Wednesday, June 9, 2010

The 6th Sense


Andai bertanya kepada seseorang tentang deria yang keenam, rasa-rasanya bagaimanakah jawapannya? Teringat suatu masa dahulu semua filem bertajuk The Sixth Sense berjaya melonjakkan nama M. Night Shyamalan sebagai pengarah filem bergenre seram/sains/fiksyen yang sangat berbakat. Saya juga satu masa dahulu peminat filem-filemnya, tentunya kerana filemnya membuat kita berfikir!

Alhamdulillah. Setelah mengalami sesi khas tarbiyah Allah melalui pengalaman kehidupan hari ini, saya baru menyedari hakikat betapa banyak manusia yang tidak perasan tentang deria keenam yang dianugerahi Allah kepada sekalian manusia. Selepas meminta bantuan encik gugel untuk meninjau definisi deria keenam oleh kebanyakan manusia, maka saya dapat simpulkan bahawa deria keenam juga dikenali sebagai ESP (extrasensory perception) atau intuisi atau yang lebih kelakar lagi, kemampuan seseorang untuk mengesan dunia ghaib (okey, ini seperti yang didefinisikan oleh filem The Sixth Sense itu sendiri kan?).

Bagi saya, definisi deria keenam yang diberi oleh kebanyakan orang ini kurang tepat. Kerana prinsip bagi sesuatu deria, harus punya ransangan (stimuli) dan organ derianya (sensory organ). Seperti deria penglihatan, cahaya sebagai ransangannya dan mata ialah organnya. Begitu juga dengan deria pendengaran, deria bau dan sebagainya.

Lalu, apa itu deria keenam sebenarnya? Apakah ransangannya? Apakah organnya? (Nampaknya selepas ini boleh mulakan kajian yang lebih ampuh tentang deria keenam. Sounds like a thesis project anyone? heh.)

Saya bukanlah seorang yang punya ilmu yang sesuai untuk membincangkan tentang hal ini tetapi jika hanya mahu merujuk deria keenam seperti cara ahli ilmuwan barat menganggap deria keenam sebagai kuasa psikik, maka saya kurang setuju. Kerana ada banyak lagi ransangan yang tidak dapat dikesan oleh indera yang lima, tetapi kita tidak dapat nafikan kewujudannya. Itulah perasaan/emosi/athifi dan organ derianya ialah hati.

Kita mampu merasai kehadiran perasaan gembira, sedih, geram, takut, cinta dan benci tetapi kita tidak mampu untuk melihatnya, menyentuhnya, menghidunya, mendengarnya mahupun merasanya dengan lidah melainkan hanya melihat kesan-kesan daripada kehadiran perasaan-perasaan ini. Walaupun perkara-perkara ini sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera, tetapi kita 100% tidak dapat menafikan bahawa perasaan ini benar-benar wujud. dan anehnya, kita tidak pernah persoalkan bagaimana sebenarnya rupa perasaan-perasaan ini. Walau mungkin ada yang mengkonotasikan cinta dengan bentuk jantung tak seberapa, atau marah dengan api dan telinga berasap (walau hakikatnya tak pernah orang marah sampai keluar asap) tetapi itu bukanlah gambaran yang tepat terhadap perasaan-perasaan yang tidak diketahui rupanya bagaimana kerana sememangnya kita tidak dapat mengesannya menerusi indera yang lima melainkan kesan-kesan daripada kehadiran perasaan itu sahaja. Contohnya, bila sedih menangis atau gembira akan menunjukkan senyuman hingga ke telinga (exaggerating okay).


Lalu apa yang ingin saya beritahu di sini?
Andai manusia melihat lumpuhnya salah satu deria yang lima seperti sesuatu yang sangat besar, maka harus diingatkan bahawa kita punya deria keenam yang mempunyai peran yang malah lebih besar. Si buta mungkin tidak dapat mengesan cahaya menerusi organ matanya, tetapi andai dia memelihara deria keenamnya iaitu hati maka tiada apapun yang merugikannya kerana hati yang berfungsi sempurna, terpelihara suci dari noda akan bisa menyuluh cahaya buat dirinya hingga ke akhirat.

Ransangan buat hati ialah dosa dan kebaikan, al-bathil dan al-haq. Seringkali hati yang penuh noda, tidak mampu menerima ransangan yang sempurna. Malah mungkin bertindak di luar fungsi asalnya. Bukanlah sesuatu yang aneh jika sesuatu organ mampu mengesan ransangan yang berbeza-beza kerana kulit pun bukan hanya ada satu reseptor sahaja! Ada reseptor sentuhan, tekanan, kesakitan, panas dan sejuk. Maka hati juga begitu, andai terlalu banyak ransangan al-bathil yang diterima oleh reseptor pada hati, mungkin saja menyebabkan reseptor al-haq itu kurang berfungsi lalu maklumat yang diproses dan terzahir daripada amalan kelihatannya yang buruk-buruk sahaja kerana reseptor al-bathil itu malah lebih menguasai daripada reseptor al-haq.

Andai manusia bisa merasakan peri pentingnya deria keenam, iaitu hati sebagai pengesan dan penentu penzahiran amal kita dalam rupa yang bagaimana, membantu kita mengesan sesuatu yang baik dan yang buruk, membuat penilaian dan keputusan yang baik dalam setiap siku-siku kehidupan dan segala macam perkara sebagaimana yang disebut dalam hadis keenam an-Nawawiyah bahawa hati sebagai penentu baik-buruk seseorang itu, maka tidak akan mereka persia-siakan masa melainkan untuk menyantuni segala keperluan hati agar reseptor al-haq dan al-bathil bisa berfungsi dan menentukan pilihan yang terbaik dalam setiap tindakan kita.

Kita tidak punya kuasa melihat di luar jangkauan lima indera, maka peliharalah deria keenam agar mampu membuat pilihan bijak dalam kehidupan. Kerana hidup ini ialah tentang membuat pilihan tentunya! Pilihan ke syurga dan neraka, menjadi manusia sengsara atau bahagia, berbuat baik atau buruk, merugikan diri atau menguntungkan diri...semuanya di tangan kita!

2 comments:

Anonymous said...

sgt menarik n besh...
ish3
mekasih...


~~kipas~~

Anonymous said...

Saya juga percaya definisi deria keenam lebih luas dan tidak terhad kepada melihat perkara2 ghaib shj.