Monday, October 19, 2009

Dia mad'u mu!


Seminggu lagi sebelum saya ke medan yang lebih besar. Saya cuba mencari hikmah dari apa yang telah dititipkan Allah buat saya. Besar mungkin ujian yang bakal saya hadapi nanti, mengingatkan diri akan ujian dalam bentuk kesenangan itu malah lebih-lebih lagi susah kerana bakal melekakan dan mengulit diri daripada rasa mendekati Ilahi. Ya Allah, sesungguhnya saya amat takut. Mungkin kini tiba masanya untuk saya melalui satu fasa latihan dalam menyeimbangkan diri dalam memenuhi mereka yang mempunyai hak kepada saya. Sering satu kata-kata hikmah daripada kakak-kakak yang berhati suci terngiang-ngiang di celahan telinga, "Dia mad'u mu!".

Mad'u itu bukan setakat anak-anak usrah, mad'u itu bukan sekadar seseorang yang kita sedang berhempas pulas dalam DF, mad'u itu bukan mereka yang tertentu sahaja...tetapi mad'u itu sesiapa saja yang berada di sekeliling kita. Malah, setiap dari akhawat itu juga mad'u kita! Sebagaimana kita cuba menyantuni dan sanggup bersabar dengan anak-anak usrah dan mereka yang dalam fasa DF kita, sebegitu juga seharusnya kita harus sanggup menyantuni dan bersabar dengan mad'u yang lainnya. Ah, bukankah kita ini full-time da'i? Tugas khalifah itu bukan pada waktu-waktu tertentu saja tentunya. Bukan bermakna, sang da'i itu boleh bermuka-muka. Di usrah memakai topeng wajah suci tetapi di rumah apabila dibuka topengnya, berubah pula rupanya.

Saya fikir, begitulah Allah mahu mengajarkan saya. Mohon saya diberi bantuan olehNya dalam menghadapi fasa besar ini. Saya bukanlah manusia yang sempurna, bukan juga da'i yang benar-benar baik, malah terlalu banyak yang perlu dibaiki...terlalu banyak. Sehinggakan kadang-kadang saya berasa tak layak untuk berada di hadapan dan berkata-kata. Tetapi memikirkan jika hanya mahu menunggu sehingga saya menjadi manusia sempurna, entah bilakah dan entah berapa ramai lagi yang harus dibiar mati kelemasan sehingga saya menjadi benar-benar sempurna di mata mereka.

Seminggu lagi saya bakal berada di kalangan mad'u yang berbeza dan berada lebih lama dengan saya. Mad'u di sekolah dan di rumah! Pelajar-pelajar itulah mad'u, guru-guru yang lainnya juga mad'u, makcik kantin juga bakal mad'u, juga masyarakat sekitarnya. Oh, jika sebelum ini saya berkira-kira untuk mewarnai kawasan di mana saya ditempatkan, saya perlu berfikir pula buat kali kedua...bagaimana mahu melakukannnya? Juga mad'u terbesar saya nanti ialah keluarga sendiri. Setiap daripada mereka itu ialah mad'u. Setiap daripada mereka mempunyai hak untuk dibawa kepada Allah. Cuma saya harus mengingatkan diri tentang keutamaan dalam rangka kerja da'wah itu. Bukanlah bermakna saya sudah berda'wah dengan melibatkan diri dalam usrah semata-mata atau ke hulu ke hilir berprogram, tetapi atas dasar kefahaman bahawa setiap daripada manusia itu ialah mad'u kita! Siapa sahaja, yang ditemui dalam bas, dalam tren, di kedai dan di mana jua.

Saya tidak menafikan, memang sangat sukar! Tetapi tidaklah mustahil untuk kita berusaha...dan pastinya kita harus ingat bahawa Allah menilai kita melalui usaha. Lalu, berusahalah seoptimumnya!

Andai saya belum cukup dalam meladeni dan manyantuni setiap mad'u, mahupun anda sendiri sang pembaca...saya mohon maaf dalam setiap kekurangan saya dan saya memohon keampunan dan perlindungan Allah di atas kekurangan itu. Semoga Allah membantu setiap daripada kita dalam membawa hati-hati menuju ke hadrat Ilahi, menuju jalan suci ke arah pengakhiran abadi yang bahagia.

2 comments:

Arifah said...

Sis, teruskan perjuangan!

Saya doakan awak sentiasa. =)

Mama Hazim said...

jazakillah, sis!
that's all I ever wanted =)