Tuesday, April 20, 2010

memberi dengan hati


"Awak tak rasa malu cakap macam tu?", sebentar tadi baru saja dia dengan selamba mengeluarkan kata-kata lucah.

"Kenapa nak malu Cikgu?"

Tentunya ini bukan soalan ala-ala naif tak mengerti apa-apa. Soalan sinis provokatif. Ah, sungguh kasihan! Sungguh kasihan sang ruh yang terkapai-kapai merindu untuk kembali segar dalam fitrah. Betapa mungkin sang ruh yang terperangkap dalam jasad itu merintih penuh harap untuk kembali bebas dari taklukan kuku besi al-hawa' yang bermaharajalela.


Astaghfirullah. Benar terlalu banyak penyakit yang menodai hati-hati mereka, sehingga sang ruh sepertinya tidak berdaya menolak al-hawa'. Sehingga dosa membutakan mata dan memekakkan telinga mereka daripada indahnya Islam dan berada dalam iman. Seolah hati-hati mereka keras, malah mungkin lebih keras daripada batu! Kerana batu pun bisa pecah dan jatuh kerana takutnya pada Allah.


Andai mahu menangis, mungkin saja saya harus menangisi diri sendiri. Ah, betapa begitu banyak nikmat Tuhanmu, lantas bagaimana kau mensyukurinya?

Apakah masamu sudah digunakan sebaiknya?

Apakah seluruh tenagamu, telah dikerahkan untuk deennya?

Apakah seluruh tubuhmu, bisa menjadi saksi akan pengorbananmu untuk da'wah ini?


Ah!

Terkadang saya sendiri malu terhadap diri sendiri.

Terkadang berfikir empat-lima kali andai mahu tampil ke hadapan dan memberi,

sedang mungkin diri ini sarat memikul dosa

yang entah tidak terkira banyaknya.


Hati ini menangis

melihat jahiliyah bermaharajalela

dan mereka bergembira

sedang sang pejuang agama

saling mencerca

tuding-menuding

tarik-menarik

duduk-terduduk

main keting-ting

dan mengaku

kami berjuang untuk Islam.


Andainya para doktor tahu

di kawasan ini ada penyakit berjangkit

dan seorang demi seorang

akan maut

apakah mereka akan berdiam diri

kerana mungkin saja

mereka juga

akan menghadapi jangkitan itu

tidak lama lagi.

dan tidak lama lagi itu

mungkin saja

esok

atau mungkin yang lebih pendek dari itu.


Bukankah memberi itu pelindung hati?

lebih banyak kita memberi,

maka lebih banyak orang yang dibina untuk melindungi hati kita.

Allah tidak memberikan tugas da'wah itu

tanpa adanya kebaikan kepada yang melakukannya

malah mungkin saja kebaikan itu benar-benar khusus untuk kita!

Sebagai pelindung hati

sebagai pelindung iman yang tidak mampu dijual beli dengan apa pun di dunia ini.


Lalu, memberilah dengan penuh kasih...

kerana Allah, Maha Pengasih.


No comments: