Saturday, August 30, 2008

Akademi Ketenteraan

Bahang Ramadhan semakin terasa, ais yang selama ini membeku dan mengeras di hati harapnya semakin cair dan membasahi segenap pelosok hati.

Kiranya saya mahu membuat entri yang istimewa sempena menyambut bulan yang sangat dirindui ini. Tapi ada saja yang terpaksa didahulukan, dan akhirnya di saat-saat akhir ini baru ada kesempatan. Saya rindukan ramadhan, sangat rindu..

Saya masih meragui kesediaan saya dengan kedatangan Ramadhan ini. Saya belum pasti andainya saya sudah berada di gear berapa sekarang. Ramadhan itu tentunya bukan bulan yang hanya untuk berpuasa untuk menahan lapar dan dahaga. Tetapi lebih-lebih dari itu. Ramadhan itu seperti akademi ketenteraan buat saya. Mahu menjadi tentera Allah yang hebat pastinya perlukan latihan, dan latihan itu perlukan kesungguhan. Nah, Ramadhan itu pastinya satu medan latihan yang hebat, tapi sejauh mana kesediaan saya dengan membawa kesungguhan untuk sentiasa bersemangat dan konsisten di medan latihan itu yang menjadi persoalan. Tidak cukup hanya dengan medan latihan yang disusun cantik, tapi kesungguhannya tiada. Bagaimana hendak dilalui saat-saat sukar, melawan badai hawa nafsu dan keinginan-keinginan yang sentiasa bergejolak dan membuak-buak?

Lihat saja berapa ramai orang yang tewas saat membeli makanan untuk berbuka puasa. Semua pun mahu dibeli, tapi akhirnya sedikit saja yang mampu dihabiskan. Bakinya diberi saja ke mulut tong sampah yang sedia ternganga.

Banyak juga yang tertewas, bila puasanya tidak membawa erti apa-apa. Ya, bila puasa hanya menahan lapar dahaga. Tidak banyak beza dengan bulan-bulan biasa. Yang mata, telinga, kaki dan tangan pun mesti belajar puasa juga ya! Mata itu puasa dari melihat yang bukan-bukan. Ertinya kalau yang dilihat itu tidak membawa kepada fikir dan zikir kepada Allah, sepatutnya dijauhkan saja. Terutama jika sudah berlayar di lautan internet ini, harusnya lebih berhati-hait. Bila yang tersangkutnya hanya bisa melalaikan (walau bahannya nampak baik-baik saja) harusnya lebih baik dijauhkan. Telinga itu harusnya untuk mendengari yang baik-baik saja. Tapi banyak juga yang tewas bila dihidang dengan gosip-gosip hangat, ceritera penglipurlara dari geng-geng gosip seantero dunia. Juga pastinya telinga itu harusnya mendengar sesuatu yang mendatangkan zikir dan fikir kepada Allah (bukankah kita sudah berikrar dalam setiap kali solah kita. Hidupku dan matiku hanya untuk-Nya. Kalau bisa berbuat sesuatu bukan kerana-Nya, bagaimana ya?). Juga mulut, harusnya diguna untuk memberi zikir dan fikir kepada diri dan orang lain juga. Bukan untuk berbicara yang bukan-bukan. dan paling manis, pastinya untuk membasahkan lidah dengan kalam Allah yang Maha Indah. Juga mendendangkan kepada manusia lainnya, keindahan kehidupan berlandaskan syariat. Mengingatkan manusia lainnya dengan destinasi yang abadi, yang tiada tandingannya nanti.

Ramadhan itu akademi, menyediakan kita peluang untuk berlatih habis-habisan. Belajar dan melalui segala latihan untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik sesudah pengajian dan latihan selesai. Andai terkandas dan tidak beraya konsisten selepas tamat pengajian, itu menunjukkan pengajian dan latihan yang dilalui belum lagi dilaksanakan dengan sebaiknya.

Ramadhan tidak membawa cinta bermusim. Bila ramadhan tiba, ramai yang bersemangat untuk melakukan ibadah yang bermacam bagai. Saya memang cukup suka, memang cukup meriah. Tapi kenapa di bulan ramadhan saja meriahnya? Kenapa bulan-bulan lain di masjid malamnya sunyi sepi. Kenapa di bulan Ramadhan, boleh pula menahan diri dari berbuat sesuka hati. Tapi bulan-bulan lainnya dibiarkan nafsu menjadi raja diri. Oh, bukan itu kah hipokrit yang sebenar? Cinta yang bermusim. Apakah cinta pada Allah itu hanya boleh dizahirkan di bulan Ramadhan sahaja?

Atau apakah kita mengira amalan kita di bulan Ramadhan saja sudah cukup untuk mengharungi bulan-bulan lainnya. Iya, kita banyak dihidangkan dengan kata-kata yang bulan ini ibadahnya dapat berganda-ganda pahala. Jika demikian, tak perlu lagi beramal di bulan lainnya? Bulan lain boleh ada konsert-konsert, berpesta ke pagi buta..kerana merasa bekalan pahala amalnya sudah cukup. Begitu? Yakin benar kita, kalau amalnya tidak diterima bagaimana? Pokoknya, ikhlas itu pun sukar untuk diukur. Seperti semut hitam di atas batu hitam dalam malam yang gelap. Mungkin senang saja bibir menyatakan ikhlas, tapi di hati juga senang ditiup-tiup penyakit hati. Ujub misalnya, paling sukar untuk ditepis. Mana tahu, dek kerana penyakit hati yang sekecil itu bisa merosak segala amal kita selama ini. Sayang, takkan kita mahu jadi seperti 'mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan'. Belum tahu lagi amal kita di sepanjang Ramadhan ini akan diterima sepenuhnya, bagaimana mungkin kita hanya beramal yang hebat-hebat di Ramdhan saja tetapi di masa-masa lain kita banyak berbuat dosa?

Dek kerana itu kita harus merasa yang Ramadhan ini datangnya untuk melatih kita. Amalan dan latihan yang dijalankan di sepanjang Ramadhan ini latihan supaya kita boleh teruskan di bulan-bulan lainnya. Bagaimana dengan lapar dahaga kita mampu melakukan amalan lebih dari biasa. Tadarusnya pun cukup banyak, maka di hari-hari biasa harusnya diteruskan juga. Malah lebih hebat lagi kerana tidak menahan lapar dahaga. Bukan begitu?

Jika di bulan Ramadhan berjaya menahan nafsu sedemikian rupa, harusnya di hari lainnya lebih hebat daripada itu. Jika di bulan ramadhan menahan mata, telinga dan mulut dari yang biasa-biasa, jadi di hari lainnya pasti lebih hebat dari yang dilatih di bulan Ramadhan saja. Ramadhan bulan tarbiyah (pendidikan) serta medan latihan untuk semua. Jika kita boleh melakukan banyak amalan di bulan ini, pasti kita juga boleh buat yang lebih hebat selepas ini. Dan syawal itu tiba seperti konvokesyen kita. Sebagain tanda melangkahnya kita ke medan sebenar untuk mengamalkan segala latihan dan didikan yang berlangsung di sepanjang Ramadhan ini.

Ramadhan ini sememangnya hadiah buat kita.
Untuk kita berlatih dan mempertingkatkan diri. Harapnya selepas Ramadhan ini kita berjaya ke peringkat seterusnya. Menjadi insan yang lebih baik daripada yang sebelumnya. Sehingga bertemu ke Ramadhan seterusnya dan meningkatkan tahap diri lagi.

Muslim itu bukankah sepatutnya semakin hari semakin baik amalnya?
A few things to be reminded before Ramdhan:
1) Set your goals. Which part we want to improve?
2) Know how to work your goals. Find ways to improve.
3) Set a goal for each day and night. i.e nak improve hafazan ke..(which I have longed to so)
4) Plan your time, so each second will not be wasted.

We should be working on this before Ramdhan. We still have time for the preparation, let's work this out...fast!

^_^ Eid Mubarak everyone!

Allahumma ballighna fi hazihi Ramadhan..

3 comments:

Anonymous said...

selamat menempuh ramadhan al-mubarak.. saya tag awk.. kalau rajin buatla.. :)

Hilman Nordin said...

ahlan wasahlan ya ramadhan.

terima kasih untuk perkongsian ini. sedar tak sedar, kita kadang2 terlupa perkara asas.

ialah, nak buat projek ke, nak jalankn family trip ke, hatta nak sambut birthday orang pun kita buat.

yup, plan.

and its never too late to do so.
thanks for reminding.

Intan said...

Salam KD

ni hao??:D Ramadhan mubarak ya ukht....moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya..have fun dalam beribadah :)