Friday, July 3, 2009

diari cuti



Banyak perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ni. Ada yang membuatkan saya pening-pening sedikit untuk selesaikan, ada yang sangat mencabar dan ada juga yang sampai tak menang tangan saya dibuatnya. Alhamdulillah, syukur kembali kepada Allah kerana telah membuatkan kehidupan saya sungguh menarik dan penuh warna-warni. Sejak bercuti daripada belajar dan tiada kerja (yang memberi duit) secara tetap banyak juga pengalaman menarik yang saya peroleh. Keputusan penempatan untuk pelajar maktab sudah pun keluar dan jika diizinkan Allah mereka bakal bertugas sebagai arkitek bangsa bermula daripada bulan ini.

Untuk pelajar universiti seperti saya, perlu menunggu sehingga bulan sebelas nampaknya. Wah! Teruja dengan masa yang begitu banyak tetapi melihat peti wang yang semakin surut, kaget juga dibuatnya! Jangan salah sangka yang saya hanya duduk goyang kaki tidak berfikir langsung untuk mengumpul wang. Di awal-awal 'percutian', saya membantu ayah menanam cendawan. Kalau orang lain menganggur, saya pula mencendawan. Heh.

Sebenarnya ayah baru sahaja mencuba-cuba dalam industri pertanian cendawan secara kecil-kecilan. Menariknya, cendawan ini ditanam di dalam rumah kedai yang disewa. Hendak mencari tanah lapang di kawasan perumahan memang susah, tanam dalam pejabat pun ok je. Pengalaman menjadi petani sangatlah menarik. Saya sangat gembira berpagi-pagian ke 'pejabat' dan melihat cendawan tiram kelabu-putih yang gebu-gebu muncul dari mulut bongkah. Sangat gembira memetik mereka, membersihkan dan menyusun cantik-cantik ke dalam plastik untuk dijual. Yang lebih menarik, kami makan lauk cendawan setiap hari! Alhamdulillah =)

Bekerja sebagai petani memang menyeronokkan. Apatah lagi ia membuatkan saya berasa begitu dekat dengan alam. Mengingatkan saya dengan ayat-ayat bagaimana Allah menguruskan segala hal mengenai tumbuhan, membelah bumi dengan belahan yang sebaik-baiknya dan benih kecil tak berdaya itu mampu keluar walau dihempap timbunan tanah yang berganda-ganda beratnya. Subhanallah. Masya Allah!

Saya juga ada memohon pekerjaan lain dengan seorang sahabat. Kerja di sebuah kopitiam ternama milik muslim. Serius, jika ada rezeki boleh mengalahkan Starbucks! Saya mengambil keputusan untuk menghadiri temuduga itu pun ketika mengambil sahabat itu pulang dari kedai tersebut. Sebenarnya saya pernah bercita-cita untuk membuka kedai kopi dan roti semasa kecil-kecil dahulu. Sebelum menjadi pekerja di sana secara rasmi, kami dikehendaki untuk menghadiri sesi training dan kami akan diajar bagaimana menyediakan Cappuccino dan pelbagai hidangan yang sangat menarik! (saya sebenarnya sangat teruja untuk menjalani latihan itu saja kerana mahu belajar bagaimana menghasilkan makanan-makanan menarik. hehe). Ketika temuduga itu, saya telah diingatkan bahawa bila menjadi pekerja nanti saya kena bersedia untuk menghadapi keadaan-keadaan sukar. Bekerja di dalam dapur yang panas selama 8 jam, mungkin dimarahi oleh mandur (?), perlu bekerja dengan sangat pantas ketika peak hour dan perlu memastikan setiap hidangan menepati kualiti servis mereka (setiap hidangan perlu sama rasanya, rupanya dan susunannya). Sangat mencabar! dan saya rasa mungkin ia akan menjadi tarbiyyah besar buat diri saya.

Tetapi setelah berfikir-fikir mengenai masa dan kerja yang mungkin memenatkan saya itu. Juga dengan gaji yang tak berapa menarik itu... saya mula untuk memikirkan jalan yang lain. Esoknya saya terus memberitahu sahabat saya untuk mencuba tuisyen di rumah. Malam itu juga saya menyiapkan iklan flyers untuk dihantar ke rumah-rumah pada pagi esoknya. Subhanallah, bertalu-talu panggilan kami dapat daripada ibu bapa yang rupa-rupanya sangat menanti-nanti khidmat tuisyen seperti ini walaupun servis untuk datang ke rumah lebih tinggi (biasanya RM 25-RM 30 per jam untuk sekolah rendah. Tetapi kami caj RM 20 sahaja dan ada diskaun juga!). Pucuk dicita ulam mendatang! Alhamdulillah. Kini malam-malam kami dipenuhi dengan mengunjungi rumah-rumah yang memerlukan khidmat tuisyen sekiranya tiada sebarang usrah pada malam tersebut. Kadang-kadang tidak menang tangan juga untuk memenuhi semua kehendak ibu bapa. Usrah mungkin mengambil 3 malam manakala hujung minggu dipenuhi dengan acara lainnya. Ada juga khidmat tuisyen yang diminta terpaksa kami tolak baik-baik kerana khuatir tidak dapat memberi fokus kepada mereka. Saya juga perlu mengingatkan diri bahawa kerja baru ini hanyalah satu alat untuk mencapai matlamat saya. Kerja ini nombor 2, dakwah tetap nombor 1. Tidak boleh memberi ruang kepada diri untuk meletak wang sebagai matlamat!

Setakat ini saya mengajar pelajar tahun satu dan tahun 6. Kedua-duanya comel dan baik sekali! Aishi sejak kecil-kecil lagi mahu dibiasakan oleh ibunya untuk rajin belajar manakala Fara yang baru pulang UK sedang berkejaran mahu belajar untuk peperiksaan UPSR. Seronok mengajar mereka dan ibu bapa mereka pun sangat baik hati. Tempoh hari, siap diberi bekal laksa oleh ibu Aishi! Alhamdulillah =)

Bekerja hanyalah satu usaha ke arah mendapatkan rezeki yang telahpun ditetapkan oleh Allah. Jangan biar diri kita menjadi robot kerana mengejar kesenangan,
Jangan biar diri kita menjadi hamba wang dan material.

Tetap teguh.
Hidup ini untuk Allah!


Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!!
MASA ITU NYAWA



3 comments:

Raudhah said...

Salam alayk..

kita punya impian yg sama..sy pula,sejak dr dulu lg sy nak buka kedai buku..

Doakan impian sy tercapai ya!

everjihad said...

salam kak kd...

hehe..kite jadi cikgu ganti buat sementara..

ajar budak darjah 1 n 2.

camne eh nak deal dgn budak2 yg nakal tak dengar cakap?

esp budak darjah 2..kadang2 angkat suara jugak bila dah marah. kite memang malas nak marah2..tapi budak2 ni kadang2 memang rasa geram.

care to share any tips and exprience?

Mama Hazim said...

em. Saya bukannya pakar dalam handle budak2 sekolah rendah ni tau. Tapi dari pengalaman saya, budak2 nakal ni nak tarik perhatian selalunya.

Cuba suruh budak 'istimewa' ini untuk bantu awak bila2 perlu. Cthnya: bawa buku ke bilik guru. Lepas tu buat slow talk dengan dia bila dia tak bersama dengan kawan2nya. You'll never know how he really is until you talk to him personally. Insya Allah.

Semoga Allah permudahkan =)