Tuesday, May 26, 2009

kakaktua


Sering sangat sang kakaktua berkata-kata "Semua orang punya kelebihan, serlahkan potensi anda!". Ah, mungkin kerana dia ialah kakaktua maka kata-kata itu saja yang diulang-ulang. Entah-entah dia sendiri pun tidak mengerti apa yang dikatakannya itu. Entah-entah kata-kata indah itu memang sering diulang-ulang seperti rakaman saja. Langsung tidak memberi erti kepada dirinya.

Bagaimana, sudah menjadi kakaktua kah? Atau masih kakakmuda?

Entah mengapa, tetapi saya berasa sedikit tua kini. Mungkin dewasa lebih sesuai kerana saya pun tidak suka dianggap seperti orang tua pula. Tanpa sedar, sudah dua tahun dalam universiti tarbiyah ini. Mungkin menjadi pelajar tahun dua menyebabkan saya berasa sedikit senior dan perasaan ke'tua'an itu semakin terserlah. Jangan salah sangka, saya sendiri tidak suka mempunyai perasaan sedemikian. Ya lah, semua perempuan pun kalau boleh mahu kelihatan muda sahaja :P

Dalam program tempoh hari saya memasang sebuah video kami semasa di awal tarbiyah dulu. Itu program kedua saya dan terpampanglah wajah saya 2 tahun lalu yang masih muda itu. Wah, secara tiba-tiba saya merasa seperti sudah tua. Saya berkata kepada adik-adik yang baru, "Itu video saya dua tahun lalu, macam kanak-kanak riang..".

Saya mengaku, saya sendiri terkejut melihat saya 2 tahun lalu yang sememangnya seperti masih kanak-kanak. Lantas saya menyambung kata kepada adik-adik. "Hm, saya rasa saya sekarang sudah dewasa. Harapnya ya lah. Dulu saya selalu rasa yang menjadi dewasa itu suatu yang menakutkan. Tapi saya tak sedar yang saya dahulu sebenarnya yang terperangkap dalam dunia kanak-kanak itu.." Mungkin begitu ayat yang saya berikan kepada mereka. Lebih kurang, atau dalam bahasa Brunei, "Kurang Labih" :P

Menjadi dewasa itu bagi saya ialah apabila seseorang menyedari akan tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Seseorang itu bukanlah menjadi dewasa kerana umurnya tetapi peranan yang mampu dibawanya dan kesedaran terhadap perlunya dia dalam menyumbangkan sesuatu kepada dunia dan tidaklah menjadi sisa lebihan dunia semata-mata.

Saya suka bersama dengan adik-adik yang masih baru... yang baru mahu mengenal tentang universiti indah ini. Bukanlah kerana saya mahu memperlihatkan ke'tua'an saya kepada mereka mahupun menunjukkan siapa yang lebih tahu dan lebih lama berada di sini. Tetapi saya suka kerana setiap kali bersama mereka yang baru, ia akan mengingatkan saya saat saya mula-mula mahu mencuba mengikuti kelas-kelas di sini. Saya suka mengingatkan diri saya betapa Allah Yang Maha Pengasih itu memberi peluang kepada saya untuk mengenal indahnya hidup dalam cahayaNya.

Saya sedar, saya bukanlah seperti orang lain yang sering kali berusaha mahu mencari cahayaNya. Saya dahulu mungkin orang yang senang bermain dalam gelita tanpa menyedari akan bahaya yang mungkin saja muncul bila-bila masa saja dek bermain di kawasan gelap-gulita. Lalu Allah menghantar saya kepada cahaya tanpa saya sendiri memilih untuk mencarinya, kerana Allah itu lebih tahu akan bahaya yang akan menimpa saya. Subhanallah, terima kasih Allah!

Dengan cahayaNya, saya belajar untuk mengerti peranan saya kepada dunia. Lantas bagaimana menggilap potensi untuk digunakan kepada dunia. Namun begitu, saya harus bertanya kembali kepada diri setelah dua tahun berada di universiti ini, "Apa benar kamu telah guna semua potensi mu?"

Potensi itu tidak akan terserlah selagi kita tidak mencabar diri sendiri!
Benar. Saya sendiri suka memberi alasan bila merasa tidak yakin dengan diri. Atau mungkin saja merasa malas untuk menjadi yang lebih baik kerana berasa selesa dengan posisi sedia ada. Lantas, bagaimana mahu menjadi KD yang luar biasa dahsyat bila mana mahu mencabar diri sendiri saja pun susah!

Teringat saat mula mahu memandu kereta manual setelah beberapa lama tidak memandu. Seorang sahabat meminta saya untuk memandu keretanya. Saya sedikit gusar dan cuba mencari alasan untuk tidak memandu. "Awak yakin ke kalau saya pandu kereta awak ni?" Saya sengaja cuba menggugah permintaannya, moga-moga dia mahu memandu sendiri keretanya. Maklumlah, kereta orang. Kalau jadi apa-apa susahlah saya. Sahabat saya memberi jawapan ringkas penuh makna, "Awak yakin tak dengan diri awak sendiri?"
Ah, saya lantas mengambil kunci kereta daripadanya dan terus memandu. Wah, inilah sahabat terbaik buat saya. Maaf, saya selalu gusar bila seseorang tidak mampu percaya kepada saya. Saya malah selalu saja merasa lemah untuk membuat seseorang percaya terhadap kebolehan saya bila saya merasakan yang dia sudah mempunyai 'mindset' tertentu kepada saya. Entah apa masalah psikologi yang saya hadapi agaknya..

Benar. Saya selalu merasa yakin bila seseorang yakin dengan saya. Malah, mungkin itu yang saya harapkan. Terus tunjukkan keyakinan anda kepada saya dan saya akan cuba bangkit dan melejit.Yah!

Tapi harus diingatkan, potensi diri mampu diserlahkan dengan lebih lagi bila kita mencabar diri sendiri. Jika hanya mengharapkan orang lain untuk memberi keyakinan kepada diri, entah sampai bila mahu menunggu. Tetapi adalah lebih penting untuk kita sendiri meningkatkan self-confidence dengan 'psycho' diri sendiri. Yakin boleh! berusaha dan terus berdoa semoga Allah menyerlahkan potensi diri tersebut.

Jika tidak mahu mencabar diri, bagaimana kita dapat pastikan bahawa kita sudah menyerlahkan semua potensi diri? Jangan salahkan orang lain bila diri lambat memecut dan masih menjadi kura-kura yang keletihan. Atau mungkin saja langsung tidak berlari kerana tidak mahu mencabar diri sendiri untuk memulakan langkah pertama untuk memecut. Masakan seorang pelari tahu kemampuannya untuk berlari jika dia sendiri tidak pernah cuba untuk berlari?

Cukup-cukuplah memberi alasan wahai diri!
Tiada lagi "saya rasa tak boleh..."
Tapi katakan, "saya belum tahu sama ada saya boleh..., mungkin saya patut cuba!"

dan kepada sahabat sekalian,
do have faith in me!
bantu saya untuk mempercayai diri saya sendiri lantas tidak lagi hanya menjadi sang kakaktua yang hanya berkata-kata tanpa mengenal apa erti kata-katanya.

... dan supaya saya boleh selalu menjadi 'kakakmuda' =P

p/s: tiba-tiba terasa nak tulis buku motivasi macam Pak Sol menulis buku Quantum Tarbiyah untuk memotivasikan diri sendiri sebenarnya. Mungkin saya patut mencabar diri untuk buat begitu! ^__^

No comments: