Tuesday, July 8, 2008

Mengharung sungai, melawan arus


Tempoh hari saya telah menyertai satu kem motivasi. Saya pernah juga dengar kehebatan kem tersebut tetapi hendak juga melihat sejauh mana kehebatannya. Tiba di sana saya berasa seperti telah tersesat masuk ke kem yang salah. Masakan tidak, kebanyakan pesertanya terdiri daripada mereka yang berumur dan telah bekerja. Mereka di hantar oleh majikan mereka untuk meningkatkan potensi diri mereka. Saya tidaklah kisah sangat untuk bersama-sama mereka, tetapi pendekatan kem motivasi ini bukanlah cara yang saya gemari. Kem tipikal seperti di sekolah dulu, yang saya sangat benci. Saya tak suka program yang mempunyai peraturan-peraturan bermacam-macam dan fasi-fasi yang kerjanya mengarah-arah sahaja. Saya tak suka menjadi peserta yang mengikut arahan yang diberi bukan kerana saya mahu buat, tapi kerana terpaksa. Benci!

Bukan apa, kem ini mengingatkan saya dengan kem-kem di sekolah dulu. Yang kononnya untuk membawa kesedaran. Kem yang ada slot nangis-nangis. memang banyak sahaja orang yang mungkin kata terkesan dengan program sebegini, tapi tunggulah sehingga beberapa bulan kemudian. Mereka selalunya kembali larut mengikut arus. Sebab apa? sebab tak ada tarbiyah (didikan berterusan). Memang lah ramai yang menangis-nangis nak berubah tapi... huu tak berkesan juga setelah beberapa lama. Tidak lah saya nak kata apa yang mereka buat ni sia-sia. Pasti ada ganjaran dari Allah atas usaha mereka ini. Apatah lagi mereka cuba untuk membawa manusia kembali kepada Islam. Mungkin cara ini tidak memberi kesan kepada saya.

Pernah semasa di sekolah ada program yang kena tutup mata lepas tu kena jalan-jalan ke sana ke mati untuk menyedarkan kami, kononnya. Saya tak ingat apa yang mereka bebelkan, tapi ramai yang menangis. Saya pula hanya tutup muka saya dengan tangan (konon-konon nangis) dan ada seorang kakak tu datang nak pujuk dan benarkan saya duduk. Saya pun apa lagi, ambil peluang tu untuk tidur! Haha.. saya memang seorang yang sangat 'rebel' dulu. Saya tak suka orang mengarah-arah saya kerana saya nak buat sesuatu atas kehendak saya, bukan sebab orang lain. Memang seorang yang keras hati dan degil (oh, saya memang sedar itu!).

Tapi Alhamdulillah, Allah memperkenalkan saya kepada program yang sesuai dengan jiwa saya. Walaupun pada mulanya saya sangat keberatan untuk pergi. Tapi Allah buka juga pintu hati saya untuk faham Islam dan saya amat bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk saya perbaiki diri ini. Nikmat yang sangat besar bagi saya, sangat amat besar.... sehingga saya bertemu jalan ini. Jalan untuk mencari redhanya dalam setiap hayunan langkah, Insya Allah. Saya masih lagi sedang memperbaiki diri kerana memang banyak lagi yang perlu diperbaik dan ditingkatkan. Ehm, tapi program yang best ni saya pergi tahun lepas. Sejak itu juga saya bekerja menjadi promoter mengajak orang ke program tersebut dengan harapan mereka juga dapat merasai apa yang saya rasai kini. Mengenal Allah dan merasai kehadiran-Nya dalam setiap hembusan nafas.

Walaupun kem yang saya baru-baru pergi ini tak sehebat mana bagi saya, tetapi saya juga mempelajari sesuatu yang menarik. Dalam satu aktiviti sungai itu ialah perlu mengharungi sungai dengan melawan arus. Memang susah, apatah lagi dengan arus yang deras. Tubuh ini terhuyung-hayang ditolak arus. Cuba juga digagahi diri ini untuk melangkah biar dalam kepayahan melawan arus yang kuat mengasak. Tapi satu pengajaran yang dipelajari ialah, jika saya berseorangan melawan arus memang amat sukar. Silap langkah saya mungkin terjatuh dan hanyut ditolak arus. Oleh kerana itu kami diminta untuk berjalan secara berkumpulan. Kami berpimpin tangan, membantu satu sama lain untuk mengharungi sungai. Bila ada yang terjatuh kami tunggu dan bantu dia kembali berdiri. Jika ada yang terlalu ringan dan mudah dihanyutkan kami pegang tangan dia kuat-kuat. Akhirnya kami tiba juga ke destinasi. Bila memandang ke belakang, saya fikir tidak mungkin saya mampu mengharungi sungai ini seorang diri. Sungai yang cukup besar dengan arus yang kuat, bila-bila saja akan menolak saya dan saya akan hanyut mengikut arus.

Begitulah kehidupan sekarang. Ingin mempraktikkan islam yang sebenar ialah ibarat melawan arus. Mengamalkan islam dalam segenap aspek kehidupan memang akan dipandang aneh dan kini saya menjadi antara orang-orang yang aneh. Jika saya terlalu yakin yang saya mampu mengharungi kehidupan dengan sendiri dan menjadi seorang muslim dengan usaha saya sendiri, saya silap. Saya mungkin saja kembali menjadi saya yang dulu bila saya berseorangan. Kembali hanyut seperti rata-rata keadaan masyarakat saya. Oleh itu saya amat memerlukan sahabat-sahabat yang faham dan ingin bergerak beriringan dengan saya. Saling bantu-membantu antara satu sama lain untuk mengharungi arus ini sehingga tiba ke destinasi yang ingin dituju. dan akhirnya moga kami dapat membetulkan kembali arus tersebut untuk menuju ke arah yang sebenarnya. Insya Allah...

4 comments:

zahratulhilal said...

iA :) dapt link ni dr pakcik.. salam ukhuwah dari bumi sakura :)

Anonymous said...

salam..

saya akhawat dr jepun..dpt link blog ni dr pakcik..

salam ukhuwwah..ada rezeki, inshaAllah kita jumpa di Malaysia..=)

Teruskn mujahadah di bumi malaysia..

dr jepun~

misoshiru2312 said...

salam..

saya pun dpt link ni dr pakcik jugak..

salam ukhuwwah dr bumi jepun..:)

Mama Hazim said...

Alhamdulillah.
Terima kasih semua..
jzkk

ayuh, kita terus berusaha!!
p(^_^)q bersemangat!!!