Friday, June 20, 2008

Salahudin - Penakluk Jerusalem



Salam.
Sekali lagi hari ini membuktikan kebosanan berada di sekolah dan saya berjaya menghabiskan buku Salahudin Penakluk Jerusalem karya Abdul Latip Talib dari awal muka hingga bahagian bibliografi. Sangat menarik! Saya benar-benar terkesan sehingga tidak mampu berganjak dan melepaskan buku itu daripada tangan. Semangat jihad yang ditunjukkan oleh Salahuddin benar-benar hebat. Bahagian yang paling saya gemari tentulah taktik peperangan yang digunakan.

Sudah lama saya teringin untuk membaca buku ini. Awal tahun ini saya terlihat buku ini dijual di perkarangan fakulti saya, lantas tanpa berfikir panjang saya terus membelinya. Beberapa hari kemudian saya teringat hari lahir sahabat baik saya. Bukankah sifat saudara sesama muslim memberi sesuatu yang paling disukainya kepada saudaranya? Saya pun terus menghadiahkan buku itu kepada sahabat saya, moga-moga dapat diambil pengajarannya bersama.

Kini barulah saya berpeluang menyelak kembali halaman yang mengisahkan keberanian dan semangat juang yang tinggi seorang tokoh yang digeruni dan disegani. Melihat kembali kepada diri saya sendiri, apakah saya mampu menjadi seorang yang hebat seperti dirinya? Di awal cerita semangat saya turut berkobar-kobar. Terasa seperti ingin turut sama berjihad bersama Panglima perang hebat ini. Tetapi, di pengakhiran cerita semangat saya mulai luput. Masakan tidak, peperangan yang berlaku selama berbulan-bulan dengan serangan bertubi-tubi. Setelah berjaya membuka sebuah kawasan itu, tentera musuh kembali beberapa kali untuk menawan semula. Jika berpandangan negatif, seperti melakukan perkara yang sia-sia sahaja. Musuh tetap kembali untuk merampas kawasan yang telah kita berjaya tawan. Tetapi, secara positifnya pasti ada ganjaran dari setiap usaha yang dilakukan. Mungkin sahaja Allah mahu kurniakan ganjaran yang amat besar buat mereka yang benar-benar sabar, ikhlas dan sanggup berkorban segalanya.

Kadang-kadang kita terlalu ingin melihat kemenangan yang cepat sedangkan kemenangan itu tidak semudah yang kita sangkakan. Kemenangan itu adalah milik orang yang sabar dan sentiasa ikhlas untuk mencari redha Nya.

"Ya Allah, tabahkanlah hatiku seperti tabahnya hamba-hamba Mu yang sentiasa ikhlas dan berkobar-kobar untuk mencari keredhaan Mu."

***
Nabi S.A.W bersabda, "Barang siapa mati padahal dia tidak pernah berjihad atau tidak pun pernah berniat untuk berjihad maka matilah dia seperti jahiliyyah."
H. R Bukhari dan Muslim


"Kita takut kepada zionis, ternyata mereka adalah sahabat kita. Kita takut kepada komunis t
ernyata mereka adalah sekutu kita. Jadi, musuh kita hanya satu iaitu Islam. Islam telah menjadi penghalang imperialisme Eropah sepanjang tiga dekad."
Lawrence Brown


"Tentera Salib merampas Jerusalem dengan kekerasan dan membunuh semua tentera Islam yang menyerah. Mereka juga menganiaya kanak-kanak dan memperkosa wanita-wanita Islam lalu membunuhnya. Mereka menjadikan kanak-kanak kami sebagai barang mainan. Mereka lambung anak-anak kecil itu ke udara kemudian tadahkan tombak ataupun pedang sehingga tubuh anak-anak yang tidak berdosa itu berkecai."
Salahuddin al-Ayubi



No comments: