Malam ini 17 Ramadhan.
Saat Allah menyampaikan bahagian pertama daripada surat-surat cinta-Nya.
Kalam terus daripada Tuhan semesta alam kepada manusia kerdil di suatu sudut dunia.
Subhanallah! Kita, manusia kerdil yang tidak punya apa-apa mendapat kata-kata langsung daripada Tuhan yang punya sekalian jagat raya.
dan betapa para sahabat sendiri menangis saat kewafatan Nabi tercinta kerana tidak mungkin lagi mendengar kalam langsung dari Tuhan.
Ah, hidup mereka yang benar-benar merasai berada di bawah bayangan setiap ayat cinta-Nya. Setiap tingkah mereka berpandukan kata-kata Tuhan.
Lalu bagaimana kita?
yang mudah-mudah saja mengatakan mahu menjadi manusia acuan al-Qur'an
yang mengatakan bahawa al-Qur'an dan as-Sunnah itu sumber utama kita
yang indah saja mahu mencontohi Generasi al-Qur'an yang unik
apakah benar kita telah meletakkan seluruh hidup ini di bawah bayangan al-Qur'an?
apakah benar kita memandu tingkah kita dengan al-Qur'an?
Juga kita tahu, 17 Ramadhan ini ialah Badar al-Kubra.
Pertentangan antara al-Haq dan al-Bathil dalam suatu peperangan besar penuh kejutan.
Tanpa persiapan
Tanpa kelengkapan perang yang lengkap
tapi apakah pasukan muslimin itu berlari berciciran?
Apakah mereka berpaling ke belakang?
dengan penuh rendah hati sang Nabi berdoa
mohon dimenangkan tentera muslimin, atau agama ini bakal tiada lagi di muka bumi
doa sang Nabi penuh tulus
sehingga as-Siddiq peneman setianya hiba.
dan Allah menurunkan titisan hujan yang menyegarkan
lalu dengan itu tanah tandus menjadi kejap
menguatkan langkah para muslimin
dengan gerombolan tentera berbaju putih
hadiah daripada Allah buat Ahlul Badar yang pantang menyerah
walau ujian penuh kejutan bisa saja membuat sesiapa gundah.
Ah, andai merasa diri sudah hebat dan tidak perlu diuji
maka tentunya kitalah orang yang paling tidak sedar diri
kerana para sahabat yang malah lebih hebat iman mereka
tidak putus-putus menerima ujian daripada Allah.
Lantas bangkitlah wahai diri!
bacalah di balik ayat-ayat cinta Ilahi
renunglah dan pandulah hidupmu dengan-Nya
hidup suburkan hatimu dengan penuh rasa cinta kepada-Nya
basahkan hatimu setiap kali dengan kerinduan tinggi pada surat cinta-Nya
dan bangkitlah wahai diri!
dengan semangat Ahlul Badar yang pantang menyerah
yang tidak gundah
walau ujian menggunung yang mendatang
tetapi tunduk dan rendahkanlah dirimu
agar bisa memohon kepada Ilahi setulus hati
kerana kau tetap manusia kerdil yang menumpang di bumi.
No comments:
Post a Comment