Saturday, November 7, 2009

mengetuk pintu hati


Saya fikir mungkin saya sudah jatuh cinta dengan karier sebagai guru. Aneh bila ada yang bertanya apakah saya menyesal menjadi guru. Subhanallah, andai kita melihat tugas sebagai da'i itu bukan hanya terikat kepada usrah, program atau individu-individu dalam niche tertentu, pastinya kita akan merasa betapa tugas da'i itu tersangat luas. Apatah lagi apabila dianugerahkan dengan tugas sebagai guru. Saban tahun diberi mad'u-mad'u baru untuk disantuni. Lalu, bagaimana mungkin saya mahu menyesal? Apa juga kerjaya yang kita lalui, tidak seharusnya terpisah dengan tugas sebagai khalifah itu. Setiap mereka yang berada di samping kita adalah mad'u dan punya hak untuk menerima keharuman da'wah yang kita bawa. Bukan begitu?

Apa saja kekurangan yang ada dalam karier yang sedang kita lakukan kini, seharusnya dilihat dari sudut yang positif dan menggunakan kelebihan yang ada dengan semaksimanya agar segala kekurangan itu kelihatan sekecil habuk saja. Cuba hargai segala kesempatan yang diberi setiap hari untuk mengalirkan da'wah yang suci. Andai bukan hari ini kita melihat benih yang disemai membuahkan hasil, kita tetap menjadi petani-petani yang membanting tulang untuk menuai hasilnya di akhirat. Lalu, seharusnya kerja yang dilakukan itu disertakan dengan ikhlas, ihsan (to the perfection) dan itqan (the very best).

Dalam dua minggu memulakan tugas di tempat baru, saya cuba belajar daripada peristiwa yang berlaku. Masya Allah, sepertinya kerjaya ini merupakan latihan yang baik untuk melatih diri berhadapan dengan manusia yang pelbagai ragamnya. Bukan sahaja dengan pelajar, tetapi juga dengan guru-guru. Saya teringat bagaimana Allah mentarbiyah Rasulullah dengan pelbagai peristiwa dalam persiapannya menerima tugas sebagai da'i. Antaranya ialah tarbiyah untuk mendidik diri dengan sifat sabar, santun dan berkasih sayang. Betapa cantiknya susunan peristiwa dalam setiap tarbiyah Ilahi itu.

Kisah di sekolah

Baru saja saya memulakan peperiksaan di kelas no 10 (kedua terakhir dalam tingkatan 2), pelajar-pelajar sudah mula membuat bising. Bersembang seolah-olah bukan sedang menjalani peperiksaan. "Tolong senyap!", saya cuba berlaku tegas. Sayup-sayup di belakang kelas, ada pelajar yang cuba mengajuk saya dan kelas kembali bising dengan hilai tawa. Subhanallah, sepertinya ada lapisan sabar di hati yang diberi Allah sehingga saya tidak merasa apa-apa dilakukan begitu. Tidak semena-mena guru disiplin yang digeruni mereka lalu di sebelah kelas dan terus mengarahkan pelajar untuk berdiri. Mereka terdiam dan terpaksa menjawab soalah peperiksaan sambil berdiri. Lalu saya dengan sinisnya melihat jam, "Oh, awak ada masa 45 minit lagi..teruskan menjawab!". Selepas seketika, guru disiplin itu kembali dan membenarkan pelajar-pelajar duduk. Kali ini saya cuba untuk mendekati pelajar-pelajar yang membuat bising. Tanpa prejudis saya cuba untuk berborak-borak dengan mereka dan cuba memahami situasi mereka. Saya cuba menawarkan diri untuk membantu di mana yang perlu. "Cikgu, saya tak tahu apa pun. Saya selalu ponteng", jawab pelajar perempuan itu. "Kenapa ponteng?". "Sebab nak jadi otai!!"

Minggu ini saya masuk lagi ke kelas itu. Kali ini untuk membincangkan kertas peperiksaan sains mereka. Hanya beberapa orang pelajar yang betul-betul mahu belajar. Pelajar lelaki yang di belakang kelas buat tidak mahu menyertai mereka. Lalu, saya meminta mereka mengemas sampah di belakang sambil saya mengajar kepada mereka yang mahu belajar. Pelajar itu lantas mengeluarkan sampah dari dalam mejanya dan mencampakkan ke lantai, mungkin tanda protes. Sekali lagi saya sangat bersyukur diberi lapisan sabar oleh Allah sehingga saya tidak berasa apa-apa diperlakukan begitu. Saya terus menyambung perbincangan dengan pelajar yang lain dengan gembiranya. Pelajar yang di belakang kelas hanya memandang saya dengan senyap.

Esoknya saya kembali ke kelas no 10 itu. Kali ini mereka yang di belakang kelas mula untuk mengerumuni saya bersama-sama dengan pelajar yang lainnya. Kalau sebelumnya ada yang menghilangkan diri dan ponteng kelas, kini mereka tetap berada di dalam kelas walaupun tidak mahu belajar. Ah, sekurang-kurangnya mereka tidak ponteng kelas! Kalau sebelum ini mereka membisu, kini sudah riuh mahu bercakap dengan saya. Walau tiada yang berkenaan dengan pelajaran mereka!

Di masa yang lain saya ke kelas no 9 yang bersebelahan. Mengejutkan apabila pelajar-pelajar kelas no 10 itu turut menyibukkan diri untuk berada di kelas ini. Terutamanya mereka yang berada di belakang kelas tempoh hari. Mereka tidak berbuat apa-apa, hanya duduk dengan senyap untuk melihat saya berbincang dengan pelajar kelas no 9. Mungkin ini satu permulaan, atau mungkin terlalu awal untuk saya membuat justifikasi terhadap perlakuan mereka dalam satu tempoh pendek percubaan menggunakan pendekatan kasih-sayang. Tetapi pendekatan ini sepertinya jauh lebih menyenangkan hati. Saya dapat mengenali pelajar lebih dekat dan mereka juga kelihatan lebih mudah untuk diuruskan. Sepertinya saya gembira bersama-sama dengan mereka yang kononnya bermasalah ini. Cuba menghilangkan perasaan prejudis walau sebusuk mana mereka dengan bau rokok atau betapa kotornya gigi-gigi pelajar perempuannya yang mungkin kerana banyak merokok. Saya cuba untuk tetap menyantuni mereka dan melayan mereka dengan kasih sayang.

Luruskan niat. Semoga Allah melembutkan hati-hati mereka agar memahami tugas sebagai muslim itu. Teringat kata-kata mentor saya di sekolah ini, "Pelajar-pelajar ini sudah hilang Tuhan dalam diri mereka dan menjadi tugas kita untuk kembali meletakkan Tuhan itu dalam diri mereka"

Subhanallah. Semoga Allah tetap mengurniakan saya dengan kesabaran dan kesabaran serta mohon diberi petunjuk atas setiap tindakan.

Jahiliyah itu semakin mengancam. Dari hari ke hari, masyarakat sepertinya mahu membina zaman jahiliyah itu kembali. Apatah lagi bila banyak merasakan "kubur masing-masing..." lantas terlupa bahawa kita semua bakal dipertanggungjawabkan.

Harus diingat, andai kita masih tidak berbuat apa-apa atau berasa cukup dengan apa yang kita telah lakukan sekarang, kita seolah-olah sengaja membiarkan jahiliyah itu bertukar menjadi raksasa. Andai tiada da'wah, maka tiadalah permulaan untuk mengecap kembali zaman kegemilangan Islam sebagai World Order yang kita impi-impikan.

Ayuh, kita persiap diri menjadi batu-batu yang paling kukuh. Juga membina batu-batu lain agar sama-sama membangun kembali rumah Islam kita.

Kuatkan Iman, Teguhkan Amal!


Jangan pernah berhenti berlari mengejar mimpi
-Laskar Pelangi

1 comment:

the left wing said...

suka dengan entri nie.. huhu..

gud luck kak!!

^.^

( tetiba teringat zaman sekolah2 dulu.. )


semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka.