Wednesday, September 23, 2009

makhluk asing di hari raya

Makhluk itu berasa sungguh asing. "Ah, di bumi manakah aku sedang berpijak ini?". Matanya sedikit melilau. Dahi berkerut sedikit. Lama dia terdiam cuma memutar kembali ingatan yang semakin pudar itu. Ya, suatu masa itulah dunianya. Dunia suram kelabu asap. Dia fikir dia gembira, tapi hakikatnya dia bergembira dengan kegembiraan yang sementara. Gembira yang bakal membawa duka nestapa selamanya di akhirat sana. Makhluk sedikit asing itu tertunduk, menyeka setitis air mata yang mencuri-curi keluar. "Oh, terima kasih Tuhan. Kau bawa ku kembali ke ribaan Mu. Aku nyaris menempa diri jalan ke neraka. Andai bukan atas rahmatMu, aku mungkin masih tenggelam dalam dunia ciptaanku semata.."

Makhluk sedikit asing itu melihat-lihat sekeliling. Makhluk-makhluk lainnya sedang bergembira menyambut hari raya. Bukan dengan laungan takbir tetapi dengan hilai tawa gembira bermain mercun dan bunga api. Ah, andai di Palestin sana bunyi-bunyian itu bisa membawa cemas ke dalam jiwa, tetapi di sini mereka pula bergembira. Sepertinya bunyian menakutkan itu bisa menjadi hiburan pula. Bagaimana?

Di dalam rumah, makhluk-makhluk lainnya sibuk dengan juadah aneka rupa. Televisi yang terpasang menambahkan bingit dan kacau di hati makhluk sedikit asing itu. Bukan dia anti dengan hari raya. Pastinya bukan. Tetapi hatinya terseksa melihat makhluk lainnya menyambut hari anugerah itu bukan dengan cara yang sebenarnya. Hatinya pedih melihat makhluk yang bergembira dengan hari hebat ini hanya sebagai satu tradisi amalan masyarakat mereka. Kononnya.

Makhluk sedikit asing itu sedikit hiba melihat hari yang sepatutnya disambut sebagai satu penentu peningkatan diri dari tahun ke tahun hanya disambut dengan acara tipikal tanpa makna. Andai mahu ditanya untuk apa bergembira di hari raya, apakah mereka mampu memberi jawapannya? Tahun-tahun yang berlalu dengan acara makan ketupat rendang, bersolat hari raya, bermaaf-maafan, bergambar dan berziarah. Tetapi di manakah makna di setiap acara ini andai hanya dilakukan sebagai satu tradisi tanpa memberi tambahan kepada diri? Sesungguhnya Tuhan menciptakan sesuatu itu dengan sebab, makhluk-makhluk itu berada di bumi indah ini pun dengan tujuan. Ah, apakah makhluk-makhluk ini tahu untuk apa dia diciptakan?

Terasing. Makhluk sedikit asing itu kini benar-benar berasa sungguh asing. Bahasa mereka bukan bahasanya lagi. Malah makhluk asing itu kini melihat sesuatu dari perspektif berbeza. Melihat dari kaca mata Islam dengan cara yang ditunjuki Rabbnya. Sehingga kadang-kadang makhluk asing itu tidak mampu berbicara kerana apa saja bicara berbau Islami itu selalunya membawa alergi kepada makhluk lainnya. Aneh. Sehingga kalam Tuhan pun hanya dilihat sebagai sesuatu yang boleh dipersendakan pula. Kononnya hanya sesuai untuk menjauhkan diri dari gangguan hantu dan sebagainya. Oh, sungguh tidak kelakar.

Betapa makhluk asing itu memasang angan-angan membawa Islam kembali di tempatnya. Ah, ingin benar makhluk asing itu merasai kemanisan menyambut hari besar Islam dengan cara yang penuh makna. Bertanya khabar iman, bertanya soal kesihatan hati, berkongsi peringatan dan saling nasihat-menasihati. Aduh, sungguh makhluk asing itu menanam azam di hati. "Kerja kita masih banyak. Perjuangan harus diteruskan!"

Dalam perjalanan pulang, sekali lagi bunyian di radio menyakitkan telinga makhluk asing itu. Lagu-lagu berbau lucah dan kotor menjadi halwa telinga makhluk lainnya. Manusia yang tidak mahu menggunakan akal dalam menilai kehidupan. Manusia yang berbangga dengan kedengkelan pemikiran sendiri. Manusia yang merugikan diri sendiri kerana tidak mahu berpegang kepada cara praktis membawa diri di dunia ini berdasarkan panduan yang diberi al-Khaliq. Dalam keterasingan itu, makhluk asing itu melihat panorama indah ciptaan Tuhan. Makhluk asing itu melambai gembira kepada sang awan yang putih bersih, kepada pokok-pokok meliuk lentok, kepada burung-burung di angkasa.. makhluk-makhluk Tuhan yang tidak henti-henti bertasbih, menundukkan seluruh hidup mereka buat Rabbul Izzati. Ah, makhluk asing itu malu. Makhluk tidak punya akal dan hati itu malah lebih baik daripadanya dan makhluk-makhluk manusia lainnya. Sungguh.


1 comment:

ProfHussaini said...

Salam alaik
Izinkan saya mengomel sikit

Kali pertama saya rasa perasaan sebegitu adalah beberapa tahun yang lalu, selepas SPM

Di waktu raya, ketika makluk lain sibuk memikirkan bagaimana nak menyelesaikan hutang nafsu mereka,

Terasa lost yang amat..
Benarkah destinasiku syurga?
Benarkah saya benar-benar ingin tegakkan masyarakat islami?
Mampukah saya lakukan?

Namun segala-galanya terjawab setelah saya berkenalan dengan abg2 yang berkongsi dengan saya tentang islam. Dan bagaimana akhirnya perlu saya melestarikan sepekatnya dalam diri saya. Dan menyebarkan kepekatannya dalam diri orang lain.

Alhamdulillah, walaupun raya kini masih dalam perasaan sebegitu, namun rasanya dah mampu buat sesuatu, bukan setakat membenci dalam hati, namun diri sendiri sudah mula mewarnai suasana raya.

Bila jahiliyyah itu sudah membugar, tugas kita bukan menyalahkannya semata, namun suluhkanlah cahaya. Agar paling tidak, ada 2 3 ruh yang menyahutnya..