Friday, November 14, 2008

Laskar Pelangi



Tamat sudah membaca novel fenomenal ini. Laskar Pelangi karya pertama Andrea Hirata. Saya hampir mahu berhenti setelah hampir separuh buku ini dibaca. Bukan kerana buku ini tidak bagus, cuma kisahnya terlalu mempesona. Kisah zaman kecil si penulis yang penuh warna-warni. Saya tercari-cari tema sebenar novel ini. Pada mulanya saya menyangka temanya bersangkutan dunia pendidikan, tetapi setelah membaca sehingga ke ayat yang terakhir saya dapat simpulkan temanya berkait dengan memori dan advencer si penulis dan teman-temannya sejak mereka mula bertemu hingga dewasa. Perjalanan hidup yang dicerita dengan penuh perasaan.

Harapnya saya tidak terlambat untuk membuat ulasan mengenai novel yang begitu indah ini. Filemnya sudah ditayang di Indonesia bulan September lalu dan di Malaysia Soundtrack oleh Nidji sudah berkumandang di radio. Saya tidak memberi harapan tinggi dengan filemnya. Sudah banyak kali filem yang dihasilkan daripada buku mengecewakan saya. Bukan tidak bagus, cuma fantasi saya dengan membaca buku selalunya lebih indah daripada yang ditayangkan di filem. Menonton Harry Potter semasa di zaman kanak-kanak dulu pun tidak seseronok membaca bukunya. Tetapi filem merupakan alternatif yang baik bagi mereka yang malas membaca dan sukar berfantasi. Haha.. (sarkastik betul :P)

Membaca Laskar Pelangi membuatkan saya melihat diri saya mempunyai sedikit-sebanyak persamaan dengan penulis yang memegang watak Ikal dalam anggota Laskar Pelangi. Seorang yang observant, suka memerhati, suka menulis dan berkarya, suka berfantasi, suka melihat pokok dan alam yang indah, bersemangat dalam bersahabat dan sangat menghargai sahabat-sahabatnya. Cuma saya tidak mempunyai kebolehan bermain badminton seperti Ikal. Juga tidak tidak pernah terlibat dengan perasaan cinta pertama. Saya sukakan tulisan Andrea Hirata ini, gaya bahasa yang mudah dengan menjadikan alam sebagai bayangan keindahan ceritanya. Satu persatu watak dan tempat digarap bagi memberi bayangan yang detail akan keindahan Pulau Belitong yang menjadi inspirasi cerita. Sekiranya anda bukan pembaca novel yang berbahasa indah dan menyukai tema biologi dalam novel, anda mungkin cepat bosan. Andrea seboleh mungkin mahu menceritakan setiap peristiwa dengan sedetailnya. Kisah, atmosphere dan perasaan semuanya diceritakan bagi memberikan gambaran harmonis keadaan di waktu itu.

Saya tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan novel ini begitu fenomenal? Bukan mahu mepersoalkan kehebatan novel ini, tetapi saya mahu melihat kehendak masyarakat terhadap satu-satu karya. Saya dapat simpulkan masyarakat pada masa dan waktu ini sedang mengharapkan sesuatu yang dapat memberikan ketenangan, mengeluarkan mereka daripada kerunsingan dan karya ini memberikan mereka peluang untuk mengembara ke alam yang indah di Pulau Belitong, bersama anak-anak penuh pesona dan menelusuri kehidupan mereka yang penuh warna-warni. Inilah salah satu bentuk escapism yang juga dilakukan oleh watak Ikal dalam novel ini dengan membina fantasi di Edensor sebagai satu cara meredakan hati yang gundah-gulana. Edensor, ibarat syurga bagi Ikal kerana keindahannya daripada fantasi buku yang dibacanya itu memberi seribu ketenangan.

Saya memandang keistimewaan buku ini dari sudut yang berbeza. Saya sukakan watak Bu Mus, guru Laskar Pelangi yang sangat tabah dan penuh semangat. Juga watak Lintang yang saya pasti mempunyai peminat yang ramai di kalangan pembaca. Novel ini juga membuktikan peri pentingnya pelajaran dan kefahaman Islam diberikan kepada anak-anak sejak kecil. Bu Mus melatih anak-anak muridnya untuk mengamalkan cara islam yang sebenar. Sekolah islam yang miskin ini juga mempunyai moto yang sangat unik, "Amar Makruf Nahi Mungkar". Penulis juga menunjukkan betapa sekolah ini berjaya mendidik mereka untuk berpegang dengan cara hidup islam. Cuma mungkin tidak banyak penekanan diberi dalam novel ini mengenai islam itu sendiri. Watak Pak Harfan juga tidak kurang hebatnya, seorang guru yang sepatutnya menjadi inspirasi semua guru-guru. Penuh semangat dan wibawa.

"Ketika mengajukan pertanyaan beliau berlari-lari kecil mendekati kami, menatap kami penuh erti dengan pemandangan matanya yang teduh seolah kami adalah anak melayu paling berharga. Lalu membisikkan sesuatu di telinga kami, menyebut dengan lancar ayat-ayat suci, mencabar pengetahuan kami, berpantun, membelai hati kami dengan wawasan ilmu lalu diam, diam berfikir seperti kekasih merindu, indah sekali."

Pak Harfan juga meninggalkan pesan yang begitu mengesankan,
"Hidup untuk memberi sebanyak-banyaknya. Bukan menerima sebanyak-banyaknya."

Novel ini berjaya membuat saya tertawa dan menangis. Satu pesan saya, jika sudah mulai membaca mesti dihabiskan hingga ke akhirnya. Kerana di akhir cerita punya kejutan dan jawapan untuk pelbagai persoalan. Novel ini terlalu indah sehingga saya sendiri takut untuk meneruskan pembacaan. Takut terleka dengan fantasi indah Pulau Belitong dan terlekat dunia. Namun begitu, menghabiskan novel ini tidak sia-sia. Saya menemui jawapan untuk menjawab persoalan yang selalu menjadi dilema untuk saya menerangkannya. Persoalan antara takdir, hasil dan usaha. Seperti yang kita ketahui segala hasil sudah termaktub sebagai takdir, oleh itu bagaimana mahu dikaitkan usaha dengan takdir. Ada orang malas berusaha kerana percaya jika berusaha bagaimanapun tidak akan mengubah takdir. Andrea memberi analogi ringkas dalam novel ini yang mungkin membantu untuk menjelaskannya.
"..hidup dengan usaha adalah mata yang ditutup untuk memilih buah-buahan dalam bakul. Buah apa yang kita dapat, tetap mendapat buah."

Mata kita tertutup kerana kita tidak dapat melihat takdir. Kita tidak tahu hasil sesuatu perkara yang kita lakukan. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan berusaha, kerana usaha membolehkan hasil itu tercapai. Kita hanya mendapat buah jika kita bertindak untuk mengambil buah. Tetapi usaha itu bukan penentu hasil kerana hasil itu sudah ditentukan sebagai takdir. Dengan kata lain, buah apa yang akan kita capai itu adalah takdir. Kita hanya bertindak untuk mencapai buah itu sahaja sebagai satu usaha. Pengalaman pula mengajar kita untuk memilih buah berdasarkan pengalaman yang lepas. Walau dengan menutup mata (tidak tahu akan takdir sendiri), kita masih boleh menggunakan pengalaman bersama-sama dengan usaha. Hasilnya, biar saja Allah yang tentukan. Dengan cara ini kita akan terus berusaha dan berusaha...menggunakan pengalaman yang ada dan kekuatan semaksima mungkin untuk berusaha. Kerana mata kita tertutup, kita perlu berusaha mencapai buah yang ada. Supaya kita memperoleh buah juga. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan malas berusaha, kita hanya mengharapkan buah yang tidak kunjung tiba. (jika rasa komplikated, sila baca dengan perlahan-lahan)

Akhir kata, buku ini mampu memberi inspirasi buat anak-anak yang menghadapi kemelut pendidikan, buat guru-guru dan manusia lainnya. Lihatlah pada sudut bagaimana islam mendidik mereka menjadi manusia-manusia berguna. islam yang menjadi nadi segala kehidupan.

p.s: Laskar Pelangi ialah sebuat tetralogi. Buku-buku lainnya sudah ada di pasaran. Cuma buku keempat belum tiba di Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

panjangnyer entry nie.. baca separuh dulu.sambung balik nanti..hehe..
(1st time bg komen.selama ni jd silent reader jer..hehehe)

Mama Hazim said...

oooh..silent je ek.
takpe2. teruskan membaca.

tp, mendapat komen dari awak adalah sangatlah diharapkan. hehe