Tuesday, February 5, 2008

Pandangan seorang kanak-kanak


Mempunyai seorang adik yang masih kecil (erk..tak la kecil sangat. Dah darjah 1 pun.), membuatkan saya begitu senang. Betul, kadang-kadang apa yang tidak difikirkan oleh kita tidak seperti dia, dan telatahnya sahaja boleh membuatkan kita geli hati. Adik saya sangat suka bermain teka-teki. Mudah sahaja untuk menarik perhatiannya ketika dia sedang asyik dengan sesuatu yang lain. Baru-baru ini apabila ke pulang ke rumah saya terlihat sekeping kertas yang pada pintu peti sejuk. Adik saya yang menulisnya, "Bekal apa yang tiada makanan? Sila tulis di sini ___________". Saya tertawa geli hati. Saya juga terjumpa beberapa helai kertas yang telah dikepil bersama. Di setiap helaian kertas itu, tertulis teka-teki yang dicipta sendiri oleh adik saya. Comelnya!

Mungkin adik saya sedang seronok dalam dunianya. Teringat juga saya ketika saya masih kecil. Saya sangat suka membaca buku. Bila membaca, seolah-olah saya telah memasuki ke dalam alam lain. Hanyut dengan fantasi yang dicipta oleh penulisnya. Saya juga pernah bercita-cita untuk menjadi pustakawan ataupun mempunyai kedai buku sendiri supaya saya boleh duduk dan membaca buku untuk selama-lamanya. Fantasi saya sebagai seorang kanak-kanak :)

Jika ditanya tentang fantasi saya sekarang, sudah tentu saya memberi jawapan yang berbeza daripada jawapan 15 tahun dahulu. Pandangan kanak-kanak dan orang yang 'semakin' dewasa sudah pasti berbeza. Saya sudah memikirkan tentang apa yang saya tidak pernah fikirkan dahulu sewaktu kecil. Walaupun sebenarnya banyak juga perkara tentang orang dewasa yang selalu saya fikir ketika kecil dahulu. Percaya atau tidak, ketika berusia dalam 5 atau 6 tahun saya selalu befikir tentang betapa susahnya ayah dan emak saya terpaksa mencari duit untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Oleh itu, saya tidak pernah meminta apa-apa daripada mereka. Walaupun ketika mereka membawa kami membeli-belah dan membenarkan kami memilih alat mainan sendiri, saya tetap tidak mahu membeli apa-apa. Keadaan ini berlanjutan sehingga saya ke asrama. Saya sangat susah untuk meminta wang daripada mereka, sehingga emak saya sendiri yang akan menyuruh saya meminta wang daripada ayah. Bila difikirkan semula, rasa agak kelakar juga ;P

Berbalik kepada pandangan kanak-kanak dan orang dewasa. Kanak-kanak mempunyai pandangan yang lebih sempit manakala orang dewasa lebih luas. Lihat sahaja iklan melintas jalan raya yang ditayangkan di televisyen. Kanak-kanak tertumpu melihat apa yang ada di seberang jalan tetapi orang dewasa mampu melihat daripada pelbagai sudut yang lainnya. Kanak-kanak mungkin tidak dapat melihat bahaya yang bakal mendatang sekiranya dia tidak menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum melintas, tetapi tidak bagi orang dewasa yang mampu berfikir dengan baik.

Sekiranya ada seorang kanak-kanak kecil sedang bermain-main berdekatan dengan longkang yang dalam dan berbahaya. Kanak-kanak itu mungkin tidak sedar akan bahaya yang mungkin berlaku, sekiranya dia tersalah langkah. Ini adalah kerana kanak-kanak itu terlalu asyik dengan permainannya. Fikirannya hampir 100% tertumpu pada permainan itu sahaja. Sekiranya datang seorang dewasa menegahnya, kanak-kanak itu mungkin tersedar atau mungkin sahaja tidak mengendahkan tegahan orang dewasa itu dek kedegilannya.

Apabila terjumpa serpihan-serpihan kaca yang bersinar-sinar, kanak-kanak kecil mungkin akan tertarik untuk mendekati, menyentuh dan bermain dengan kaca tersebut. Apabila orang dewasa datang dan menghalang mereka menyentuh kaca itu lalu membuang serpihan-serpihan itu jauh-jauh, sudah pasti kanak-kanak itu akan menangis dan mungkin juga menyalahi orang dewasa itu kerana mengambil sesuatu yang amat disukainya. Mungkin juga kanak-kanak itu menganggap orang dewasa ini bersikap kejam dan zalim terhadap dirinya.

