Sunday, June 20, 2010

The Miracle


Alhamdulillah. Baru tiba di rumah selepas perjalanan panjang yang melelahkan. Seharian merentas sempadan negeri, demi cinta dan cita. Ah, mungkin begitu juga perjalanan dakwah ini nanti...tentunya melelahkan, tapi saat kita menggapai puncak tertinggi segala lelah itu pasti sirna dek sinar terang cahaya Islam sudah menerangi segenap bumi. Impian yang indah, dan moga impian yang bisa menjadi tumuhat untuk terus melalui perjalanan melelahkan ini.


Hari yang penuh keajaiban. Tentunya daripada Allah jua. Terdahulu, dua hari yang lalu saya diminta oleh seorang ukhti untuk berkongsi dengan adik-adiknya tentang buku "Jalan Dakwah" karya Mustafa Masyhur. Tidak mahu berlengah saat menerima tawaran hebat, saya cuba mengambil masa membaca semula buku yang sudah lama tersimpan. Subhanallah, sangat indah bagaimana al-Ustaz menukilkan buku itu sebagai panduan sang pemuda agar langkahnya benar-benar seirama dengan para syuyukh yang lebih awal. Betapa banyak panduan dan perkongsian yang sememangnya perlu dihadam dan dialirkan ke segenap salur darah.


Dan saya cukup tersentuh dengan seperenggan ayat di awal mukaddimahnya,

"Kita merasa cukup gembira melihat bunga yang sedang mekar itu (generasi muda). Kita benar-benar menghargai, menyanjungi dan menyintai mereka dan kita bertanggungjawab terhadap mereka. Kita wajib mengemukakan pengalaman-pengalaman kita supaya mereka bermula di mana kita telah sampai, supaya sempurnalah percantuman di antara dua generasi. Generasi yang telah tua dan generasi yang baru muncul. Kelak diharapkan mereka mewarisi amanah ini secara keseluruhan, kemurniannya dan iltizam dengan kitab Allah s.w.t serta sunnah Rasulullah s.a.w juga sunnah salafussoleh r.a"


Sungguh mengujakan sehingga saya beriya-iya menyiapkan powerpoint presentation khas untuk perkongsian itu pada malam sebelumnya. Di awal pagi saya bersiap-siap dan menelefon ukhti untuk mengetahui tempat perkongsian. Oh, rupanya saya sudah tersilap tarikh. Perkongsia itu sepatutnya pada minggu hadapan. Kerana beranggapan perkongsian itu sepatutnya semalam, maka saya bersungguh-sungguh membaca buku tersebut. dan Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya untuk menghubungkaitkan dengan peristiwa besar hari ini. Keajaiban yang indah, tentunya daripada Allah.


Tambah mengujakan, hari ini saya bertemu dengan si idaman hati. Saat mula mengetahui dia turut berada di sana, saya sudah tidak senang duduk. Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk saya bertemu sendiri dengannya. Kegembiraan yang tidak terkata, kerana pada hari ini saya dapat membawanya pulang! Ah, siapa lagi si idaman hati itu kalau bukan sepertinya tajuk entri hari ini dan ya, gambarnya sekali. Oh ya, jazakilllahu khairan kepada ukhti yang meminjamkan duitnya kepada saya untuk mendapatkan idaman hati saya ;)

Hari penuh keajaiban, tentunya punya titipan amanat dari Tuhan. Betapa banyak nikmat yang dikurniakan, lalu apa yang telah dan akan kamu usahakan? Perjalanan masih panjang, kerja semakin banyak, apa benar dengan keadaan sekarang kamu mampu bertapak seirama? Bersihkan dirimu, teguhkan ikatanmu dengan Tuhan. Andai saja sang perajurit al-Qassam sendiri mesti lebih hebat ibadahnya berbanding orang lain, maka bagaimana dengan kita para pejuang dakwah? Allah menyempurnakan keajaiban indah buat kita dengan kejayaan Islam hanya setelah kita menyempurnakan segala usaha ke arah itu. Dan di setiap lorong-lorong usaha itu, Allah sedia membantu kita hanya sahaja kita benar-benar berusaha memohon bantuan-Nya.

Muhasabah!
Berubah!
dan terus, terus, terus melangkah!
sehingga lelah merasa lelah denganmu
sehingga jemu merasa jemu denganmu
kerana Allah tidak pernah jemu sehingga kita sendiri merasa jemu.


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا امْرَأَةٌ قَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَتْ فُلَانَةُ تَذْكُرُ مِنْ صَلَاتِهَا قَالَ مَهْ عَلَيْكُمْ بِمَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لَا يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا وَكَانَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيْهِ مَادَامَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ



Daripada ‘Aishah bahawa Rasulullah s.a.w. masuk menemuinya dan dekat dengannya ada seorang perempuan. Rasulullah s.a.w. bertanya, siapakah dia ini. ‘Aishah menjawab, si fulanah dan beliau menyebutkan tentang sembahyang perempuan itu. Rasulullah s.a.w. bersabda: Cukuplah. Hendaklah kamu beramal mengikut kemampuan kamu. Demi sesungguhnya Allah s.w.t. tidak jemu sehinggalah kamu merasa jemu. Dan agama yang paling disukai Allah ialah apa yang dilakukan seseorang secara berterusan. (al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Ahabb al-Din Ila Allah ‘Azza Wa Jalla Adwamuha)

No comments: