Alhamdulillah. Malam ni rasa macam nak bagi tabik spring kepada encik suami kerana berjaya membuat pilihan yang terbaik. Daripada petang tadi dia berkira-kira sama ada mahu ke usrah atau ke kem sekolahnya. Alhamdulillah, hidayah daripada Allah juga dia memilih untuk bergembira di bulatan gembira. Rasa seperti nak senyum hingga ke telinga bila dia berkata, "rasa lama sangat dah tak pergi usrah..".
Serius, itulah kemanisan usrah. Bila lama sangat tak berusrah kita akan rasa rindu yang amat-amat sangat. Walaupun usrah itu tidaklah apa-apa sangat. Mungkin saja perjumpaan sekitar sejam dua, senyum-senyum dan salam-salam tanpa pengisian yang super dasyat pun. Tapi kesannya, macam minum secawan coklat yang panas di tengah-tengah kesejukan malam. Sangat menghangatkan jiwa!
Mungkin buat pembaca yang tidak tahu sangat tentang ini, maka saya ingin maklumkan di sini. Encik Suami bukanlah kenalan atau sesiapa yang rapat dengan saya mahupun keluarga saya sebelum ini. Bagaimana kami bertemu dan akhirnya diikat sebagai suami isteri memang sangat tidak dapat dibayangkan oleh saya sendiri sebelum ini. Mahu menulis panjang lebar di sini, saya sendiri jadi malu segan silu.
Tetapi saya paling ingat saat saya mahu membuat pilihan, segalanya saya letak bulat-bulat kepada Allah. Dengan doa yang tidak sudah-sudah (sehingga kini juga, walaupun sudah bergelar isteri).
"Andai dia memang terbaik untukku, maka permudahkanlah.."
Lalu sepanjang perjalanan menuju pernikahan itu seakan mudah. Walaupun hakikatnya untuk membuat pilihan itu sangatlah susah. Entah berapa liter air mata saya tumpah, kerana saya amat takut andai pernikahan ini membuatkan saya lantas gugur dari jalan dakwah. Kerana yang merisik ini bukanlah para ikhwah, hanya seorang yang baru berjinak-jinak dengan usrah.
Sehingga saya bertembung dengan satu ayat saat mentadabbur usai tilawahnya. Seolah ayat itu menempelak saya kerana meletakkan ikhwah yang akan memastikan saya kekal di jalan dakwah! Tidak, hanya Allah yang berkuasa atas segala sesuatu.
Lalu di situasi lainnya, saat bermusafir dan saya berdoa di sepanjang permusafiran itu agar diberi petunjuk atas pilihan ini. Mahu bertanya kepada yang lebih arif, saya jadi sangat malu. Tetapi sungguh Allah Maha Mengetahui. Allah memberi jawapan melalui lisan seseorang tanpa saya perlu bertanya sendiri. Sungguh, saat itu air mata saya mencurah-curah keluar. Mujur tiada siapa menegur. Terasa begitu dekatnya Allah menjawab segala persoalan.
Andai diminta memberi nasihat buat mereka yang mahu menjejak ke tangga baitul muslim, mahu saja saya mengingatkan biar pilihan ini pilihan terbaik dari Allah dan untuk dakwah. Sentiasa memperbaharui niat sehingga saat akad itu dilafazkan. Kerana niat itu menjadi pendorong dan penguat saya untuk mengorak langkah membina Baitul Muslim.
Wallahu a'lam.
Moga ada manfaat dalam perkongsian ini.
Mohon doa agar saya terus tsabat.
No comments:
Post a Comment