Thursday, November 13, 2008

hitam, putih dan kelabu


Bismillah.

I'm back at home. Unplanned.

Ambil cuti sebentar daripada menjual nasi lemak dan karipap. Harap tidak mengganggu perkembangan bisnes kami. Semalam saya menjaja dari satu bilik ke satu bilik sehingga tidak perasan saya telah ke tingkat 9 hanya dengan memanjat tangga. Oh, mungkin ini yang dimaksudkan dengan semangat dan ketekunan. Sehingga sesuatu yang saya pernah fikir sangat mustahil untuk dilakukan berjaya dilakukan, tanpa sedar! Saya seronok mengetuk pintu-pintu bilik mereka. Menyapa mereka dengan senyuman indah seawal pagi (ceh, perasan!), melihat wajah-wajah yang tersipu-sipu malu apabila mengenal saya seorang demonstrator yang pernah mengajar di makmal satu masa dulu dan melihat semangat pemudi-pemudi harapan bangsa yang bangun awal untuk mengulangkaji. Mungkin selepas ini mereka akan lebih mengenal saya sebagai si penjual nasi lemak dan karipap berbanding kakak yang berdiri di hadapan makmal sebagai demonstrator =D

Saya terfikir juga. Apakah saya punya kekuatan begini untuk mengetuk setiap pintu rumah mereka dan menceritakan tentang indahnya Islam. Seperti Rasulullah yang tidak pernah jemu mengetuk pintu setiap rumah di Makkah, seperti Mus'ab yang tidak meninggalkan walau satu rumah pun di Madinah daripada menceritakan mengenai Islam. Aduh, kadang-kadang saya malu sendirian. Apakah usaha saya sudah semaksima mungkin? Sungguh, apabila mengenangkan kembali Syahadah al-Haq ini, saya sendiri berasa malu dengan telunjuk yang tegak dalam ikrarnya. Saya malu andainya telunjuk ini bisa berbicara dan mengingatkan kembali akan syahadah yang saya lafazkan saban waktu. Tuhan, begini beratkah dosaku?
Saya harus mengingatkan diri ini berkali-kali akan tanggungjawab syahadah ini bukanlah ringan dan semudah mengangkat telunjuk ini ketika bersyahadah.

Baru-baru ini saya membaca satu entri yang sangat mengharukan. Kisah bagaimana seseorang ditemukan dengan hidayah Allah yang indah. Bagaimana dahulu dia sangat benci dengan orang yang membawa islam dan mengajakkannya kepada islam. Dek kerana kebenciannya yang meluap-luap dia lantas mempelajari islam kerana mahu membuktikan bahawa mereka yang membawa islam ini tidak akan ke mana-mana, dia mahu membuktikan mereka yang sibuk bercerita tentang islam ini hanyalah sebagai satu escapism. Dia seorang muslim, tetapi dia sendiri malu dengan islam. Dia malu berjalan dengan seseorang yang bertudung kerana mereka melambangkan islam. Mungkin pada ketika itu dia berasa islam itu lemah dan tidak sesuai dengan arus semasa (saya juga pernah berfikir demikian sebelum didakap hidayah yang indah ini). Allah itu Maha Pengasih, perlahan-lahan dibuka pintu hati insan ini untuk melihat sudut indah islam sehingga sampai satu saat dia benar-benar mahu kembali pada Allah. Dia tidak tahu ke mana hendak dituju, dan dia kembali kepada manusia-manusia yang pernah dibencinya dahulu. Manusia yang mengajaknya kepada islam tanpa jemu. Katanya, banyak perkara-perkara kecil yang dilihat pada mereka telah menyentuh hatinya. Mereka tidak pernah bersifat judgmental, menerimanya seadanya. Walau pernah memarahi mereka, mereka tetap bersabar dan tidak menyimpan rasa. Banyak betul yang saya pelajari daripada tulisan hati insan yang dipilih Allah ini. Allah mencurahkan hidayahNya buat mereka yang mencariNya. Jika kita menuju kepada Nya dengan berjalan, Allah akan menyambut kita dengan berlari!!! Merangkul dan mendakap dengan penuh kasih sayang ^_^

Sisi pahit daripada tulisan ini ialah apabila dia membongkar keadaan di tempat kerjanya. Bagaimana sebuah syarikat yang hampir 99% muslim, hanya 4 daripada 40 orang yang dilihatnya menunaikan solat. Bagaimana dia saban hari diajak oleh teman-teman untuk clubbing sehingga dia merasakan tembok iman dia mula runtuh hari demi hari. Saya benar-benar terkesima. Jahiliyah benar-benar berkecamuk di Malas-ya. Kata teman saya, kalau di Eropah yang hak dan batil itu benar-benar dapat dilihat berbeza. Jelas sekali batas antara duanya. Mungkin benar seperti Yang Aneh-aneh karya Faisal Tehrani, islam di sini kelihatan sungguh aneh sekali. Ya, di Malaysia warna kelabu itu semakin berleluasa sehingga warna hitam dan putih pun tidak dapat dibeza. Semakin juga yang memilih warna kelabu sebagai warna kegemaran mereka. Oh, pening kepala. Jelas sekali islam di Malaysia belum benar-benar jelas. Juga bukti pelajaran agama di sekolah gagal menjelaskan orang-orang islam mengenai islam itu sendiri. Oh, saya terlupa. Mungkin mereka hanya gilakan pada huruf 'A' dalam perkataan islam itu, sehingga huruf-huruf yang lain dipandang hanya sebelah mata (atau tidak dipandang langsung!)

Saya bingung. Apakah alasan mereka untuk tidak bersolat? Terlalu sibuk? Saya suka untuk bercerita bagaimana surah 'Abasa menyentuh hati saya.

"maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): (24) Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. (25) Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; (26) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran, (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, (29) Dan taman-taman yang menghijau subur, (30) Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu." ('Abasa, 80: 24-31)

Manusia bekerja untuk mencari rezeki. Jika ditanya kalau tidak bekerja bagaimana dan dia lantas akan menjawab, "Habis sape nak bagi aku makan??". Maka, saya pun sukalah untuk bercerita mengenai ayat ini. Manusia dengan megahnya berkata yang mereka terlalu sibuk walau untuk seketika menghadap Tuhan (dengan bersolat). Tetapi dalam sibuknya manusia, sibuk lagi Sang Penguasa alam menguruskan segala macam yang ada. Lihat dan dalamilah setiap ayat itu satu persatu. Bagaimana Allah menguruskan makanan kita, yang selalu dibimbangkan oleh segenap lapisan manusia. Paling menyentuh hati ialah ayat 27, Allah menjaga setiap benih yang jatuh ke bumi. Bumi dibelah untuk memberi ruang benih ini bercambah, lalu pucuk dan akar dapat menembusi lapisan tanah lalu membesar menjadi sepohon pokok. Bagaimana dengan pokok-pokok yang lain? Semuanya dijaga dengan rapi oleh Allah. Rumput dan rumpai, pokok tinggi dan rendah, semuanya cukup. Saya suka ke hutan dan melihat daun-daun pokok yang bergumpal-gumpal seperti awan. Setiap tumbuhan dengan karakter yang tersendiri, benar-benar menggamit rasa. Ini baru mengenai tumbuhan, bagaimana pula dengan haiwan-haiwan? Bagaimana dengan serangga yang mendapat posisi pertama dalam jumlah populasinya di bumi? Ya, Allah lebih sibuk menguruskan pelbagai perkara. Namun tidak pernah Da terlupa untuk membenarkan butiran-butiran oksigen masuk ke kerongkong kita. Tidak pernah Dia terlupa walau satu saat membiarkan kita terbiar tanpa kawalanNya. Cuma kita saja yang suka berdolak dalih, memberi alasan dengan kesibukan yang dicipta-cipta. Kita hanya tahu mencariNya apabila ditimpa musibah dan diruntun kesedihan. Hanya tahu menyumpah-nyumpah lantaran takdir yang diterima tidak seindah harapan.

Tuhan Yang Maha Pengasih itu tidak pernah putus-putus memberi peringatan. Lantaran kasih-sayangNya yang tidak bertepi. Diberinya musibah, agar kita kembali meminta padaNya. Betapa Dia rindu untuk mendengar suara hambaNya, berdoa dengan tulus memohon ampun dan meletakkan sepenuh pengharapan padaNya. Ada manusia yang menganggap Tuhan tidak adil kerana tidak memberi apa yang dihajatinya. Maka manusia itu seharusnya mengingat kembali akan tidak semua yang diimpikan itu terbaik untuknya. Fikiran manusia itu cetek, terhad dan tidak mampu menandingi luasnya pengetahuan Tuhan. Tidak perlulah menujuk-nunjuk dengan IQ yang sehebat mana, mahupun kelebihan yang tanpa disedari juga kurnia Tuhan padanya.
"Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, (6) karena dia melihat dirinya serba cukup. (7) Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali [mu]. (8)" (al-'Alaq, 96: 6-8)

Ah, saya sendiri takut sekiranya saya berbangga-banga dengan pinjaman Allah buat saya. Mohon dijauhkan...

Kalau dahulu saya juga di kalangan manusia yang memandang rendah dengan islam. Tidak mahu kelihatan terlalu ekstrim dengan mempamerkan islam di setiap masa dan ketika. Saya juga dahulu mahu menjadi golongan yang tengah sahaja. Tidak terlalu ekstrim kepada islam dan tidaklah pula ke arah yang terlalu batil itu. Tanpa saya sedari, saya sebenarnya telah memilih warna kelabu. Saya sebenarnya sedang mencampur aduk yang hak dan batil sehingga menjadi warna kelabu yang disukai ramai. Warna kelabu yang sebenarnya menyesatkan dan akhirnya menolak kita semakin hampir kepada hitam. Allah menciptakan dua jalan untuk kita dengan jelas. Pengakhirannya juga jelas, jalan putih menuju ke syurga dan yang hitam menuju ke neraka. Tiada tempat untuk mereka yang memilih jalan kelabu kerana yang kelabu itu sebenarnya kelak menolak ke arah hitam juga.

Kelabu itu bagaimana?
Apabila kita hanya mengambil islam itu setengah-setengah dan tidak bersetuju dengan setengah yang lainnya, sebenarnya kita sedang memilih jalan yang kelabu. Apabila kita mengambil islam dan menyesuaikannya mengikut suka hati kita (i.e tak payah solat sebab tak sempat), kita sebenarnya mencipta jalan yang kelabu. Kita juga sebenarnya sedang menebuk al-Qur'an dengan mengambil ayat yang disukai dan membuang sebahagiannya kerana berasa ia tidak sesuai dengan keadaan semasa. Kita juga memilih jalan kelabu apabila mencampur adukkan yang halal dan haram kononnya dengan tujuan yang baik (em, tak payah bagi contoh kot. isu sensitif..). Kita juga menjadi seorang penggemar jalan kelabu apabila mengamalkan islam di setengah-setengah masa, tetapi tidak mengamalkan islam di masa lainnya (i.e pakai tudung tapi mencuri. tudung saji kot :P). Banyak lagi keadaan yang sebenarnya menjuruskan kita kepada jalan yang kelabu, jalan yang samar-samar tapi kononnya nampak seronok kerana mendapat pilihan nombor satu dalam hati masyarakat Malas-ya. Pendek kata, generasi kelabu ini semakin meruncing. Mereka mungkin tidak sedar akan kekelabuan pemikiran dan kefahaman mereka terhadap islam kerana rata-rata masyarakat menerimanya sebagai satu norma. Mereka yang memilih jalan putih kelihatan sungguh ekstrem walhal mereka sebenarnya berada di landasan yang betul. Awas: sekiranya anda masih mempunyai perasaan yang tidak baik terhadap sebahagian hukum islam, memandang sedikit rendah terhadap syariat dan tidak dapat mengamalkan dan merasai nilai-nilai islam dalam setiap sudut perilaku, anda harus berhati-hati kerana ini mungkin simptom memilih jalan yang kelabu!!

Jangan keliru dengan yang kelabu!
Carilah Allah, kelak Dia akan menyambut kita dengan limpahan kasih sayang.


Hidayah itu indah, hadiah buat mereka yang mencari dan mahu kembali kepadaNya.

No comments: