Sunday, October 7, 2012

Nikmat

Alhamdulillah.
Bersyukur di atas kurniaan Allah yang tak terhingga. Kadang-kadang risau juga andai nikmat yang diberi ini sebenarnya ujian yang tidak terduga. Sejauh mana kita sedar akan ujian dalam bentuk kesenangan yang diberi, berapa banyak hak-hak nikmat yang Allah beri ini telah kita penuhi.. Astaghfirullah. Mohon Allah ampuni segala khilaf diri.

Hazim hampir menjengah 10 bulan dan saya sangat bersyukur Allah masih memberi peluang untuk saya menyusukan Hazim sepenuhnya dalam tempoh ini. Penyusuan secara penuh adalah sangat mencabar bila menjadi ibu yang bekerja. Stok EBM beku sekejap sahaja surut. Sejak Hazim 7 bulan saya perlu bekerja lebih keras setiap hari untuk mendapat hasil tuaian bagi bekalan hari esok. Semua rezeki daripada Allah dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran atas nikmat yang diberi ini. Moga Allah menambahkan rezeki untuk Hazim dan menjadikannya khalifah Allah yang soleh dan musleh.

Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang tempoh Allah memberi saya peluang menjadi ibu. Anak kecil yang masih suci, fitrahnya adalah kepada segala yang baik. Saat berkumandang azan dan zikir, Hazim akan terdiam dan melihat penuh khusyuk. Tetapi turut menjadi kebimbangan saya, apakah saya mampu untuk mendidik amanah Allah ini dengan sebaiknya? Allahu Allah..

Saya percaya setiap ciptaan Allah itu unik, begitu juga dengan anak-anak kecil. Tidak perlu dibanding-bandingkan dan kita sebagai orang dewasa sepatutnya sentiasa memberikan nilai-nilai yang positif kepada mereka. Hazim sangat aktif dan lasak, maka doa saya moga dia nanti bisa menjadi pejuang yang tangkas, cekap dan sentiasa bertenaga untuk menegakkan deen Allah ini.

Paling indah bagi seorang ibu pada saat ini ialah menikmati senyuman si anak. Melihat matanya dalam-dalam dan sentiasa mendoakan dia agar menjadi manusia yang memberi manfaat yang sebanyak-banyaknya buat umat manusia.

Si kecil yang tangkas,
moga besar kelak kau bisa memangkas,
sang jahiliyah yang cepat dan lekas,
membuat sang pejuang tertewas...

Lalu jangan kau lalai dan leka,
kerana Iblis dan tenteranya tidak pernah lupa,
akan janjinya pada Tuhan Maha Kuasa
mahu disesatkan seluruh manusia
kecuali mereka yang benar-benar bertaqwa.




Muhammad Hazim


Much love,
Mama Hazim.

No comments: