Friday, December 26, 2008

saya tak tahu


Astaghfirullahal 'azim..
Saya benar-benar terkesima. Saya baru saja melihat blog yang heboh satu malaya hari ini. Blog mana? Carilah sendiri, saya malas nak buat promosi untuk dia pula. Tapi, terima kasih kepada yang menyampaikan kepada saya. Saya tidak tahu mahu kata apa tentang blog itu. Mungkin saya belum pernah hadapi situasi begini atau dia telah membuat saya terdiam seketika. Saya tidak tahu apa motif si penulis blog sebenarnya. Kepada siapa saya mahu percaya pun saya tidak tahu. Mungkin saja ada orang yang mahu memperlihatkan kebodohannya sendiri, atau dia benar-benar tidak tahu dan mahu mewakili golongan yang tidak tahu supaya mereka yang tahu boleh memberitahu. Namun begitu, tidak dapat dinafikan yang penyakit sebegini sudah semakin menular dalam masyarakat kita. Penyakit apa? Penyakit tidak percaya pada agama.

Saya tidak tahu apa perasaan saya pada waktu ini. Marah? Mahu marah pada siapa? Kepada mereka yang sememangnya tidak tahu dan tidak faham tentang agama. Atau kepada mereka yang sedang berusaha merosakkan agama sedikit demi sedikit tanpa disedari. Atau mereka yang hanya mahu duduk diam dan tidak berbuat apa-apa? Atau kepada diri sendiri yang masih belum banyak berusaha dalam bekerja untuk memperjuangkan yang Haq? Mahu marah pada siapa sebenarnya?

Kalau saya mahu sedih, saya mahu sedih tentang apa? Tentang agama yang semakin dipijak-pijak? Tentang fitnah yang semakin membuak-buak? Tentang orang islam yang semakin leka dan hidup untuk kepentingan masing-masing? Atau kepada diri sendiri yang masih lemah dan masih tidak mampu memberikan kebaikan kepada dunia? Mahu sedih tentang apa sebenarnya?

Kasihan. Kalau perlu rasa kasihan, mahu kasihan pada siapa? Pada si penulis yang masih tidak dapat merasa nikmatnya hidup dalam kefahaman islam? Kepada rata-rata umat islam yang masih belum faham tentang islam dan kepentingannya dalam hidup? Kepada sebahagian umat islam yang hanya mengambil islam pada bahagian yang mereka selesa saja? Atau kepada diri sendiri yang kadang-kadang masih leka dengan misi utama di dunia? Mahu kasihan pada siapa sebenarnya?

Saya tidak mahu menjadi orang yang hanya tahu bising-bising bila perkara sebegini berlaku, kononnya saya lah yang paling tahu. Tapi tiada pula tindakan yang diambil untuk melakukan sesuatu.

Saya tidak mahu menjadi orang yang hanya semangat bila perkara sebegini berlaku, kononnya ingin membela agama. Tapi bila keadaan sudah reda, hilang entah ke mana.

Saya tidak mahu menjadi orang yang marah-marah kepada mereka yang tidak tahu, memaki mereka tanpa tahu apa punca masalah yang berlaku. Mungkin saja mereka benar-benar tidak faham, atau mungkin saja mereka mahu cipta kontroversi supaya umat islam bersatu dan sedar bahawa kita semua ada tanggungjawab untuk membela agama.

Oh, saya benar-benar tidak tahu.

p.s: Kalau tak tahu, silalah cakap tak tahu. Saya konfius kalau ada orang yang tak tahu buat-buat macam tahu. Oh ya, mari berdoa supaya Allah beri hidayah kepada mereka yang tak tahu..termasuklah kita. ^__^

No comments: