Tuesday, October 27, 2009

Inspirasi haidarah

Mereka kata, jangan ada antara cikgu yang bermain pol-itik. Kamu tahu, jawatan kamu gred A. Kategori professional, tiada itik-itik. Faham!

Mereka kata lagi, walaupun negeri ini berbeza tadbirnya. Kita tetap kena bersama dengan yang di tengah. Di sana!

Lagi kata mereka, si ayah yang menyekolahkan anaknya dan memberi anaknya cukup makan-pakai... Anak itu tidak boleh berkata yang itu memang tanggungjawab ayah dan tidak mahu berterima kasih pula.
Benar, ini saya setuju. Kerana anak bertanggungjawab untuk menyayangi ayahbunda. Juga berterima kasih.
Tetapi jika ayahnya itu pendera tegar... Mencekik, memeras ugut dan mengambil hak anaknya malah ada beberapa cubaan membunuh, layakkah dia dihargai?

Pada fikiran saya, mungkin ini yang menyebabkan anak-anak ini memberontak. Mungkin mereka baru sedar yang mereka ini anak tiri cuma. Atau mungkin mereka sedar yang ayah tiri kejam itu sedang memberi kek coklat sedap yang dalamnya ada racun tikus.

Saya tidak suka bermain itik, juga tidak gemar bermain tikus poli-tikus. Tempoh hari semasa membaca kisah siasah di zaman Khulafa' cukup membuatkan saya sedih. Melihat mereka bermain itik dan tikus pada hari ini pula cukup meloyakan saya. Lantas, saya selalu terfikir.. Apakah sebenarnya mereka yang bermain itik dan tikus ini tidak gentar dengan kata-kata Tuhan? Apa yang membuatkan mereka sanggup meninggalkan nilai aqidah demi mendapat apa yang mereka inginkan?

Lalu saya dapat membayangkan betapa berkecamuknya perasaan sang khalifah melihat umatnya berpecah. Mungkin saya patut mengambil inspirasi daripada Haidarah Sang Singa.

Tikus dan itik ini sudah terdesak bermain dalam lumpur dan selut kotor. Andai kita yang beriman pada sunnatullah maratib amal itu masih berlengah-lengah dan bekerja sambil lewa, entah berapa ramai lagi yang bakal terkena lumpur dan selut. Sepertinya hujan sudah mula turun tetapi masih malas-malasan mahu mengangkat pakaian di jemuran. Apakah mungkin pakaian itu terangkat sendiri bila ada hujan yang menitik ke atasnya?

Entri kepalapusing selepas dimesin-basuh dan terngiang-ngiang kisah Haidarah.

No comments: