Wednesday, December 26, 2007

Malam 25 Disember


Tatkala lagu-lagu krismas didendangkan dengan meriahnya di radio dan TV seluruh dunia. Saya dengan izin Allah, telah berpeluang menghadiri suatu forum ringkas di surau berdekatan rumah saya. Cadangnya hendak merakamkan video, tetapi belum beberapa saat, bateri saya kehabisan. Tanpa pen dan kertas, saya cuba sedaya upaya untuk mengingati perkongsian ilmu yang diberikan agar dapat saya kongsikan bersama di sini, insya Allah.

Forum ini mengenai dua orang kristian yang telah revert kepada Islam. Seorang merupakan seorang paderi, pengampun dosa antarabangsa yang juga dikenali sebagai IFS (kalau tak silap) iaitu En. F. En. F yang berbangsa India dibesarkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Hidupnya sebagai IFS memang cukup mewah, dia pergi ke negara-negara seluruh dunia dengan sambutan yang hebat. Sehingga suatu hari, dia terfikir mengenai penduduk kampungnya di Bukit Mertajam. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu-Islam. Dia berfikir, bagaimana hendak membawa orang-orang melayu ini kepada agama Kristian. Pada dia ketika itu, dia yang mengamalkan agama Kristian diibaratkan sebagai cahaya, dan orang yang beragama lain masih dalam kegelapan. Dia ingin membantu mereka dengan memberi cahaya kepada semua penduduk kampung di sekitarnya.

Dia sering berfikir, sehinggalah suatu malam dia pergi ke gereja (luar negara, tapi tak ingat dia cakap di mana) dan berdoa. Dia berdoa sehingga dia tertidur. Dalam tidurnya, dia terdengar suatu suara yang mengatakan sekiranya dia ingin membantu orang Islam, dia mesti belajar tentang agama Islam. Sebelum dia menjadi paderi, dia pernah bersumpah yang dia tidak akan membaca buku dan kitab agama lain, apatah lagi menyentuhnya. Sebagai seorang paderi, dia hanya perlu mengikut arahan ketua-ketua gereja di Vetican City. Oleh itu, dia pun bertemu dengan seorang ketua gereja dan menceritakan tentang mimpinya. Setelah berbincang, dia pun dihantar ke afrika utara untuk mempelajari agama Islam.

Dia begitu tertarik apabila mendapati terdapat persamaan antara Kristian dan Islam. Terutamanya mengenai Nabi-nabi yang diutuskan. Dia membuat perbandingan antara kedua agama tersebut. Di dalam Bible, Nabi-nabi kebanyakannya diceritakan mengenai keburukan-keburukan mereka. Contohnya, Nabi Ibrahim dikatakan seorang yang takut kepada isterinya. Nabi Daud apabila tenteranya keluar berperang, membuat maksiat dengan isteri orang lain. dan banyak lagi. Bukankah mereka utusan Allah, contoh dan tauladan untuk manusia lainnya. Tidak mungkin mereka melakukan yang sedemikian. Setelah melakukan kajian, dia mendapati terlalu banyak kepincangan dalam agama Kristian ini. Sehingga sekarang, tiada siapa yang dapat memberi jawapan terhadap konsep trinity, 3 tuhan dalam 1. Menurutnya, tidak terdapat dalam Bible pun mengenai perkataan trinity. Setelah beberapa lama mempelajari Islam, dia mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Dia menghantar surat kepada ketua paderi di Vetican City yang dia hendak meletak jawatan sebagai paderi dan memeluk Islam. Dia menerima telegram yang mengarahkan dia segera ke Rom. Dia sudah dapat mengagak bahawa bahaya besar pasti menimpanya. Tapi dia telah nekad. Sebelum ke Rom, dia singgah ke Holland. Di sana terdapat sebuah gereja besar yang mempunyai 16 patung di dalamnya. Pengnjung-pengunjung gereja akan menyembah patung dan memberi wang pada patung tersebut sebagai hadiah. Dia pun bertemu dengan ketua gereja di situ, seorang ahli Teologi Kristian yang terkenal. Ketua itu belum mengetahui bahawa En. F hendak memeluk Islam. En. F bertanya kepada ketua tersebut, kita diarah untuk menyembah kepada satu Tuhan, tetapi kenapa di gereja ini terdapat 16 patung yang disembah. Ketua gereja itu memberi jawapan, "orang Kristian itu bodoh. mereka tidak baca bible. Kita cuma nak dapatkan duit sahaja,". Menurut En. F, perayaan Krismas itu sendiri bukanlah untuk meraikan kelahiran Nabi Isa. Ketika King Constantine memerintah, terdapat suatu masyarakat yang menyembah matahari pada 25 Disember. Oleh kerana sukar untuk menukarkan kebiasaan mereka ini, tarikh 25 Disember tetap diadakan perayaan. Daripada meyembah 'sun', kepada menyembah 'son of God' . Setelah itu, En. F terus ke Rom.

Setibanya di Rom, ketua-ketua paderi di sana mengatakan bahawa dia sudah menjadi gila dan menghadapi penyakit mental. Dia dihantar ke sebuah hospital mental (saya tak ingat di mana). Sekiranya setelah 3 bulan dia masih berkeras untuk memeluk Islam, dia akan dipenjarakan. Di hospital tersebut, dia bertemu dengan seorang lagi pakar teologi Kristian yang terkenal (saya tak ingat nama dia siapa lagipun dengar tak jelas sangat). Pakar teologi ini banyak menulis buku-buku mengenai agama Krisitian. Sesiapa yang ingin menjadi paderi perlu belajar dan menghafal buku-buku beliau. Lalu, En. F pun bertanya kepada pakar teologi tersebut mengenai ketuhanan, prinsip trinity dan sebagainya. Pakar teologi itu menyatakan bahawa dia sebenarnya percaya bahawa Tuhan itu SATU, tetapi dia terpaksa mengikut arahan yang dikeluarkan oleh ketua sahaja.

Setelah tiga bulan di hospital mental tersebut, En. F pun berpura-pura telah bertukar fikiran untuk memeluk Islam supaya dia dapat kembali ke Malaysia. Apabila kembali di Malaysia, dia mengambil keputusan untuk memeluk Islam, tetapi tidak tahu bagaimana. Ketika itu dia di Kuala Lumpur dan tidak mempunyai sebarang kenalan untuk membantu dia memeluk Islam. Dia ke Masjid setiap hari Jumaat dan menunggu berdekatan dengan masjid, tetapi masih tidak berani untuk melangkah ke dalam. Dia bertemu dengan pelajar-pelajar sekolah menengah yang hendak menunaikan solat Jumaat. Lalu, dai menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam kepada mereka. Salah seorang pelajar itu, menyuruhnya supaya tidak bermain-main kerana agama Islam adalah untuk orang Melayu sahaja. Setiap minggu, dia melakukan perkara yang sama iaitu pergi ke masjid pada hari Jumaat dan menunggu sekiranya ada orang yang sudi membawa dia kepada Islam. Sehinggalah pada suatu hari dia bertemu dengan seorang kenalan yang ingin revert sepertinya, dan telah dipermudahkan oleh Allah untuk memeluk Islam.

Setelah menjadi seorang Muslim, dia begitu bersemangat dalam menyebarkan dakwah kepada orang lain. Dia telah ke Sarawak dan pergi ke kawasan-kawasan pedalaman untuk menyebarkan Islam. Sehingga kini dia telah berjaya membawa 29 buah kampung kepada Islam. Dia menyatakan kehairanannya, kenapa banyak orang Melayu-Islam mahupun orang Brunei-Islam yang berada di sekitarnya tidak mengambil peduli mengenai masyarakat di rumah-rumah panjang yang belum mengenal Islam. Lebih teruk lagi, mereka tidak mempamerkan sikap seperti seorang Muslim dengan meminum arak dan sebagainya. Dia turut menyatakan, ketika menjadi paderi Kristian dahulu, bantuan kewangan datang mencurah-curah. Tetapi, apabila dia memerlukan wang untuk berdakwah kepada Islam, keadannya terlalu sukar. Dia telah menghubungi pelbagai bahagian dan jabatan-jabatan yang berkenaan tetapi tiada jawapan yang diberikan terhadap permintaannya. Jalan terakhir yang dilakukan ialah dengan mengutip derma sendiri. Namun begitu,dia tidak melakukan dakwah secara seorang diri. Suatu kumpulan perubatan telah ditubuhkan bagi memudahkan proses dakwah mereka :D

------------------------------------------------------------------------

Seorang lagi ahli panel merupakan seorang yang berketurunan Cina bernama Lim. Dahulunya, dia beragama Buddha kemudian menganut Kristian dan akhirnya memeluk Islam. Dia seorang pelajar yang betul-betul mempelajari keseluruhan Bible tersebut. Dia mempunyai sahabat baik di kalangan orang melayu-Islam yang bekerja di sebuah disko. Dia selalu ke rumah sahabatnya ini dan mereka selalu berbincang dan berbual-bual mengenai pelbagai isu. Sehinggalah pada suatu hari, mereka tidak ada topik untuk dibincangkan. Lalu, sahabatnya ini mengajaknya untuk menonton suatu pita video mengenai perdebatan agama Islam dan Kristian oleh Ahmad Deedat dengan seorang Kristian (sekali lkagi, harap maaf, tidak berapa jelas nama dan jawatannya). Lim bertanya kepada kawannya sekiranya dia telah menonton terlebih dahulu, dan kawannya memberitahu bahawa dia belum menontonnya. Pita video itu telah lama tersimpan begitu sahaja, pemberian daripada seorang kawan kepadanya. Oleh itu, mereka pun menonton bersama-sama pita video itu. Lim begitu terkejut melihat pengetahuan mengenai Bible yang dimiliki oleh Ahmad Deedat. Ketika itu, dia berasa sungguh geram kerana ahmad Deedat menghentam Bible. Lim mengambil keputusan untuk meminjam pita video itu.

Di rumah, Lim menonton sekali lagi pita video itu. Dia menggunakan Bible sebagai rujukannya. Didapati apa yang dinyatakan oleh Ahmad Deedat tepat. Setelah itu, dia berusaha untuk membeli semua pita video mengenai ceramah Ahmad Deedat yang berjumlah 89 buah kesemuanya. Terdapat banyak kepincangan dalam Bible yang tidak disedarinya dahulu yang membuktikan bahawa Bible bukan datang daripada Tuhan tetapi merupakan tulisan manusia. Lim mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Surah yang paling menarik hatinya dalam al-Qur'an ialah surah al-Ikhlas. Surah ini betul-betul telah menjawab segala persoalannya selama ini. Dia cuba mencari sekiranya terdapat ayat-ayat yang sama dalam Bible. Dia sungguh terkejut kerana memabg terdapat ayat-ayat seperti surah al-Ikhlas dalam Bible (dia ada menyatakan verse-versenya, tapi saya tidak ingat). Bible menyuruh menyembah kepada Tuhan yang Satu, tetapi ajaran Kristian berbeza pula. Akhirnya Lim mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Lim menyatakan hasratnya kepada kawan-kawannya yang Melayu-Islam tetapi mereka hanya berkata, "bagus, bagus.." dan tidak mengambil peduli tentangnya setelah itu. Tidak kurang yang mentertawakannya dengan mengatakan bahawa dia sebenarnya teringin hendak berkahwin dengan perempuan melayu sahaja.

Setelah betul-betul nekad, dia ke Jabatan Agama Islam. Dia pergi seorang diri memandangkan tiada seorangpun yang sudi membantunya. Dengan perasaan berdebar-debar, dia berjumpa dengan pegawai agama di sana. "Sampai-sampai, ustaz tu dah tersenyum lebar. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dan cuba memeluk saya. Saya mengelak kerana saya tidak biasa. Dalam adat orang cina, hanya orang gay yang peluk sesama lelaki," katanya sambil tertawa. Lim diminta untuk mengikut bacaan pegawai itu mengucap dua kalimah syahadah. Dia yang pertama kali diminta menyebut dalam bahasa Arab sudah tentu tidak dapat menyebut dengan baik.
"Setiap kali saya sebut je, dua orang di sebelah sebagai saksi tu mengetuk meja dan berkata "tak sah!". Setelah hampir 30 minit, barulah sah. Bukan sebab saya dah pandai sebut, tapi sebab mereka dah penat agaknya,".
"Bagi saya, yang penting adalah makna kalimah syahadah itu sendiri. Sekiranya bacaan dalam bahasa Arab itu yang ditekankan, bagaimana pula dengan orang bisu?"

Lim yang masih mengekalkan namanya dalam bahasa cina walaupun setelah menjadi Muslim, memberikan beberapa strategi untuk berdialog dengan orang-orang Kristian. Lim menyatakan, sebenarnya metod ini terdapat di dalam al-Qur'an sendiri. Pertama, cari persamaan (ada dalam surah Ali Imran). Kedua, berdialog dengan baik. Salah satu cara, ketika hari Krismas, cuba tanya kepada mereka kenapa mereka sambut Krismas? Mereka pasti berkata, untuk menyambut hari kelahiran Jesus. Kemudian katakan kepada mereka, kalau tuhan bolehkah dia dilahirkan. Tuhan mesti tidak sama dengan ciptaan-Nya.

Ketika ditanya oleh seorang penganut Kristian mengapa dia memilih Islam, dia menjawab yang dia sebenarnya ingin mengikut Jesus. Jesus sebenarnya beragama Islam. Tidak percaya?
Ketika berumur lapan hari Jesus telah berkhatan. Sekarang cuba kita lihat siapa yang mengamalkan begitu? Orang Islam.
Jesus sembahyang dengan sujud ke tanah. Siapa yang berbuat seperti itu pada hari ini? Orang Islam.
Jesus berkata "Sholam alaykum" kepada orang Israel. Nah, siapa yang sering memberi salam seperti itu? Orang Islam.
Saya sayangkan Jesus, sebab itu saya memeluk Islam. Saya ingin ikut Jesus. Awak sayang Jesus? Awak mesti ikut macam Jesus.

Lim banyak memberi verse-verse dalam Bible yang dapat digunakan untuk berdialog dengan orang Kristian, tetapi saya tidak dapat mengingatnya.

Insya Allah, sekiranya saya teringat apa-apa lagi, saya cuba tambahkan.
Sekian :)

3 comments:

fairuspeng said...

satu artikel yang bagus....
menarik....

Intan said...

kd,itu bro lim jui soon ke?akak pernah jumpa dia face to face kat rumah dia.dia memang bagus!

even dalam bible,takde satu verse sekalipun yang mengatakan bahwa Jesus suruh menyembahnya..he probably say "remember me",but remember and worship is 2 different thing =)

Mama Hazim said...

well, it's him. Ingat nak to keep it anonym. But then,it's ok :D