Tuesday, November 3, 2009

Have we Qurban ourselves?


Entri khas sempena Aiduladha yang tidak lama lagi. Selalunya apabila bercerita tentang Aiduladha, terbayanglah lembu-lembu yang disembelih. Bukan begitu? Atau mungkin cerita-cerita di tivi mengenai PENGORBANAN. Entah apa sebenarnya yang dikaitkan dengan pengorbanan itu dengan Aiduladha agaknya.

Teringat semasa di kolej dahulu saya rajin menulis. Salah satunya ialah skrip Choral Speaking bertajuk AidulAdha untuk suatu pertandingan. Ditakdirkan Allah, pasukan kami menang tempat pertama! Kembali mengenangkan saat itu, saya berasa cukup malu. Ah, entah apa-apa yang saya tuliskan tentang AidulAdha saat itu. Kisah seekor lembu yang bernama Salman, takut untuk disembelih dan akhirnya redha selepas mendapat tahu akan bertemu Tuhan. Kasihan lembu-lembu yang sudah sedia muslim disalah ertikan oleh saya dalam skrip itu.

Maaf, saya kadangkala mempunyai imaginasi yang pelik sedikit. Mungkin sebab itu barisan hakim sanggup menerima idea pelik dalam skrip itu yang tanpa disedari sebenarnya membawa ajaran songsang tentang hakikat AidulAdha sebenar. Saya ketika itu masih dalam gelap kelam jahiliyah. Moga entri khas sempena AidulAdha kali ini membawa erti yang lebih baik.

Seringkali kita memanggil AidulAdha sebagai Hari Raya Korban dan selalunya dikaitkan dengan pengorbanan. Cereka-cereka di televisi tentang pengorbanan seorang bapa kepada anaknya, ibu kepada bapanya atau apa saja yang berkaitan pengorbanan sehinggakan kita kadang-kadang dikaburi dengan pengertian Qurban yang ingin dibawa.

Qurban yang sebenarnya membawa maksud mendekatkan diri kepada Allah atau meng'karib'kan diri sebagaimana kita menggunakan 'sahabat karib' untuk membawa erti sahabat yang paling rapat. Qurban bukanlah sekadar berkorban atau melakukan pengorbanan tetapi melakukan sesuatu untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah daripada pengorbanan yang dilakukan.

Lihat saja, sembelihan yang dilakukan hakikatnya tidak memberi apa-apa kepada Allah secara zahir (kerana daging sembelihan itu akhirnya dimakan oleh manusia juga), maka hakikat Qurban itu bukanlah secara zahir dengan sembelihan itu tetapi bagaimana kita 'menyembelih' bahagian-bahagian jahiliyah dalam hati kita agar seluruh jiwa itu diletakkan tulus untuk Allah.

Maka, sama-sama kita usahakan semoga di hari berbahagia AidulAdha kita dapat raikan dengan jiwa-jiwa yang lebih taqarrub, lebih dekat dan melaksanakan Qurban yang sebenarnya. Walau kita masih bertatih-tatih melangkah mendekatkan diri kepada Allah, Allah akan pantas berlari untuk menyambut kita.

Janganlah kerana masih tidak mampu ber'korban' dengan sembelihan maka kita tidak merasa manisnya AidulAdha ini, tetapi usahakanlah untuk mencari makna sebenar dan berusaha melaksanakan Qurban dalam pengertian mendekatkan diri kepada Allah. Maka bukankah sepatutnya di AidulAdha nanti kita bertanya pada diri, have we Qurban ourselves?

Allahu A'lam.

(Maaf entri berbahasa skema. Sibuk menanda kertas dengan skema jawapan sehingga diri sendiri menjadi skema)

No comments: