Tuesday, October 6, 2009

Selayang Padang

Terasa seperti baru semalam menjejakkan kaki di Padang. Pertama kali ke sana, saya begitu hairan melihat pemandu-pemandu kenderaan begitu meriah membunyikan hon masing-masing. Jika kita di Malaysia menganggap membunyikan hon sebagai sesuatu yang tidak baik tetapi tidak bagi mereka. Itu tanda ramah mesra. Mereka akan tetap membunyikan hon di sepanjang jalan setiap kali berselisih dengan siapa pun yang mereka kenal. Sungguh meriah!

Malah saya cukup kagum dengan kenderaan awam seperti Angkut yang berupa van kecil yang boleh menempatkan hingga berbelas orang di dalamnya. Pada saya, Angkut jauh lebih efisien daripada komuter dan elarti di sini. Malah tambangnya jauh lebih murah! Andai Angkut yang saya temui penuh, saya tidak perlu risau kerana dalam beberapa saat akan ada Angkut yang lain tiba. Cuma kadang-kadang perlu bersabar sekiranya Angkut yang dinaiki itu mempunyai sistem amplifier yang bingit. Mahu terkeluar jantung dibuatnya!

Entah kenapa tapi saya cukup suka dengan masyarakat Padang (yang saya temui ketika itu), terasa Islam itu masih kuat bertapak di sana biarpun tetap juga kelihatan jahiliyah yang mencacak-cacak di sana sini. Saya suka mendengar azan yang bersahut-sahutan kerana musolla yang kedudukannya hampir antara satu sama lain. Mengimbau kembali, Padang dahulunya adalah serambi Makkah. Tempat lahirnya Buya HAMKA. Kamu tahu?

Paling manis saat bertemu siswi Indonesia berkerudung labuh. Walau tidak mengenali mereka, cukup dengan senyuman saya tahu yang mereka ini turut mengikuti tarbiyah. Kadang-kadang bertemu sama di dalam Angkut mahupun di toko-toko. Ah, kadang-kadang saya malu sendiri. Mereka kelihatan sopan dan lemah lembut. Langsung terjaga adab dan akhlaknya. Saya.. oh, masih banyak cela agaknya.

Bagaimana agaknya keadaan di Padang sekarang? Apakah Ramayana masih tersergam di tengah kota? Apakah Grandia masih penuh dengan buku-bukunya? Bagaimana keadaan Ef Ka tempat siswi mencari bekalannya? Apakah Bukit Tinggi masih berdiri di sana?

Lalu kedinginan Malibou Anai menikam kembali kalbu.
Apakah hati ini terlalu dingin untuk merasai peritnya keadaan saudara-saudara di sana?
Kita di sini masih seperti biasa,
tetapi mereka mungkin sedang berkira
Apakah masih ada esok untuk mereka?

No comments: