Sunday, November 16, 2008

eMa


Sebentar tadi baru dihantar pulang oleh eMa. eMa sahabat baik saya sejak mula menjejakkan kaki di sini. Esok dia sudah mahu pulang ke kampung halaman, meninggalkan saya termangu-mangu sendirian menunggu tesis yang masih belum siap diperiksa. Kami sempat berbual-bual dan mengimbau kembali kenangan semasa di sini. Terharu, sedih dan gembira. Perasaan saya bercampur baur. Saya tahu, dia akan menumpahkan air mata bila-bila saja. Jadi saya diam saja. Terlalu banyak kisah antara kami. Bergaduh, menangis dan tertawa kembali. Satu persahabatan yang sangat istimewa buat saya.

***

"Aku suka la tengok dia.."
Terdengar satu suara bercakap di belakangku. Aku menoleh dan dia membuat reaksi terkejut. Tangannya menutup mulutnya yang ternganga. Aku tersenyum saja. Ketika itu aku sedang menguruskan pasukan sorak blok kami. Sejak itu bermulalah kisah persahabatan antara saya dan seorang insan bernama eMa.

eMa bukan seperti rata-rata pelajar perempuan yang lain. Dia sedikit istimewa. Ke mana saja dia pergi, selalunya menjadi perhatian orang. Kadang-kadang saya geram juga dengan orang yang tidak tahu menghormati perasaan orang sepertinya. Mereka fikir orang seperti eMa itu sesuai untuk dibuat bahan gurauan sehingga berkelakuan biadap sekali. Rata-ratanya lelaki. Sungguh, saya tidak pasti saya mampu bertahan jika berada di tempatnya.

Saya kagum dengan eMa. Walaupun dia tahu yang dia sedikit berbeza, dia tidak menjadikan perbezaan itu sebagai penghalang untuk dia mencapai sesuatu. Dia sangat mesra dan prihatin dengan saya. Di tahun pertama kami tinggal berjiran. Rumahnya di hadapan rumah saya. Kami juga sekelas. Banyak tugasan yang kami lakukan bersama. Pendek kata kami memang serasi bekerja bersama. Saya pun sudah biasa melayan kerenahnya, begitu juga dengan dia. Kami biasa membuat nota bersama-sama. Bila saya bosan belajar berseorangan, saya akan ke rumahnya dan kami akan berbincang bersama. Walaupun berpindah ke luar kampus, kami masih berjiran.

Hidup berkawan, tidak lepas daripada perselisihan dan persengketaan. Pernah sekali saya begitu geram dengan eMa. Saya pun tidak ingat mengenai apa. Tapi saya nekad untuk pulang ke rumah dan meninggalkan dia keseorangan. Saya tahu, dia tidak berani tinggal sendirian. Saya begitu geram sekali sehingga sanggup membiarkan dia ketakutan di rumahnya. Tapi tidak sampai seharian, kami kembali bermaaf-maafan dengan air mata menjadi saksi terjalinnya semula persahabatan.

Justify FullSejak mula berjinak-jinak dengan tarbiyah, dia sedar akan perubahan saya. Saya tahu dia tertanya-tanya. Tapi saya tetap melayannya seperti biasa. Ada juga saya menceritakan kepadanya serba sedikit tetapi saya pasti masih ada persoalan besar yang tersembunyi di hatinya. Terasa seperti mahu menceritakan segalanya padanya. Cuma saya risau dia tidak mampu menanggung tanggungjawab sebesar ini. Tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Saya ceritakan kepadanya yang prioritinya sekarang adalah keluarganya. Keluarga eMa masih banyak memerlukan bantuannya. Dia satu-satunya anak perempuan. Abangnya pun masih perlu diperingatkan. Begitu juga adiknya. Emaknya bergantung penuh kepadanya. Apa yang boleh dikongsi saya cuba kongsikan juga dengannya. Kadang-kadang saya berasa bersalah. Apakah saya telah menunaikan tanggungjawab syahadah ini sepenuhnya kepada dia. Saya rasa bersalah juga memandangkan dia masih menghadapi konflik dengan keluarga dan diri sendiri. Saya takut..apakah ini cuma alasan saya sedangkan dia berhak untuk mendapat haknya yang lebih besar? Saya tahu, tak semua orang dapat memahami dan menerima sesuatu yang berat seperti ini...

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya, merahmatinya dan memberi hidayah kepadaNya. Semoga dia dapat merasa kemanisan iman dan hidup di dalam kasih sayangNya.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya, sekiranya saya tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada dia.

***

Sempat juga dia bertanya tadi,
"Pergi Brunei nanti, buat dakwah juga ke?"

Saya tersenyum dan menjawab,
"Mesti! Kat mana-mana pun."

Hati saya berbunga-bunga riang kerana mempunyai seorang sahabat yang benar-benar memahami.

Terima kasih sahabatku di atas memori yang sangat manis ini. Maaf, saya mungkin akan merindui kamu.

Catatan terakhirnya dalam secebis kertas buat saya,
"eMa mulai kenal +paham apa itu 'kawan'. eMa ikhlas terlalu sayangkan persahabatan kita.."

No comments: