Sunday, April 5, 2009

3 minggu lagi

Tinggal lagi tiga minggu untuk tamat praktikum. Empat bulan yang terasa begitu cepat berlalu. Saya kembali berfikir untuk melihat sejauh mana saya telah menggunakan masa dan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya. Apakah pelajar saya sudah bertambah baik budi pekertinya? Apakah saya berjaya membina mereka? Saya sendiri malu untuk menyatakan bahawa kadang-kadang saya berasa sudah tewas dengan keadaan. Saya yang pada mulanya begitu bersemangat untuk melakukan sesuatu perubahan kepada mereka, kadang-kadang terasa penat juga.

Hari ini saya mendapat nasihat daripada cikgu yang lain pula. "Sejauh mana kita sering berdoa untuk anak murid kita? Allah yang memegang hati mereka. Pintalah padaNya agar mereka lembut hati untuk mendengar kata-kata mereka". Ah, saya malu sendiri. Saya sering berdoa untuk dipermudahkan Allah dalam mendidik mereka. Semuanya saya, saya dan saya. Oh, ampuni saya Tuhan! Betapa diri ini terkadang tidak sedar bersikap pentingkan diri sendiri.

Bila saja orang bertanya tentang sekolah, saya sering terkulat-kulat untuk menjawab. Bukan apa, tidak tahu mahu bercerita yang bagaimana. Tempoh hari saya baru buat perjanjian dengan pelajar-pelajar saya. Mereka mudah sangat mencarut dan bersikap kurang sopan dalam kelas. Bukan sekali dua saya memberi "tazkirah" dan berceramah kepada mereka. Sampai ada yang memilih lebih sanggup mendengar ceramah saya daripada didenda kerana tidak siap kerja. Aduh!

Cabaran besar buat saya ialah untuk memahami pelajar-pelajar Tingkatan 2. Membuat perjanjian itu juga salah satu eksperimen saya dalam mencari solusi kepada permasalahan budi pekerti mereka. Saya minta mereka berjanji dengan saya tidak akan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan, tidak mencarut, tidak menyakitkan hati orang lain dan sentiasa berfikir sebelum bertindak. Sekiranya mereka melanggar syarat itu, mereka akan dikenakan hukuman iaitu pergi ke setiap kelas dan memberitahu kepada seisi kelas apa yang telah mereka perkatakan dan perbuat. Saya minta mereka mejadi mata-mata kepada setiap pelajar yang lain. Hm, kita lihat saja bagaimana kesannya nanti. Jika gagal, harapnya masih ada kesempatan untuk saya bereksperimen lagi ;P

Tiga minggu lagi di sekolah. Minggu depan minggu terakhir untuk pensyarah datang dan memberi markah. Oh, apakah saya akan rindukan sekolah? Sedang juga berfikir untuk perancangan selepas tiga minggu ini. Kemungkinan posting adalah pada bulan 11.

em, ada apa-apa jawatan kosong tak?

No comments: