Wednesday, November 5, 2008

Tuhan, mohon bicara denganku...

Ta-Ha


Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (13) Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (14) Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan. (15) Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. (16) Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (17) Nabi Musa menjawab: Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu. (18) Allah Taala berfirman: Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa! (19) Lalu dia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar. (20) Allah berfirman: Tangkaplah akan dia dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal. (21) Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain. (22) (Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar. (23) Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. (24) Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (25) Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; (26) Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, (27) Supaya mereka faham perkataanku; (28) Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. (29) Iaitu Harun saudaraku; (30) Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31) Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, (32) Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, (33) Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; (34) Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami. (35) Allah berfirman: Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa! (36) Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini. (37) Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: (38) Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu. (39) Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya? Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya dia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa! (40) Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu. (41) Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku. (42) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut. (44) Mereka berdua berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau dia akan melampau batas. (45) Allah berfirman: Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya. (46) Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera, itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah. (47) Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya. (48) (Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa? (49) Nabi Musa menjawab: Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: Kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya.(50)




Tuhan,

Aku senang sekali mendengar bicaraMu.

Syukur ya Allah.

Aku gembira sekali..


Aku mohon untuk berbicara dengan Mu setiap masa dan ketika.

Aku mohon untuk merasa kehadiran Mu di setiap waktu.

Sungguh..

Bicara Mu menghilangkan gundah di hatiku.

Bicara Mu mengubat segala rindu.

Bicara Mu sumber inspirasiku.


Tuhan,

Aku rindu...

1 comment:

naz_irah said...

ku rindu saat itu..^_^
kembalikanlah saat itu Allah...