setiap perkara. Masakan tidak, digerun-gerunkan pula dengan bayangan kerja dan godaan harta kekayaan ketika bekerja. Manusia pun menjadi hamba dunia. Oh!~~ (harapnya saya tidak begitu! Ya Allah, mohon dijauhkan..)

Kelakar. Sejak dari pagi tadi saya mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak diketahui. Tahu-tahu saja orang itu bertanya kepada saya, "Apakah kamu pergi casting hari itu?"
Saya terkejut? Casting apa? Saya tak pernah di'simen', kalau pergi casting untuk berlakon apatahlagi. Rupa-rupanya orang itu dari syarikat penggambaran, kononnya saya pernah membawa anak saya yang bernama Farah mengikuti uji bakat di syarikat mereka. Dengan penuh yakin wanita di talian itu meminta saya membawa anak saya ke PJ esok untuk berlakon 2 scene. Malas membuang masa, saya berterus terang yang dia telah menghubungi nombor yang salah.
(Kasihan 'Farah' , kecil-kecil lagi telah didedahkan dengan dunia fantasi sebegitu.. Glamor? Ah, apa kelas!)

Manusia menjadi hamba dunia.
apakah mereka lupa,
dunia ini hanya sebentar..
dan tak sehebat mana..
dibandingkan pula dengan kehebatan SYURGA!


Membina tangga ke syurga..mahukah kamu ku ajak ke sana?

Monday, September 8, 2008

break!


Lamanya dah tak menulis.
Sebenarnya sedang menulis sesuatu yang saya dah lama sangat teringin nak gembar-gemburkan. Sesuatu yang kita jarang sekali ambil kisah (saya kot)... tapi masalahnya tak terhabis-habis tulis lagi. (dan kerja sedang menimbun) huhu..

Sekarang sedang sangat busy dengan aneka juadah report untuk berbuka serta projek-projek yang masih tersangkut-sangkut. What can I say... saya sangat rindukan Ramadhan dan terasa sangat sedih kena bergelumang with all these stuff sampai kadang-kadang seperti meng'anak-tiri'kan Ramadhan ini.

Oh-oh, kena buat semua kerja..
...Lillah, Ma'aLlah, Ila Llah

"Life in pursuit of Allah's blessings"

Friday, August 22, 2008

Saya mahu Merdeka!


Baru pulang daripada operasi membedah buku bersama-sama. Sedih juga terpaksa meninggalkan dewan operasi separuh jalan, tetapi bagi menunaikan hak dan tanggungjawab yang lain saya turutkan juga. Huu..melepas BBQ malam ni! :P (takpe2, sabaaaar...takde rezki tu..)

Setelah begitu lama teringin membaca dan mendalami buku-buku fikrah, alhamdulillah diberi juga kesempatan untuk mendapat sedikit sebanyak input yang memang sangat berguna dan membantu saya untuk berfikir dengan lebih mendalam lagi. Buku 'Salah Faham terhadap Islam' ataupun judul bahasa inggerisnya, 'Islam the Misunderstood Religion' karangan Muhammad Qutb, siapa dah baca?? Saya baru pertama kali, dan ternyata...sangat menarik!!!! Waaaahhh..

Semasa tengah membedah-bedah tu secara tak langsung saya dapat mengaitkan dengan sejarah-sejarah yang sedang saya cuba dalami. "Oh, padanlah..", "Hmm..macam tu ke?" dan bermacam lagi kata-kata yang terkeluar secara refleks sepanjang pembacaan saya bersama teman-teman. Huu.. tak sabar nak habiskan pembacaan ni. Buku ni bukan sekadar untuk mengetahui pandangan orang bukan islam yang dah tersalah faham terhadap islam, tetapi juga pandangan kita umat islam yang ada tersalah faham terhadap agama sendiri. (adake patut? ish..3x) Untuk level pembaca, saya mencadangkan buku ini untuk dibaca oleh orang-orang yang sudah mengetahui tentang islam sehingga terbit keyakinan dalam diri mereka yang islam itu benar, sangat berminat dengan islam, sudah belajar mengenai sejarah islam (contohnya dalam isk), suka berfikir dan begitu bersemangat untuk memperjuangkan islam (cewah.. banyak requirements tu! bukan apa, dengan cara ini akan memudahkan kefahaman dalam pembacaan anda..serius!)

Saya baru selesai membedah enam bab bersama mereka, ada lagi lebih kurang 13 bab yang belum selesai. Harap dapat disudahkan sebelum pulang ke kampus (yuk, berusaha!!). Walaupun hanya beberapa bab yang berjaya diselimuti (covered), sekurang-kurangnya saya nampak sesuatu yang dapat dikaitkan dengan sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini. Hmm.. apakah erti kemerdekaan buat anda?? Saya selalu teringin nak orang tanya saya soakan ni. Oleh kerana tak ada orang yang nak tanya, saya tanya soalan ini kepada diri saya sendiri ;)


Apakah erti kemerdekaan buat saya (si kuchinque yang perasan)...?
Kemerdekaan pada saya ialah apabila manusia itu merdeka daripada proses perhambaan kepada selain daripada Allah... dan itu juga yang dibawa oleh islam. Islam dan merdeka sangat sinonim. Menjadi seorang muslim itu ertinya merdeka. Kerana dia telah berjaya menundukkan seluruh jiwa dan raganya kepada ikatan tauhid yang satu, kepada Allah semata-mata. Jiwanya bebas daripada tunduk kepada kehendak al-hawa' (hawa nafsu), tunduk kepada kehendak manusia, tunduk kepada apa sahaja.. kecuali yang Terutama, Tuhan Yang Esa.

Seseorang itu merdeka dan bebas, kerana tidak tunduk kepada kehendak al-hawa' yang menyesatkan. Bayangkan kalau seisi dunia menurut kehendak nafsunya semata-mata. Atau nama lainnya, hak asasi manusia. Hak asasi yang dicipta sendiri oleh manusia, kononnya itu keperluan mereka tetapi sebenarnya berlandaskan nafsu semata-mata. Kalau berbicara tentang hak asasi manusia ini, tak akan selesai. Kerana setiap manusia akan cuba menegakkan bahawa mereka mempunyai hak asasi mereka yang tersendiri. Tidak ada garis panduan yang nyata. Manusia dan undang-undang yang diciptanya sendiri. Pernah dengar sang homoseks dan lesbian juga memohon hak asasi yang sama? Kononya itu hak asasi manusia. Itulah..bila manusia tidak mahu terima hukum dan aturan yang serba lengkap dari Tuhan. Dah siap-siap ada, ambil sajalah. Bukankah lebih mudah?

Seseorang itu merdeka dan bebas, kerana tidak perlu tunduk pada kehendak manusia dan masyarakat. Hendak memuaskan hati setiap orang, itu adalah mustahil. Seperti cerita Orang tua, anaknya dan keldai, terpaksa ikut setiap kata orang lain di sepanjang perjalanan. Itu memang sukar! Kehendak masyarakat sering berubah-ubah. Lihat sahaja para pemimpin masyarakat, pening kepala mencipta usul yang sesuai untuk memenuhi kehendak setiap lapisan masyarakat. Tapi jika masyarakat itu berpegang pada akidah yang satu, semua pun jadi mudah. Terima saja aturan Allah yang sudah tersergam indah, tanpa cacat cela dan sesuai untuk sepanjang masa.

Ya, merdeka itu juga ertinya bebas daripada penjajahan dan perhambaan. Kita pernah dijajah, juga masih dan sedang dijajah mungkin tanpa kita sedari. Kita masih menjadi hamba kepada sistem yang menjajah. Kita masih akur dengan sistem yang menjajah itu, seolah-olah itu yang terbaik untuk kita. Kita masih dijajah dan dibayangi dengan kehebatan kuasa-kuasa luar sedang kita punya kekuatan luar biasa sebagai muslim yang dianugerahi islam yang diturunkan khas dari Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Kita masih dijajah kerana kita masih tidak mampu bangun dan menggunakan seluruh kehebatan kita dek pemikiran kita yang masih memandang kehebatan bangsa penjajah lebih hebat daripada islam yang kita pegang ini. Kita masih dijajah apabila kita merasa mengikut cara hidup bangsa yang menjajah itu lebih baik daripada cara hidup islami. Kita lebih-lebih teruk dijajah apabila kita merasakan cara islam itu lapuk, kuno dan mundur dan cara bangsa penjajah itu hebat, moden dan maju. Secara tidak langsung, kita tak ubah seperti sang hamba abdi yang tetap merasakan hidup di bawah bayangan tuanmasnya biarpun telah berpuluh tahun diberi 'kemerdekaan'. Pemikiran hamba abdi yang tidak dapat merasakan nikmat kemerdekaan yang sebenar setelah hidup dibawah cengkaman tuanmas sehingga tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya mempunyai potensi luar biasa, malah lebih baik daripada tuanmas-tuanmas mereka, sekiranya mereka mengetahui.

Kasihan sungguh!
mereka mengatakan..kita telah 'merdeka'?
dan kita menyambutnya dengan riang gembira...hahahaha.

p.s: Untuk kefahaman lebih jelas sila baca buku 'Salah Faham Terhadap Islam' karya Muhammad Qutb. Segala yang ditulis di sini bukanlah diambil daripada buku ini, tetapi berdasarkan pemikiran cetek saya semata-mata. Harap maklum.

Wednesday, August 20, 2008

refleksi untuk hati

Alhamdulillah, V-chan sudah sihat kembali. Mobo rosak sedikit, juga sudah pulih. Sangka saya terpaksa bertukar lappy yang baru. Fikir juga, jika bertukar mahu bolos juga saku ini. Alhamdulillah, Allah masih lebih tahu yang V-chan masih mampu berbakti. Terus beraksi sehingga dirimu tinggal cebis-cebisan ya. Lepas ni saya harus menjagamu lebih baik, takut kamu pengsan lagi. Risau juga saya dibuatnya!

Alhamdulillah. Memang banyak yang saya perlu syukuri. Hebatnya perancangan Allah. V-chan pengsan tatkala saya sedang bercuti-cuti Malaysia di rumah. Andai V-chan sakit sewaktu saya dibebani kerja-kerja yang menimbun, pasti parah! Allah yang Maha Mengasihani dan Maha Bijaksana itu juga telah memberi saya ruang masa untuk membaca sementelah ketiadaan V-chan di sisi. Alhamdulillah, saya bisa menghabiskan sebuah buku yang memang indah (hmm..sebuah je ke?? Aisehhh..).

Sebuah buku yang indah dan masa-masa yang lebih indah untuk digunakan bersama keluarga. Priceless. Harga RM300 untuk merawat V-chan itu tidak lah terlalu mahal jika dibandingkan dengan nikmat anugerah Allah ini =D

Dalam kesempatan ini, saya ingin membuat sedikit review mengenai buku yang telah saya baca ini. Bukunya nipis, tapi padat dan sarat dengan isi yang hebat. Tajuknya, Bahagia di Jalan Takwa: Panduan Praktis Meneguhkan Hati. Saya tertarik membaca tajuk kecilnya. Panduan untuk meneguhkan hati. Kebetulan ketika itu, hati saya bagai dilanda resah seribu (juga faktor saya menulis entri yang bertajuk 'Ngeri').

Bila hati ini resah dan gundah gulana ibarat dilanda taufan, saya benar-benar rasa tidak selesa. Segalanya seperti tidak kena. Ya, hati itu pusat kawalan semua. Jika hati tidak sihat, seluruh jasad menerima padahnya (ingat hadis hati? Hadis keenam dari 40 Hadis Imam Nawawi). Di awal buku ini sahaja telah menyatakan peri pentingnya hati. Saya juga suka pada gaya bahasanya, lembut dan terus menusuk jiwa. Bukunya dalam Bahasa Indonesia, tetapi tidak menjadi masalah sebab tidak banyak bezanya. Setiap kata-kata yang dirujuk, dimampirkan nota kaki sebagai rujukan. Memang telus!

Selamatkan Hati!!!!
Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (bersih). (26:88-89)

Kita akan kembali kepada Allah. Benar. Tetapi bukan dengan membawa nama, pangkat dan harta. Bukan juga CGPA terbaik mahupun sijil yang berbuku-buku. Tidak, yang kita bawa hanyalah hati dan amal kita. Pentingnya untuk kita menyelamatkan hati kita ini adalah lebih penting daripada menyelamatkan CGPA yang dah nak merudum, mahupun sebuah laptop yang sedang meragam. Bukan begitu? Kerana tidak pasti bila kita akan dipanggil kembali. Kita tidak pasti keadaan kita di masa depan nanti. Adakah kita masih punya upaya untuk terus menjadi diri kita seperti di hari ini?

Ubat Hati
Banyak produk-produk kecantikan yang berada di pasaran sekarang. Dengan bermacam fungsi dan kehebatan masing-masing. Kaum-kaum wanita terutamanya, bekejar-kejaran ke sana ke mari hendak mencuba dan mendapatkan produk yang terbaik untuk wajah mereka. Tapi cuba lihat hadis ini pula:
Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa-rupa kalian, juga tidak pada badan-badan kalian, akan tetapi Dia melihat pada hati kalian dan amal perbuatan kalian. (Riwayat Muslim)

Hm..mana yang lebih penting? Hati atau wajah?
Kalau manusia boleh berusaha sedaya upaya, berhabis duit untuk kecantikan wajah. Kenapa tidak berusaha sedaya upaya, berhabis duit (dengan bersedekah) untuk mendapat kecantikan hati?? Sedangkan terang-terangan kita ketahui yang dinilai Allah nanti ialah hati. Bukan wajah?

Kalau manusia boleh berhabis sedaya upaya mencari ubat untuk menghasilkan produk kecantikan wajah, kenapa tidak boleh berusaha sehabis baik untuk menghasilkan produk untuk kecantikan hati? Sebagai ubat hati??? Sedang terlalu banyak penyakit yang bisa merosakkan hati ini.. Aduh, hati ini sifatnya berbolak-balik. Mungkin hari ini terasa sihat dan bugar kembali, esok lusa bagaimana?

Kalau semua orang pun faham kepentingan mencantikkan hati lebih daripada kencantikan fisik mereka, pasti fenomenanya berbeza. Setiap hari yang dicek dulu dihadapan cermin ialah keadaan hati (err..ada ke cermin yang boleh lihat hati?). Bila rasa hat kurang sihat, cepat-cepat di cari ubat penguat hati dan diusahakan pelbagai cara untuk mengubatinya. Yang lebih seronok lagi, semua orang pun saling bertanya tentang kondisi hati satu sama lain dan menyarankan produk (cara) yang mereka telah cuba untuk mengubati hati mereka. Waa..bestnye!! Bila hati semua orang pun baik, tak adalah penyakit-penyakit pelik dalam masyarakat. Dendam, iri hati, terikut-ikut hawa nafsu..dan lain-lain. Hmm...senang je cakap macam ni, realitinya?? Masih perlu digandakan usaha dalam menyentuh hati masyarakat, agar mereka bisa membuka hati dan menerima cahaya islam. Supaya hati kembali segar bugar dengan kefahaman islam yang sebenar......

Alhamdulillah. Buku ini telah menyenaraikan beberapa cara untuk meneguhkan hati, dalam iman dan amal kerana Allah. Insya Allah akan cuba dipraktikkan. Semoga dapat dimanfaatkan secepatnya.

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (3:8)

Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir. (2:250)

Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu. (59:10)

Ya Muqallibal quluub tsabbit quluubana 'ala diinik...

p.s: Buku Bahagia di Jalan Takwa, terbitan Insan Kamil. Pengarang Dr. Nashir Sulaiman Al-Umar dan Syeikh Muhammad Shalih al-Munajjid. Terjemahan Indonesia 2006. Judul Asal: Imtihanul Qulub, wasailuts tsabat.

Tuesday, August 5, 2008

Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Entah kenapa dua tiga hari ini, segala perkara yang berlaku banyak mereflek diri. Tambah-tambah lagi eksperimen fisiologi baru-baru ini juga melibatkan topik refleks. Mungkin telah tiba masa untuk saya kembali mereflek diri dan melihat segala sudut untuk dipertingkatkan =)

Tempoh hari


Kak A: Awak ni bagus betul. Sains pun pandai, melukis pandai, seni pandai, teknikal (guna komputer) pun pandai. Semua pun pandai.
Saya : Err..tak lah. Saya tak pandai teknikal-teknikal ni. Suka guna komputer je..


Hari ini

Selepas kelas
Cik B :
Tadi dalam kelas ada orang cakap awak hebat!

Saya : Erk.. kenapa?
Cik B : Ye lah. Awak belajar pandai. Pointer pun skor. Dulu dia ingat awak ni ulat buku.. dia tak sangka..
Saya : Hm, best la kalau saya dapat jadi ulat buku. hehe



Rezeki. itu sahaja yang dapat saya berikan jawapannya.
Semua orang punya rezeki yang berbeza. Mungkin rezeki saya dari sudut ini.
Rezeki@kelebihan ini semua kurniaan Allah yang dipinjamkan kepada saya. Sungguh lah tidak patut untuk saya membangga diri apatah lagi merasa obses terhadap kelebihan yang ada sehingga seperti ingin menunjuk-nunjuk di tengah khalayak.
Ya Allah, minta dijauhkan saya dari sifat ujub dan riya' yang bisa membinasakan diri ini.

Dari satu sudut, ini mungkin sahaja menjadi satu ujian untuk saya. Ujian yang berselindung disebalik kesenangan dan kelebihan yang ada. Ujian yang mungkin dinilai berdasarkan sejauh mana saya memanfaatkan segala kelebihan yang telah dipinjamkan kepada saya.

Kadang-kadang saya begitu mengharapkan diberi kelebihan-kelebihan dari sudut lain. Saya ingin menjadi pemandu yang cekap, saya mahu menjadi seorang yang bijak merancang dan mengurus, saya mahu pandai memasak makanan yang sedap-sedap dan banyak lagi. Tapi kadang-kadang dengan terlalu mengharap seperti ini, saya seolah-olah lupa akan kelebihan sedia ada yang telah dipinjamkan kepada saya. Apakah tidak cukup lagi??

"Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu d
ustakan?"
(55: 13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42, 45, 47, 49, 51, 53, 55, 57, 59, 61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75, 77)

Jika melihat dari sudut orang yang memandang saya sebagai seorang yang hebat (?), saya sepatutnya merasa sangat-sangat bersyukur atas pinjaman yang diberikan ini. Memang sangat banyak. Mungkin lebih banyak lagi daripada apa yang dilihat oleh orang lain. Tidak perlu menyenaraikan di sini, cukuplah Allah yang lebih mengetahui. Tetapi, perlu dikira juga tanggungjawab yang lebih besar telah diletakkan di atas pundak ini dengan segala kelebihan yang telah dipinjamkan itu. dan apabila saya telah menyedarinya, ia menjadi lebih BESAR dan BERAT..

Tapi ia tidak bererti saya harus berhenti daripada cuba menggilap segala kebolehan yang ada. Kebolehan/kelebihan/potensi ini haru dicari dan digilap, diasah dan dimanfaatkan selagi mana saya mampu untuk gunakan. Mungkin ada banyak lagi pinjaman-pinjaman Allah kepada saya yang masih terpendam dan terendam, menunggu masa dan usaha saya membawanya keluar untuk digilap sehingga bersinar. Mungkin sahaja pinjaman kebolehan yang ada nanti merupakan salah satu kebolehan yang saya sering kali harapkan. Hanya Allah yang mengetahui dan saya hanya mampu berusaha ^_^

Meminjam kata-kata teman saya, "Mencari logam dalam diri..."
dan saya ingin menyambungnya di sini:
Mencari logam dalam diri,
supaya dapat
menyinari,
menjadi penyuluh jalan sepi,
menjadi cahaya hidup insan
i
.




Ya Allah, semoga kelebihan yang ada ini dapat menjadi manfaat dan berjaya saya buat semua..



"Maha suci nama Tuhan mu, pemilik keagungan dan kemuliaan"
(55:78)

p.s: gambar adalah hiasan semata ;P

Tuesday, July 15, 2008

Refleksi

Refleksi, bukan refleksologi ya!
Aduh, kenapa dengan saya hari ini? Seperti ada sesuatu yang masih tidak memuaskan hati saya. Hmm.. banyak lagi yang perlu ditingkatkan. Harapnya dengan refleksi ini sedikit sebanyak bisa mengingatkan saya organ-organ mana yang perlu dinaik taraf. Haha.. That's just the way a biology student cum menteri besar speaks! (perasan sejenak ;P)

Apa ye? Hmm.. macam mana nak cerita. Kalau tak cerita nanti bersarang semut pula dalam hati ni. huhu..Ok, tadi dalam saya kena present satu refleksi. Mula-mula ingat nak cerita pasal haiwan kegemaran saya cik marsupial (Oh, bukan kucing ya? Habis tu nape awak suke sangat letak nama kucing ni, haaa??). Tak, binatang marsupial ni diciptakan Allah sangat unik (ehem, seperti saya la tu..*grin*). Kalau nak tahu keunikan marsupial ini lebih lanjut, anda dipersilakan untuk google sendiri..hehe.

Ok, apa sebenarnya yang berlaku? Baiklah, memandangkan topik yang akan diperlajari di kelas pada hari ini ialah mengenai nervous system, saya pun tukar tajuk pembentangan saya di saat akhir kepada tajuk bersin atau juga dipanggil sebagai sneezing oleh mak cik-mak cik yang duduk di UK. Saya bercadang untuk mengaplikasikan analogi pokok getah dalam pembentangan saya ini. Sekurang-kurangya dapat juga diselitkan perkara-perkara yang lebih bermanfaat daripada cerita mak cik yang asyik bersin ni. Saya pun terjumpalah beberapa potong hadis mengenai kewajipan mendoakan orang yang bersin dan mengucapkan Alhamdulillah. Sedikit sebanyak saya berharap dapat menerangkan mengenai keindahan Islam yang mengajar manusia walaupun untuk perkara sekecil itu.

Besar sungguh harapan saya. Tapi tiba sahaja untuk pembentangan di kelas, semuanya jadi haru-biru. Rasa seperti pembentangan paling teruk yang saya lakukan seumur hidup saya. Aduh, sangatlah mengganggu fikiran! Kenapa? Sebab saya bukan sahaja seperti merosakkan pembentangan tersebut, tapi langsung terlupa untuk menyelitkan kisah-kisah islami yang dirancang.

Salah saya juga. Saya tidak cukup bersedia. Masakan tidak, dah nak mula kelas baru saya terhegeh-hegeh nak baca dan gariskan kata kunci yang penting. Semua plan tentang apa yang ingin saya kongsi hanya dibiar di awan larat dalam kepala sahaja, tak ditulis dan dirancang dengan rapi di atas kertas. Huhu..

Bukan itu sahaja. Mungkin juga kerana saya hanya cuba untuk memahami konsep yang ingin diterangkan dengan akal semata-mata. Hasilnya, saya tidak mampu menerangkan dengan baik. Benar, jika kita fahami sesuatu dengan sepenuh hati ia akan lebih mudah untuk dilaksanakan. Seperti yang terjadi malam semalam, saya langsung tidak merancang untuk menyelitkan dalam mesyuarat agung rumah Taman N mengenai tugas sebagai kita. Tugas sebagai pembawa label muslim dalam setiap kehidupan kita. Apatah lagi nak bercerita mengenai hal ini dalam bahasa Inggeris? Sedap-sedap orang lain semua cakap bahasa melayu entah macam mana saya boleh bercakap dalam bahasa inggeris, dah lah tak ada dalam skrip pula tu. Refleksi saya mengenai kejadian ini ialah, dari apa yang saya cakap yang tidak ada dalam skrip itu benar-benar lahir dari satu sisi kalbu saya. Benar-benar tulus dengan harapan adik-adik baru ini dapat faham akan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Apa yang berlaku di kelas, mungkin saja berlaku kerana saya tidak memberikannya sepenuh hati saya.

Apa yang lebih penting, yang saya sendiri telah lupa untuk lakukan ialah berDOA. Aduh, rasanya baru sahaja beberapa hari lalu saya mengingatkan teman-teman untuk sentiasa berDOA. dan kini saya sendiri terlupa untuk melakukan sedemikian. DOA dan Pengharapan kepada ALLAH. Waa..rasa sedih sangat. Macam mana boleh lupa ni... Baiklah teman-teman sekalian selepas ni mari kita saling ingat-ingatkan pengajaran daripada sudut refleksi pada hari ini ialah jangan lupa berDOA. Walau hebat mana rancangan kita, pada ALLAH juga yang kita harus letakkan seluruh pengharapan. Segala persediaan, dan usaha hanyalah satu cara untuk mendapatkan redha-Nya. Hasilnya adalah menurut kehendak Allah jua.

Ok, tamat sudah sudut refleksi kita pada hari ini. Moga kita semua dapat memanfaatkan sesuatu daripada kesilapan saya pada hari ini. Hihi.. Biar saya buat silap, orang lain jangan silap pula ya!
(Sekarang hati saya sudah tenang semula.. Terima Kasih ya Allah. Alhamdulillah ^_^)