Mengapa ini terjadi? Pemikiran kanak-kanak yang masih sempit, tidak mampu melihat bahaya yang bakal menimpa dirinya akibat perbuatannya. Fikirannya terlalu asyik dengan keseronokan. Tetapi orang dewasa mempunyai pemikiran yang lebih luas, mengetahui mengenai lebih banyak perkara yang tidak diketahui oleh kanak-kanak itu.

Cuba kita kaitkan dengan diri kita sendiri, pemikiran kita sangat terhad jika dibandingkan dengan pengetahuan Allah. Kita terhad dengan pancaindera yang ada. Walaupun kita dapat melihat, tetapi kita tetap tidak mampu melihat sesuatu yang berada di sebalik tembok. Walaupun kita mampu mendengar, kita masih tidak mampu mendengar sesuatu yang diucap di dalam hati mahupun apa sahaja yang mempunyai frekuensi yang tidak tecapai dalam julat pendengaran kita. Apa sahaja yang kita tahu adalah amat terhad dan sedikit.

Mungkin apa yang kita sangkakan yang paling baik untuk kita, adalah yang paling tidak sesuai dengan kita. Mungkin apa yang kita mahu sebenarnya boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Allah yang lebih mengetahui yang terbaik untuk kita. Apabila suatu nikmat ditarik oleh Allah, kita kadang-kadang menangis. Seperti anak kecil yang masih tidak tahu bahawa itulah sebenarnya yang terbaik untuk dirinya. Tetapi ingatlah firman Allah, "... boleh jadi kamu idak menyenangi sesuatu, padahal itu baik untukmu. dan boleh jadi kamu menyukai sesuau, padahal itu tidak baik untukmu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (2:216)

Sememanya Allah lebih mengetahui. Tidak perlu ditangisi sekiranya kita tidak dapat apa yang kita mahukan. Pohonlah kepada Allah, kerana sesungguhnya Dia-lah Pemilih yang Terbaik. Redhalah atas apa sahaja ketentuan-Nya.

Berdasarkan pengetahuan Allah yang Maha Luas, Islam ini dicipta sesuai dengan fitrah manusia. Allah yang mencipta manusia, dan Islam dicipta sesuai untuk menyelamatkan manusia. Tidak perlu mempersoalkan apa sahaja yang diperintahkan kepada kita, kerana sesungguhnya pengetahuan kita tidak mungkin dapat menjangkau pengetahuan Allah. Mungkin kajian yang dilakukan, seperti kajian terhadap puasa dan solat telah menujukkan beberapa signifikan ibadah-ibadah tersebut disyariatkan. Tetapi itu amatlah sedikit berbanding pengetahuan sebenar Allah terhadap ibadah-ibadah tersebut. Dan tidak perlulah kita hanya menunggu apabila mengetahui kelebihan daripada sesuatu ibadah itu, barulah hendak melakukannya. Tetapi kita hendaklah melakukannya atas dasar kepatuhan dan keyakinan bahawa apa sahaja yang disyariatkan untuk kita adalah yang terbaik sesuai dengan diri kita, dan Allah yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Bagi mereka yang kehidupannya berorientasikan barat. Yang melihat barat sebagai contoh terbaik dalam kehidupannya. Yang lebih mempercayai kajian-kajian daripada barat berbanding syariat Islam itu sendiri. Mahupun mereka yang lebih mempercayai logik akal dirinya sendiri. Ketahuilah, sekiranya dihimpunkan seluruh pengetahuan manusia di dunia ini pun masih tidak mampu menyamai pengetahuan Allah. Bagaimana mungkin kita lebih percaya terhadap kajian sesuatu yang diciptakan daripada pengetahuan Penciptanya sendiri? Bagaimana mungkin kita lebih mempercayai logik akal yang sangat terhad dan sempit ini berbanding pengetahuan Tuhan Yang Maha Luas? Apakah kita layak mencipta alasan sedangkan Allah lebih mengetahui atas segala sesuatu? Kelakar apabila ada yang memberi alasan bahawa sesetengah syariat tidak relevan, lalu meninggalkannya. Mengambil sebahagian syariat dan meninggalkan sebahagian yang lain sesuka hatinya. Apakah mereka lebih percaya dengan kata-kata dan pemikiran manusia daripada Pencipa mereka sendiri? Atau apakah mereka tidak lagi percaya bahawa diri mereka punya Pencipta?....