Syahdan sudah empat purnama hakir bermukim di desa ini. Adapun waktu yang masih tersisa tidak juga hakir tahu untuk berbuat sesuatu biar terkesan di jiwa murid semua. Siang tadi kami bermain, mencipta tandu ke kayangan. Gegak gempita dibuatnya dengan sorakan dan gelak tawa mereka. Hakir juga yang kebasahan dek tempias rintik-rintik hujan buatan.
Gusar hati hakir kini, andainya kedatangan hakir di desa ini cuma seperti angin lalu. Langsung tidak memberi kesan dan makna, seperti menjadi sisa dunia pula. Alangkah bagus jika hakir laksana angin badai yang menderu, habis punah dengan sekali lalu. Tidak juga hakir berfikir menjadi pembawa bencana pula, bukan juga menjadi bahana dalam bejana.
Mungkin hakir patut jadi seperti angin sepoi-sepoi bahasa. Lembut sekali tapi bisa menjatuhkan sang monyet yang sedang bergembira. Atau haruskah hakir menjadi laksana Katrina yang menggila. Sungguh, kesannya menjadi peringatan buat semua.
Oh, hakir kadang-kadang keliru. Kita bernasihat, dikatakan pula berceramah. Kadang-kadang hakir juga menjadi lemah. Seperti ada lorong di antara dua telinga mereka. Masuk di sebelah kanan keluar pula di sebelah lainnya. Puas sudah hakir berbicara dengan mereka. Soal adab jangan biadab, berfikir sebelum bertindak dan jangan berbicara yang bukan-bukan. oh, sungguh tidak sopan. Baru beberapa saat hakir berbicara, mereka ulangi semula bersikap sesukanya. Hakir bukan tidak tahu berkeras, tapi sungguh hakir tidak seperti tok guru lainnya yang bijaksana menggunakan pelbagai senjata. Hendak suruh ditekan tubi, hakir rasa tak kena. Hendak memukul mereka, hakir tak juga sudi. Apatah lagi mahu piat dan cubit-cubitan sana sini.
Bimbang hakir bimbang, terlalu banyak pengaruh buruk di sekeliling mereka. Malah lebih dahsyat dari pakatan Siam dan Temasek yang mengintai-intai mahu menyerang Melaka. Andai rakyat jelata tahu akan perang pemikiran yang sedang berlangsung kini, pasti tidak sanggup mereka buka peti gambar bergerak itu lagi. Senjata utama mereka untuk membunuh pemuda-pemudi, dalam senyap mencucuk duri. Masakan kita tidak tahu, mereka yang muda-muda ini yang bakal menjadi barisan pelapis bangsa kita kelak. Rosak yang muda, masakan pula mahu mengharap yang tua-tua menghabiskan usia saja?
Hakir bukan juga laksana orang bijaksana kerana hakir tidak juga dilantik menjadi Dato' Bendahara. Namun, khuatir hakir ada pada tempatnya. Dan pada Rabbul Izzati tempat sahaya memohon sembah, moga dilembutkan hati mereka mendengar kata kita. Moga segala nasihat kita terkesan di hati mereka jua. Moga mereka mahu menjadi pucuk-pucuk daun yang baru, kembali hijau dan mekar mewarnai bumi anugerah Tuhan ini.
Hakir mohon diri, masih ada persiapan yang menanti.

No comments:
Post a Comment