Friday, November 27, 2009

Segitiga Cinta


Saya teringat pertemuan kali pertama dengan dia. Saat itu saya di dalam tren. Di suatu sudut, saya terlihat dia. Berdiri dengan wajah selamba dengan headphone melekap di kepala. Sungguh, tren yang semakin sempit diasak penumpang itu langsung tidak menukar riak wajahnya. Tiba di stesen itu, saya turun dan memanjat tangga untuk ke bahagian sebelah. Tanpa disangka, dia pun turun dan berjalan betul-betul di hadapan saya! Peluang untuk saya menelitinya dengan lebih dekat. Ah, dia punya stail tersendiri! Lihat saja kasut dan begnya. Ada gaya!

Keluar dari stesen saya segera berjalan ke destinasi. Nun, dia sudah bergerak jauh di hadapan. "Dia tinggal dekat-dekat sini kah?" Saya cuba berjalan cepat-cepat. Dia berjalan pantas, walau tetap kelihatan tenang dan bersahaja. Headphone masih melekap di kepala. "Honk!" sebuah kereta berhenti di belakang saya. Seorang wanita muda membuka tingkap keretanya, "Nak ke mana? Jauh berjalan.." Saya tersenyum, "Tak jauh dah pun. Duduk di Jalan X je...". "Dekatlah dengan rumah akak. Naiklah!". Hawa sejuk yang mencuri-curi keluar daripada keretanya benar-benar menggoda saat berdiri di bawah terik mentari. "Hm, ok juga. Terima kasih kak!"
Kereta bergerak laju memintas dia yang berada di hadapan tadi. "Ah, terlepas!" gumam hati kecil saya.

Tiba di destinasi dan baru melepaskan lelah seketika, tiba-tiba pintu diketuk. "Assalamualaikum!". Saya membuka pintu. Ah, dia yang di stesen tadi! Tersenyum dengan plastik berisi pisang goreng di tangan. dan saat itu kisah kami bermula...

Dia kakak yang banyak memberi inspirasi kepada kami. Kakak yang sempat menitip kasih kepada kami saat menjadi kakak sulung dalam keluarga kami walau hanya sebentar. Kakak yang tujuh tahun merantau, menyudahkan pengajian hingga sarjana di negara antah berantah dengan entah berapa saja pelajar perempuan muslim melayunya. Apatah lagi negara itu begitu memberi tekanan kepada muslimah berhijab.

Saya masih teringat. Di suatu malam, kakak di hadapan lappy kesayangan. Tekun dengan headphone melekap di telinga. Sedang berusrah online dengan sisters di negara antah berantah itu. Malam sudah lewat dan saya tidur. Di awal pagi, saya bangkit dan kakak masih setia di hadapan lappy. Ah, langsung tidak tidurkah? Terdengar kakak berbicara manis di hening pagi itu. Subhanallah. Lalu esoknya kakak menjelaskan. Biasanya usrah mereka paling kurang 8 jam. "Kakak tidak tidur langsung?", saya bertanya. "Heh. Sempat tidur sekejap masa mereka baca surah al-Mulk" Masya Allah. Saya benar-benar kagum dengan mereka. Walau sangat susah bersua walau di negara yang sama, mereka tidak pernah mengalah. Jika kita benar-benar mahukan sesuatu, tentu kita akan lakukan apa saja cara dengan bersungguh-sungguh. Ah, kadang-kadang saya perlu bertanya pada diri sendiri..sejauh manakah kesungguhan saya selama ini? Atau apakah saya sebenarnya lebih bijak mencipta alasan?

Sungguh tak disangka. Seperti baru semalam kisah pertemuan kali pertama itu terjadi. Kali ini sudah menerima undangan perkahwinannya pula. Moga kakak selamat membina segitiga cintanya. Segitiga cinta dengan Allah di puncak atas segitiga! Moga berada di fasa kedua bisa melajukan lagi da'wah. Baitul muslim itu bukan sahaja penyatuan dua jiwa, tetapi penyatuan dua keluarga yang bakal membawa kepada fasa masyarakat pula!


p/s: Juga buat mereka yang memeriahkan hujung tahun ini dengan walimah. Mabruk wa barakallahu fikum! Selamat membina segitiga cinta, bukan cinta tiga segi ya!

5 comments:

the left wing said...

rindu sangat. hmm.. fovrt food dia.. hmm.. pisang goreng ( adabi) .

the left wing said...

kak kd.. saya rindu dia yg dimaksudkan.

tuna kimchi said...

salam ukhwah fillah n salam ukhwah sbb KD akak dh anggap seperti adik akak sendiri..

Akak pon suka pisang goreng mcm kakak tuh.

^_- Kak Tuna Kimchi

Mama Hazim said...

Kak Tuna Kimchi
Ukhwah fillah buat kak Tuna Kimchi juge! Wah. Tak sangka akak tahu blog saya ni. uish. pelik3.

Saya pun suka pisang goreng (Adabi) mcm kakak tu. hehe

The left wing
Saya pun rindu dgn kakak tu..huhu.

fieqa said...

wah.nice story..
even sy xkenal sape mereka2 itu..
sy kagum dgnnya..
moge jadi pengajran buat sy..:)..

wah, ade team sambal terung comment di sini..=)