Friday, August 8, 2008

Ngeri



Huu..ngerinya. Hari-hari saya baca akhbar (walaupun secara on-line sahaja), berita yang dipaparkan memang mengerikan. Bukan ada cerita kemalangan yang dahsyat atau pembunuhan bersiri. Tetapi pembunuhan hati-hati manusia yang semakin menjadi-jadi. Hati yang dibunuh secara sembunyi-sembunyi, diracun lantas dibiar mati keras kejung perlahan-lahan. (Oh, ganasnya bahasa! Tapi ini realiti, sedar tak sedar mungkin saja kita juga sedang diracuni).

Kadang-kadang saya malas mahu buka akhbar lagi. Tapi takut juga kalau ada berita yang lebih mengerikan, bila pembunuhan tidak menggunakan racun lagi, mungkin dengan mesin-gan yang lebih canggih biar semua hati mati serentak dan ditembak hingga tinggal serpihan-serpihan saja lagi. Saya harus waspada, penyerang-penyerang hendap ada di mana-mana. Mungkin saja mereka ada taktik-taktik baru untuk terus membunuh hati-hati manusia.

Mana taknya, bila hati mati semua orang pun akan jadi zombi. Zombi yang tidak tahu menahu arah tujunya, hanya mengikut-ikut orang lain. Tertipu dengan keseronokan dunia semata hingga akhirat luput dari jiwa. Lupakah kita pada surat cinta yang Maha Esa? Dunia ini hanya permainan dan senda gurau... It's not even real!! Bila kita buka mata satu hari nanti, kita akan merasa yang dunia ini memang sebentar cuma. Mungkin sehari, dua atau setengah hari sahaja. Mungkin saja dunia ini adalah mimpi indah di kala kita lena. Jika kita larut dalam mimpi ini, percaya yang mimpi ini adalah kehidupan yang sebenarnya.. aduhai, tertipunya kita! Akhirnya kta menjadi zombi-zombi yang berjalan dalam lena. Khayalan yang entah ke mana. Dunia ini dijadikan medan fantasi, membina angan-angan hingga melangit tinggi. Aduh! Jika dunia ini yang kita kejarkan, ia hanya sebentar. Esok, lusa.. mungkin saja kita dipanggil kembali. Dan apabila sedar, kita hanya mampu menangis sambil melihat apa yang telah dibuat oleh kedua tangan kita dan berkata "Alangkah baiknya andai dahulu aku menjadi tanah!" (78:40)

Manusia yang dulu berbangga-bangga dengan dirinya...mahu menjadi tanah? Tanah yang dahulu tidak membawa erti, pada ketika itu adalah lebih baik dari manusia yang hanya berjalan dalam lena. Terus ingin membina mimpi indah merona. Terus menjadi zombi yang berjalan dalam lena...

Mahukah kita menjadi zombi? dengan hati yang mati, kering, hitam dan busuk tanpa iman? hati yang menolak untuk diperingatkan. Hati yang merasa segala yang berada di dunia ini indah dan lazat. Hati yang percaya dengan segala kemahuannya mengatasi kemahuan dan tuntutan yang Maha Mengetahui. Hati.. yang kalah bila akur dengan bisikan-bisikan yang merosak diri.

Ya, bukan mudah menjaga hati. Menyentuh hati orang lain apatah lagi. Hati itu teramatlah fragile, pasti susah untuk menjaganya. Ingin merosaknya dengan noda-noda hitam cukup mudah, tapi untuk membersihnya semula..alangkah sukar. Apatah lagi bila hati ini kering tanpa iman. Kering dan jauh dari Tuhan. Ketika itu, syaitan mula menjolok-jolok mahu ditembusi. Bersarang dan membina koloni di dalamnya. Syaitan tidak pernah putus asa. Andai ada ruang-ruang yang bisa dilalui, pantas saja mereka menerobos. Kita saja suka bersikap menangguh-nangguh. Mahu taubat dilewat-lewatkan, mahu buat amal ditangguh-tangguhkan. Aduh...

Ada seorang teman pernah berkata, "Kita perlu contohi Syaitan". Saya tergamam. Dia menyambung, "Syaitan tidak kenal erti putus asa. Kita pun tidak boleh putus asa". Ya, kita mesti lagi bagus dari syaitan. Kita harus bersegera untuk melakukan kebaikan, sebagaimana syaitan bersegera untuk menyuntik racun-racun kejahatan. Kita mesti mencari setiap ruang dan masa untuk mengajak orang kepada kebaikan, sebagaimana syaitan sentiasa mencari ruang dan masa untuk membawa orang kepada kejahatan. Kita mesti lebih baik, harus berusaha dan bersungguh-sungguh!!

Kematian hati itu ngeri. Membiarkan hati terus mati itu lebih ngeri. Hati bila sakit harus diubati, dan siapakah yang lebih hebat daripada pakar yang mencipta hati. Kerana itu kepada Nya harus kita rujuk kembali, untuk membuang segala penyakit yang telah menodai hati.



Dengan nama Allah yang mencipta hati manusia, memegang dan membolak-balikkan hati. Tuhan yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
(7:179)

No comments: