Wednesday, November 26, 2008

Asadullah in action!


Bismillah.

Alhamdulillah. Pulang dari PMC dengan membawa semangat dan kenangan yang teramat indah. Terlalu banyak yang ingin diceritakan. Saya fikir semua peserta pun begitu. Empat hari terasa berlalu dengan sangat cepat. Jika anda membaca entri ini dan merasakan ia sangat bosan, ini adalah faktor penulisan saya yang membosankan kerana PMC ini sememangnya tidak membosankan.

Saya memang sukakan aktiviti lasak. Seronok betu dapat masuk hutan dan buat jungle trekking. Bukan, jungle trekking inilah yang paling mencabar setakat ini (siap ada tempat kena turun dan panjat guna tali). Sangat melelahkan ketika memanjat bukit yang curam untuk tempoh masa yang agak lama. Maklumlah, kurang bersenam stamina pun kurang. Terasa betapa kurangnya menjaga muwasafat 'qawwiyyul jismi' itu. Dulu pernah bercita-cita nak panjat kinabalu. Tapi, kalau dengan stamina macam ni, tak payah mimpilah. Buat malu je. Heh.

Tempat kami jungle trekking ini masih baru, belum banyak orang lalui. Jadi agak special sebab jalannya masih mencabar (i.e tak ada trek khas). Wak yang jadi penunjuk jalan untuk kami cakap kami berjaya habiskan jungle trekking ni dalam masa 2 jam saje. Kumpulan-kumpulan yang pernah buat jungle trekking ni dulu-dulu ambil masa 2 setengah jam atau lebih. Hehe..girl power!

Petang tu kami ada 'explorace' yang boleh tahan mencabar juga. Nak cerita semua, memang tak larat. Tapi banyak perkara yang dipelajari di sepanjang aktiviti tu terutamanya untuk 'team-building'. Lupa nak cakap, kami ni kumpulan Asadullah. Asadullah in action, Aummm!!!

Lepas explorace ada 'war game' yang paling mengujakan. Sebelum ke medan perang kami siapkan senjata kami. Bukan 'war game' guna paintball macam sisters UK selalu main. Tapi pakai paintballoon, hehe. Kami guna belon dan bancuhan air+tepung+cat. Saya ditugaskan untuk menjadi penjaga panji (kebetulan masa tu saya tengah pegang bendera). Fuh, terus saya terbayang Mus'ab bin Umair yang pernah bertugas menjadi pemegang panji dulu. Kumpulan-kumpulan bergabung untuk membentuk dua kumpulan besar yang bakal berlawan di medan perang nanti. Kami bergabung dan menamakan kumpulan kami 'Ahlul Badar' dan memilih bendera kumpulan kami sebagai panji pasukan 'Ahlul Badar'. Pasukan lawan menggelarkan diri mereka 'Ruhul Jadid'. Dalam perlawanan one-to-one, pasukan kami menang dan diberi peluang untuk memilih kubu. Dengan bantuan perisik yang kami hantar untuk melihat keadaan medan perang (yang belum dapat kami lihat lagi ketika itu), kami memilih untuk membuat kubu pertahanan di bahagian bukit. Kami diberi peluang untuk maju ke medan perang dahulu dan mempersiapkan pasukan di kubu pertahanan.

Sampai saja di medan perang, saya benar-benar tergamam. Melalui sebuah khandaq (parit) dan melihat 'bukit uhud' yang tersergam membuatkan jantung saya berdebar-debar. Saya lantas memanjat 'bukit uhud' untuk meletakkan panji. Panglima pasukan membahagikan tentera kami untuk menyembunyikan diri di celahan batu sebelum pasukan lawan tiba. Saya benar-benar teruja, beginikah keadaannya di medan perang sebenar. Sungguh mendebarkan apabila melihat kelibat pasukan lawan yang tiba tidak lama kemudian. Kubu kami dipisahkan dengan khandaq di hadapan pasukan lawan. Pasukan 'Ruhul Jadid' juga kelihatan tergamam melihat keadaan medan perang yang sememangnya tidak tergambar di fikiran. Apabila semboyan dibunyikan bagi menandakan perlawanan bermula, pasukan 'Ruhul Jadid' terus membahagikan diri mereka untuk menyerang kami dari semua arah. Tanpa disangka-sangka mereka cuba memanjat bukit yang menjadi kubu pertahanan panji dari bahagian belakang dan tepi. Semuanya berlaku dengan pantas. Tiba-tiba kami mendengar laungan "Ketua pasukan Ahlul Badar dah mati!!". Benar, keadaan di bawah bukit menjadi kacau bilau. Saya dan beberapa orang yang berada di atas melihat sendiri keadaan di bawah tanpa dapat berbuat apa-apa. Kami perlu menjaga panji ini kerana kemenangan diberi kepada pihak yang berjaya merampas panji pihak lawan.

Pasukan 'Ruhul Jadid' mula memanjat bukit berama-ramai dari semua arah. Saya cuba menghalang dengan membaling 'bom' kepada mereka tetapi tidak mengena pada sasaran. Bom yang ada tidak boleh dipersia. Seorang demi seorang melakukan serangan berani-syahid ke kubu kami tetapi berjaya diberi serangan balik dengan bom yang ada. Sehinggalah pemegang panji pasukan lawan merempuh masuk ke tempat kami. Serangan berani-syahid ketiga. Kami kaget. Dalam keadaan kacau bilau dan rampasan panji yang sedang berlaku, saya sempat terlihat bom yang terakhir di kaki saya dan terus mengenakan bom tersebut kepada pemegang panji pasukan 'Ruhul Jadid'. Saya mengambil panji mereka dan memberikan kepada pasukan saya yang berada di bawah bukit untuk dibawa kepada pengadil. Tapi oleh kerana keadaan kacau-bilau dan kebanyakan orang pun dalam keadaan tak faham apa yang berlaku di atas bukit, perlawanan dihentikan. Yang peliknya, saya sangka pasukan saya yang menang kerana saya berjaya 'mensyahidkan' pemegang panji dan merampas panji pasukan lawan. Pasukan lawan pula sangka mereka menang kerana merampas panji pasukan kami (sedangkan saya rasa pada masa itu saya telahpun mengambil panji mereka dan mencampakkan ke bawah bukit untuk dibawa lari oleh pasukan saya). Haha, mungkin masing-masing pun perasan sendiri. Perlawanan berakhir dengan tidak mengetahui pasukan mana yang menang pun (anti-klimaks betul). Tapi kami semua sangat gembira dan teruja dengan perlawanan ini. Saya masih terbayang-bayang saat mendebarkan di atas bukit uhud itu. Pengalaman yang sungguh indah dan manis. Tamat saja perlawanan dan tanpa disuruh, kami lantas berpelukan dan memohon maaf jika berlaku kasar terhadap satu sama lain. Ah, ukhuwwah itu memang indah!

Satu hari penuh dengan aktiviti yang sangat mencabar memang sangat menggembirakan saya. Esoknya pula kami dihidangkan dengan pembedahan buku Antara tetap dan berubah. Menu yang sangat bagus untuk disantap sebagai bekalan buat kami. Saya belajar banyak perkara daripada pembentangan ini.

Persembahan malam terakhir membawa kenangan indah untuk dibawa pulang oleh saya. Kami berlakon cerita singa yang diadaptasi daripada analogi dalam buku Muntalaq. Sayalah yang melakonkan watak singa itu (kuchinque akhirnya menjadi singa ^_^). Singa yang dulunya seekor kijang yang pengecut akhirnya menjadi singa yang gagah berani..sentiasa bersedia untuk menegakkan al-Haq. Asadullah in action!

Alhamdulillah. Saya berasa sangat bersyukur ditakdirkan oleh Allah untuk berada di PMC dan dapat mengikuti segala aktiviti dengan bail. Saya belajar untuk menghitung nikmat yang tidak terkira ini. Ada saja antara kami yang fizikalnya kurang sihat, tetapi masih berhempas-pulas memberi yang terbaik dalam setiap aktiviti. Saya memang harus bersyukur..

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

(tak dapat tangkap banyak gambar. kamera perlu diberi kepada pihak urusetia untuk disimpan di tempat selamat. huhu)


1 comment:

ajib said...

salam ukhti,

ana sgt tertarik pada permainan antum. INi di malaysiakah? macamana format permainan? berapa banyak belon perlu dibuat? ada strategi sebelum games atau selepas? boleh detailkan lagi ke? ada marshall ke?

jzkk