Monday, January 5, 2009

isu lapuk?

Saya tidak faham andainya ada di antara orang muslim yang menganggap isu peperangan di Palestin ini sudah lapuk. Peperangan selama 60 tahun ini memang lama, tetapi untuk menganggap ia sebagai sesuatu yang sudah lapuk sungguh tidak patut. Apakah mereka fikir ini perjuangan mempertahankan bumi palestin ini hanya sebuah isu? Perjuangan ini bukanlah hanya perjuangan mereka yang berada di Palestin, tetapi perjuangan semua umat Islam di seluruh dunia. Bumi Palestin ini menjadi tanggungjawab kita semua untuk mempertahankannya.

Kita bukan membicarakan mengenai serangan ke atas palestin ini sebagai satu isu kemanusiaan. Bukan juga membicarakan mengenai hal ini atas dasar politik. Tetapi Palestin milik semua umat Islam dan sepatutnya kita semua rasa bertanggungjawab untuk mempertahankannya. Kita sedang mempertaruhkan saudara-saudara kita di sana untuk mempertahankan bumi palestin dengan nyawa mereka. Adalah menjadi perjuangan kita pula di sini untuk melakukan semampu kita untuk melakukan sesuatu sebagai usaha untuk sama-sama berjuang dengan mereka, biarpun dengan cara yang berbeza.

Mungkin ada sesetengah pihak yang menganggap usaha boikot ini sia-sia. "Ah, Amerika kuasa besar. Mana mungkin kita mampu melawan mereka!". Namun, adakah patut kita hanya berpeluk tubuh dan berpangku tangan dengan hanya menonton apa yang telah terjadi dalam perjuangan antara Islam dan Kuffar ini? Seandainya anda mengaku yang diri anda seorang Muslim dan anda tidak berasa bertanggungjawab untuk sama-sama berusaha, maaf ia selolah-olah kisah orang-orang munafik yang tidak mahu turut serta berjihad untuk berperang bersama-sama Rasulullah. Mereka tidak percaya dengan kekuatan umat Islam yang sangat sedikit ketika itu mampu mengalahkan tentera Kuffar yang lebih hebat dan gagah. Namun kita harus ingat, kemenangan itu hak Allah. Dan Allah pasti memberikan kemenangan kepada mereka yang berjuang dengan penuh keimanan padanya.

Kita di sini juga perlu berjuang, biarpun bukan dengan jiwa dan nyawa. Perjuangan kita adalah untuk mengembalikan umat Islam kepada Islam yang sebenar. Perjuangan kita adalah untuk beriman dengan Islam dengan iman yang sebenar-benarnya. Perjuangan kita adalah untuk bersatu di bawah satu fahaman Islam yang syumul. Perjuangan kita adalah untuk meletakkan seluruh pengabdian terhadap Allah yang Esa, meletakkan seluruh sudut kehidupan hanya dengan matlamat untuk mencari RedhaNya. Andai sudah begitu, masihkah ada masa untuk kita bergembira tanpa punya rasa bahawa pejuang kita di sebelah sana sedang dihimpit dan diasak dengan peluru dari semua arah. Mereka kembali sebagai syuhada' dan mendapat kehidupan abadi hasil usaha mereka mempertaruhkan sepenuh jiwa dan raga untuk mempertahankan Islam. Bagaimana pula dengan kita? Di manakah usaha kita? Masih ragu-ragu untuk sama-sama berjuang ? Ah, bukankah kita juga dalam pasukan yang sama? Mereka ditempatkan di sana untuk menjadikan dada mereka sebagai benteng, andainya kita di sini tidak melakukan peranan kita, tidakkah kita seperti membelot pada agama?

Teringat kisah sang burung kecil sewaktu Nabi Ibrahim dibakar dalam api yang menjulang tinggi. Burung itu berusaha sedaya upaya untuk mebawa air dengan paruhnya yang kecil. Panas api itu langsung ia tidak peduli. Katanya, "Andai saya disoal Allah kelak, sekurang-kurangnya saya sudah melakukan sesuatu dengan sepenuh upaya saya..."*.


(*saya tidak pasti dengan dialog sebenar. Olahan saya sendiri. Harap maklum.)

2 comments:

Raudhah said...

betul..isu ni tak pernah lapuk. selagi mana zionis masih menguasai palestin,selagi tu isu ni tak boleh kata isu lama.

kat sini hari2 leh dengar jet pejuang lalu since disember lepas. kawan2 kata tu jet israel. almaklumlah mesir kan bersekongkol gak.

kami yg belajar kat sini mmg sgt2 terasa bahangnya.sebab tulah aktiviti protes kat sini sgt kuat. boikot pun mmg boikot abis.

Mama Hazim said...

raudhah
hu..tersentak kejap bila baca komen ni tadi. Dahsyatnya.. kamu di sana diberi peluang untuk merasai sedikit dari apa yang mereka rasakan.

subhanallah..