Thursday, December 24, 2009

Jaulah Bihun

Baru saja kembali dari jaulah 30 jam kami. Suka saya menggelar jaulah ini dengan "Jaulah Bihun". Oh, Bihun bukanlah nama kereta siapa-siapa andai ada yang tersedak mendengar nama keretanya ditulis di sini. Bihun adalah makanan yang diperbuat daripada tepung beras, panjai mengurai seperti mi yang kurus, yang selalunya digoreng dan dipanggil bihun goreng. Istimewanya jaulah bihun ini ialah kami bertandang ke destinasi yang berbeza dan ditakdirkan Allah di setiap destinasi kami dihidangkan dengan menu bihun goreng. Ah, istimewa sungguh! Dari minum pagi, makanan tengah hari, minum petang dan makan malam semuanya bihun goreng yang dimasak oleh orang yang berbeza-beza. Hebat bukan?

Jaulah bihun hanyalah sekadar jolokan nama untuk menambah indahnya jaulah ini. Bukankah Rasulullah juga ada menggelar Saidina Ali dengan gelaran Abu Turrab bila didapati Ali diselaputi debu bila bangkit dari tidur?Oh, tentunya makna jaulah bihun ini lebih besar daripada cerita tentang bihun semata-mata. Ada seribu satu kisah indah yang mungkin tak tertulis di sini. Tapi biarlah sebahagiannya bisa saya kongsikan buat tatapan dan ingatan.

Pesanan dari Doktor
Jaulah kali ini lebih banyak menemukan saya dengan para doktor. Lalu perbincangan tentunya banyak mengenai kerjaya mereka dan kesibukannya. Sebelum berangkat pulang, mereka doktor-doktor itu menyampaikan pesan. "Tolonglah beritahu kepada anak-anak murid, jangaaaaaaanlah minta nak jagi doktor! Belajar susah, kerja pun susah!". Kemudian mereka bercerita sisi gelap di hospital. Masya Allah, cabaran mereka memang besar. Apatah lagi bila baru memulakan langkah menjadi H.O, terpaksa tadah telinga dan bersabar dengan herdikan daripada doktor-doktor senior. Sampai ada cerita yang pesakit tolong 'back-up' doktor-doktor baru ini. Lebih mengharukan, pesakit itu dalam keadaan yang sungguh sulit untuk berkata-kata, cuba sedaya upaya membantu doktor H.O ini daripada diherdik lebih dahsyat.

Bukan mudah untuk memahamkan masyarakat bahawa menjadi doktor itu tidaklah seindah yang disangka. Bila disebut doktor, sepertinya kebanyakan orang melihat itu sebagai kerjaya paling ideal buat mereka yang merasa pencapaian akademik ialah segalanya. Lebih-lebih lagi para ibu bapa. Betapa banyak saya menemui mereka yang menghadapi konflik tidak berminat menjadi doktor, tetapi memaksa diri melakukannya kerana mahu memenuhi impian ibu bapa. Kasihan. Mahu saja saya jelaskan pada dunia bahawa manusia dicipta dengan kebolehan yang berbeza-beza. Lalu, tidak semua pastinya sesuai untuk menjadi doktor! Ada orang, mungkin menjadi penulis itu malah lebih sesuai atau mungkin menjadi petani kerana tangannya yang cekatan dan kehebatan tenaga yang Allah kurniakan. Allah menentukan yang terbaik untuk kita, bukan kita yang menentukan nilai terbaik itu. Kerana nilai terbaik itu tentunya berdasarkan penilaian Allah, bukan penilaian kita yang berakal dangkal dan cetek ini.

Berperang
Ketika memandu di perjalanan, dihidangkan pula dengan taujih sirah dari mp3. Kisah mengenai Perang Badar yang sangat saya sukai. Kadang-kadang sepertinya kita terlupa, kita sebenarnya dalam peperangan di antara al-Haq dan Batil. Peperangan sedang berlangsung dan andainya kita benar-benar merasai seperti berada di dalam peperangan, apakah mungkin kita masih bermain-main? Pasti kita akan sentiasa berjaga-jaga, takut-takut pihak lawan akan menyerang bila-bila saja. Tentu kita akan cuba untuk sentiasa bersedia, tiada masa untuk bermalas-malasan!

Ah, melihat keadaan saya sekarang..terasa seperti seorang askar yang lemah saja. Bagaimana mahu ikut serta perang jika masih begini? Bagaimana mahu dapat syahid idaman jika tidak pun merasa diri seperti berada di medan peperangan? Oh, sedih!

Kelmarin terdengar dari corong radio pesanan dari seorang syeikh, "Ramai manusia yang berdoa dalam keadaan lalai!". Tersentak saya, terkedu...terasa mahu menangis.
Apakah saya manusia yang lalai itu?
Bagaimana saya mampu berjalan dan hidup gembira sambil memikul dosa yang berat?

Oh Tuhan,
bantulah aku untuk berubah..dan bantulah aku untuk tetap dalam perubahan itu.
Perubahan ke arah yang lebih baik.

No comments: