Tuesday, December 1, 2009

Anak ibu

Persis ibu yang mahu melepaskan anaknya berjalan sendirian, sedang anaknya baru lepas bertatih. Ibu yang risau andai anak tersadung kaki sendiri lalu jatuh tersembam.
Ibu yang khuatir andai anaknya tidak bisa mengimbangi badan lalu terdorong sendiri ke kanan, ke kiri, depan mahupun belakang.
Ibu yang bimbang andainya di sepanjang perjalanan, anak itu mungkin tersalah arah... lalu tersesat.
atau mungkin terjumpa serigala di pertengahan jalan dengan memakai pakaian nenek.

Suratannya, ibu tetap harus melepaskan anaknya pergi.
Walau dengan bermacam khabar berita daripada anak di sana.
Ada yang mengkhabarkan, "Saya rasa terapung-apung..".
Lalu ibu sedikit gundah..mengapa anaknya bisa terapung sedang ibu baru mengajarnya berjalan?
Atau mungkin anak itu malah lebih hebat kerana bisa mengapungkan diri?
Ada anak yang sedikit keliru..
dunia sini tidak sama dengan dunia sana.
Cuacanya, orangnya, perasaannya...semuanya.
Alhamdulillah, semua masih di jalan-Nya. Cuma kadang-kadang ada yang menumpang kenderaan yang berbeza.
Ibu tidak marah andai anak-anak menaiki kenderaan yang lain. Kerana jalan kita masih sama.
Cuma kadang-kadang ibu ini bimbang, kerana ibu tidak cukup mengenali pemandunya.
Malah lebih sedih apabila tidak dapat mengetahui perkembangan anaknya.
Tapi ibu sedar. Anaknya bukan milik dia, tetapi milik Allah.
Moga anak itu tetap dipilih berada di jalan-Nya. Diberi yang terbaik sesuai dengan dirinya.

dan Ibu tidak kecewa andai anak-anak sudah lupa.
Kerana dalam da'wah ini, Ibu belajar...
hanya mengharapkan balasan daripada Sang Pencipta
bukan dari yang selain-Nya.

No comments: