Gambar ini diambil dalam salah satu ekspedisi di zaman gelap saya. Entah kenapa saya begitu tertarik untuk mengambil gambar kapal tongkang buruk yang tak seberapa. Tahun yang sama diberi peluang untuk membuka hati dan menerima sinar hidayah yang sungguh indah. Ah, perancangan Allah dalam setiap sisi hidup kita memang hebat. Siapa yang mampu menyangka, peristiwa-peristiwa kecil dalam hidup kita juga mampu membawa percikan hidayah andai saja kita membuka mata, hati dan minda kita. Fikirkanlah dalam setiap garis hidup, carilah seribu satu hikmah di setiap apa yang berlaku!
Pada saat ini saya sungguh-sungguh bersyukur kerana diberi kefahaman Islam yang tersangat indah. Terima kasih kepada Tuhan yang membuatkan hati saya cenderung untuk menyintai deen ini dan mampu melihat keindahannya melalui mata hati. Ah, terima kasih yang tidak mampu saya ungkapkan hanya dengan kata-kata tetapi harus dibuktikan dengan amal. Juga buat para murobbi, akhawat dan sesiapa saja yang telah menyentuh hati saya. Moga ada ganjaran daripada Allah yang tersisip di setiap usaha kalian. dan tentunya ganjaran kepada si pembahawa hidayah kepada manusia lainnya itu malah lebih hebat daripada segala apa yang ada di langit dan di bumi.
Juga saya sangat bersyukur, kerana kefahaman Islam yang dianugerahi oleh Allah ini membuatkan saya merasa sungguh bebas. Bebas daripada pengabdian kepada dunia yang sungguh tidak memberi apa-apa melainkan nikmat yang sebentar cuma dan bebas daripada belenggu prejudis dan tanggapan manusia terhadap diri kerana yang membelenggu hanyalah memikirkan setiap tingkah sendiri andainya tidak selari dengan yang Dicintai. Sungguh, indahnya Islam yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia dan menghambakan kita hanya kepada Ilah yang satu...hanya kepada Sang Pencipta, al-Kholiq.
Indah.
Indah.
Indah.
Segala yang indah daripada Tuhan yang Maha Indah.
Moga kita terus diberi peluang untuk berada dalam keindahana iman dan kefahaman terhadap deen ini.
Moga kita terus-terusan berusaha untuk mengindahkan episod kehidupan manusia lainnya demi cinta dan syukur kita buat Tuhan yang telah mengindahkan kehidupan kita...Tuhan yang punya segala kebaikan tak terhingga...Tuhan penuh cinta...
Allah
Aku bersaksi, sungguh, tiada Tuhan melainkan Allah. dan aku bersaksi, sungguh, Muhammad itu utusan Allah.
No comments:
Post a Comment