Sunday, March 1, 2009

iman

"Mari kita duduk dan beriman sejenak"
- Muaz bin Jabal


Saya teringat semasa kakak mula-mula menceritakan kisah ini. Kisah sahabat-sahabat di zaman selepas kewafatan Rasulullah. Masing-masing sibuk untuk cuba mengingatkan satu sama lain untuk sentiasa memelihara iman dalam setiap urusan kehidupan. Ah, para sahabat tentunya orang-orang yang hebat dan tinggi imannya berbanding dengan kita. Jika mereka berusaha sedaya upaya untuk saling mengingatkan untuk memelihara iman, kenapa kita tidak pula?

Kita yang berada di zaman yang semakin melupakan Tuhan dan penuh dengan tarikan-tarikan Taghut sepatutnya berusaha dengan lebih giat lagi untuk saling mengingatkan untuk memelihara iman. Hati itu ibarat gelas, jika tidak diisi dengan air ia akan terisi dengan udara. Jika hati tidak diisi dengan iman, ia akan diisi dengan kebatilan.

Kadang-kadang kita memandang remeh soal iman. Atau mungkin mempunyai keyakinan tahap tinggi bahawa diri kita dapat memelihara iman sehinggakan merasa tidak perlu untuk melakukan sesuatu yang dapat menambahkan iman.
Ingatlah, Allah yang memegang hati kita. Bagaimana mungkin kita mampu berbicara seolah-olah kita terlalu pasti dengan iman kita? Bagaimana mungkin kita terlalu pasti seolah-olah kita tahu yang Syurga itu untuk kita?

Dunia kini telah membingungkan kita. Masyarakat memandang ilmu, pangkat dan harta sebagai segala-galanya. Siapa yang tinggi ilmunya, berpangkat tinggi dan kaya raya itulah yang menjadi sebut-sebutan dan kelihatan hebat di mata mereka. Namun, pastinya bukan itu semua yang akan kita bawa bila kita kembali padaNya tetapi sekeping iman untuk membuktikan kita benar-benar hambaNya yang bertakwa.

Bingung. Seolah-olah kita sedang dikelirukan dengan memberikan jawapan yang salah dalam ujian kehidupan ini. Tuhan meminta kita untuk membawa hasil iman kita tetapi kita hidup berhabis-habisan untuk mengejar cita yang entah apa-apa.
"Saya mahu jadi akauntan yang berjaya!"
"Saya mahu menjadi jutawan!"
"Saya mahu jadi wanita Malaysia pertama di angkasa!"
dan kita berusaha sekeras-kerasnya untuk mengejar cita-cita. Sedangkan bukan itu yang Tuhan maksudkan dalam ujian kehidupan ini. Sayang sungguh, kita sedang menjawab soalan yang salah dalam ujian kehidupan ini.

Hm, tapi tidaklah saya bermaksud supaya kita meninggalkan terus apa yang sedang kita usahakan sekarang ini juga tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa mengejar cita-cita itu adalah entah apa-apa.

Cuma, kita perlu berhati-hati andainya apa yang kita cita-cita itu tersasar daripada matlamat utama penciptaan kita. Berusaha sehabis daya untuk mengejar cita-cita sehingga terlupa untuk berusaha sehabis daya untuk memelihara iman kita.

Pastinya, kita harus jelas..kita bercita-cita untuk apa?

Adalah lebih baik, jika kita bercita-cita besar tetapi semuanya difokuskan untuk Islam.
"Saya mahu jadi akauntan berjaya dan islami. Moga-moga orang lebih tertarik untuk mendengar saya berbicara tentang Islam dengan kejayaan saya ini."
"Saya mahu jadi jutawan seperti Abdul Rahman bin Auf. Menggunakan hartanya semata-mata untuk Islam"

oh, cita-cita ini bukan hanya bicara penyedap rasa tetapi sesuatu yang benar-benar lahir dari hati dan tentunya bermula dengan jelasnya IMAN.

Sudah jelas tentang jawapan kehidupan?
Oh, masih ada masa. Ujian belum tamat lagi, kita masih boleh membetulkan jawapan yang salah ini. Tapi, perlu dibetulkan SEGERA kerana kita pun tidak pasti bila masa tamatnya ujian ini.

3 comments:

Daffodil said...

salam akak dear
iman...
sekejap di atas
sekejap di bawah
thanks for this post
=)

Hilman Nordin said...

masa dah tamat ~ sila letakkan pen dan letakkan kertas jawapan di sebelah kanan meja. anda dikehendaki senyap sementara pengawas peperiksaan mengumpul kertas jawapan anda.

kalau biasa, mesti macam lega kalau ujian dah tamat. walaupun jawapan ntah apa-apa.

kalau ujian kehidupan tamat... uih..seramnya.

semut said...

astaghfirullah3..betul,kan? dimana cita2 itu sebenarnya?

menjadi orang yang paling kaya? kalau gitu, hubungkan ia dengan islam!

nak baju paling lawa, ha,kaitkan dengan islam!

tapi, ramai yg cuba nak sesuaikan islam dengan kehidupan mereka. Bukankah kita yang sepatutunya masuk ke dunia islam yg indah itu?

syukran for the beautiful post!!