Monday, December 21, 2009

bukan sekadar mimpi


Tanggal 17 Disember lalu, sekuel Laskar Pelangi iaitu Sang Pemimpi mula diputar di bioskop-bioskop seluruh Indonesia. Bagi saya, novel selalunya jauh lebih baik daripada apa yang dipertontonkan melalui filem. Selalunya di dalam filem, lebih banyak perkara yang bukan-bukan yang diperbesar-besarkan untuk melariskannya. Melihat saja trailernya, saya terpaksa menggeleng kepala. Mungkin tidak banyak yang baik-baik lagi seperti di dalam Laskar Pelangi dahulu.

Sang Pemimpi merupakan sambungan kehidupan Ikal. Kali ini dengan watak-watak baharu. Selepas menamatkan persekolahan sehingga menengah rendah di sekolah terulung bersama bapak dan ibu guru hebat, Pak Harfan dan Bu Muslimah, Sang Pemimpi membawa kita melihat sisi kehidupan sukar yang dilalui Ikal di sekolah menengah atas sehingga ke universiti. Kalau dahulu saya terkagum dengan watak Lintang, kali ini Arai juga sangat mengkagumkan. Ah, buku ini mampu membuat saya tertawa dan menangis sekaligus. Arai yang langsung tidak kacak, sebatang kara hidupnya dan tidak punya apa-apa sentiasa melihat sisi positif dalam hidup. Sungguh menginspirasikan! Malah Arai mempunyai karisma yang sungguh hebat, tidak pernah berhenti untuk memberi! Walau terpaksa bersusah-susah dengan susah payahnya, Arai sentiasa bersedia membantu orang yang lebih-lebih lagi memerlukan. Ah, persis seorang Superhero yang sebenar!

Arai jugalah yang mengajar Ikal untuk tidak berhenti bermimpi, bermimpi yang besar-besar! Mereka benar-benar orang-orang susah. Ikal satu ketika langsung tidak punya semangat lagi untuk belajar memandangkan kemelut kemiskinan itu seperti memberi masa depan yang gelap untuk mereka meneruskan cita-cita dan impian, lalu Arai mengucapkan kata-kata hikmah yang sungguh hebat dalam merungkai misterinya takdir,
" Kau jangan takabbur dan mendahului takdir, Kal!"

Ertinya, oleh kerana kita tidak mengetahui takdir kita, tidak tahu keadaan kita di masa depan..maka mengapa harus berfikir yang bukan-bukan? Benar, takdir telah tertulis..tapi Allah memberi kita apa yang kita ada sekarang untuk berusaha! Maka untuk menggerakkan usaha dengan hebatnya, bermimpilah yang hebat-hebat!

Mungkin kita sepatutnya malu sendiri bila melihat mereka yang benar-benar berusaha untuk mendapatkan pendidikan. Bukan dengan otak semata, tetapi dengan seluruh keringat untuk menampung biaya pendidikan. Malah, mereka lebih hebat lagi kerana bukan mahu mendapatkan pendidikan untuk kerjaya masa depan. Tetapi untuk membawa perubahan kepada dunia! Ah, lihat saja rancangan penyelidikan Ikal dan Arai. Ikal dengan usaha untuk menemukan teori baru dalam ekonomi dan Arai yang mahu berusaha sungguh-sungguh menyangkal teori evolusi Darwin. Lalu kita?

Mereka anak-anak miskin daripada sebuah kepulauan kecil. Anak-anak miskin yang mampu bermimpi yang hebat-hebat untuk MEMBERI kepada dunia. Maka dengan mimpi itu menggerakkan seluruh usaha mereka untuk merealisasikannya.

Lalu apa yang kita lakukan dengan segala peluang dan kelebihan yang kita ada untuk memberi kepada manusia lainnya?

Bermimpilah yang hebat-hebat, agar kita boleh memberi yang hebat-hebat juga!

No comments: