Thursday, July 3, 2008

bintang-bintang


Tiba-tiba terasa jadi macam bintang. Bukan bintang di langit tapi bintang yang tertinggal di bumi dan tak sampai lagi nak melompat ke langit.

Semalam melawat adik-adik tersayang di INTEC setelah dua minggu meninggalkan mereka, rasa macam lama betul. Hati ni dah berkali-kali mengingatkan untuk menghubungi mereka tapi masih belum ada kesempatan. Selasa malam tu ada adik yang bertanya, kenapa saya senyap saja. Hmm.. maaflah. Saya belum ada kesempatan. Semalam menghantar kakak tersayang untuk terbang ke bumi borneo, menjadi kenyalang idaman yang bakal memimpin pipit-pipit lain menjadi enggang. Usai pulang dari KLIA saya singgah ke Masjid Jamek mencari The Sealed Nectar. Ingin ke KLCC terasa jauh pula. Tetapi tidak bertemu dengan buku idaman. Tidak mahu pulang dengan tangan kosong, saya membeli Sirah Nabawiyyah karang Dr. Said Ramadhan Al-Buthy. Terbitan baru untuk Fiqh Seerah yang digabung menjadi 3 in 1. Insya Allah akan cuba dimanfaatkan secepat mungkin.

Dari MJ terus bergegas ke Shah Alam untuk bertemu mereka. Bertemu seketika, melepas rindu dan bertanya khabar lantas saya mengisahkan cerita monyet dalam entri saya yang lepas. Harap-harap mereka faham. Hidup ini tidak mungkin dipenuhi dengan bunga-bunga nan indah sahaja. Ada juga duri-duri yang tersembunyi yang menanti. Tiba masa, kita akan terluka.Bila terluka, harusnya bersedia. Kalau boleh, saya ingin berkongsi banyak lagi dengan mereka. Tapi, masa tidak mengizinkan. Terpaksa pulang cepat. Kalau tidak.. Hmm, kena grounded lagi lah. Semasa nak bernangkat pulang, mereka buru-buru mahu mengambil gambar saya. Mula yang seorang tu mahu curi-curi ambil. Saya pun kata, "Kalau nak tangkap lah betul-betul". Kami pun berposing-posing di Taman Cemara itu. Saya betul-betul dah nak pergi pun ada yang masih nak mengambil gambar. Kelakar sungguh. Malu saya dibuatnya. Mana tak nya, rasa macam bintang popular pula nak bergambar-gambar. Haha.. perasan je. (Eh, bukankah saya ni memang selalu perasan? ;P)

Semalam di Toko Buku kegemaran saya terjumpa sebuah buku yang menarik. Tajuknya, "Making A Star in Me". Sempat menyelak-nyelak, buku tu menerangkan semua orang punya potensi dan harus digilap agar menjadi bintang yang bersinar. Ya, seperti hadis logam yang kita selalu uar-uarkan.

"Manusia itu ibarat logam. Baiknya dia ketika Jahiliyyah, baik juga dia ketika Islam. Sekiranya dia faham"
(H.R Bukhari)


Manusia memang diciptakan oleh Allah mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri. Setiap orang pun begitu. Maka tugas saya, kami dan kita semua ialah untuk mencari kelebihan dalam diri kita dan diri setiap manusia untuk digilap dan digunakan sebaiknya.

Seperti logam, yang mempunyai banyak kegunaan. Mudah dilentur dan dibentuk menjadi sesuatu yang berguna atau sebaliknya. Logam yang baik dilentur menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk semua, logam yang tidak dijaga akan berkarat dan menjadi buruk, rapuh dan hilang fungsinya menjadi logam yang bernilai. Seperti itu juga manusia, betapa penting dipelihara hatinya daripada memburuk kerana tidak terjaga. Kerana dari hati yang baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika hati itu buruk, buruklah jasad seluruhnya. Ingat lagi hadis ni?

Begitulah manusia. Sekiranya tidak menggunakan kelebihan yang ada untuk kebaikan, maka kelebihan itu akan digunakan untuk kebatilan. Untuk menjadi manusia yang logamnya amat bernilai dan bersinar-sinar, perlulah dia kepada kefahaman. Kefahaman bagaimana, kefahaman dalam Deen...

"Sesiapa yang Allah ingin berikan kebaikan kepadanya, diberinya kefahaman dalam Deen" (H.R Bukhari dan Muslim)

Kefahaman ini bukan sekadar berpengetahuan dalam agama, faham selok belok dan segala penjuru dalam agama. Tetapi kefahaman dalam hati. Atau dalam kata lainnya, ada "feel". Berperasaan terhadap Deen ini. Setiap pemikiran dan gerak perlakuan terserlah daripada perasaan yang datang daripada hati yang merasa bahawa hidup ini adalah untuk tunduk dan taat kepada Yang Maha Kuasa.

Pelik tak, ada orang yang belajar tentang Islam tinggi-tinggi. Hebat tapi boleh je buat perkara yang bertentangan. Kenapa ye? Sebab dia tak ada perasaan terhadap Deen ini. Itu yang saya cuba pupuk dalam diri saya dan semua orang. Kita mahu orang yang ada perasaan yang sangat tinggi terhadap Islam. Perasaan yang ingin meletakkan seluruh hidupnya hanya untuk Allah. Perasaan ini tidak boleh diajar seperti mengajar Sains di sekolah, perasaan ini dibentuk melalui didikan hati yang berterusan. Sebab itu pentingnya usrah. Agar hati ini dapat disentuh, dibentuk dan digilap seterusnya menjadikan manusia-manusia yang bakal bersinar seperti bintang-bintang. Malah lebih terang lagi.

Saya cukup suka mengimbau sejarah. Bagaimana Rasulullah mendidik hati para sahabat sehingga mampu berkorban segalanya untuk Islam. Biar disiksa dan nyawa terancam, tapi semangat untuk berkongsi sesuatu yang amat berharga ini mesti diteruskan. Nikmat iman yang tak ternilai harganya. Dari keimanan yang tinggi, segalanya tidak mustahil. Anda mahu lihat Islam tertegak semula? Satu empayar Islam yang hebat seperti di Era Umaiyyah? Malah satu tamadun Islam yang hebat seperti di Era Abasiyyah juga tidak mustahil. Rasulullah tidak pernah mengajar ilmu Optik dan perubatan kepada para sahabat. Tetapi bagaimana Muslim yang memegang kepercayaan yang sama mampu menjadi pakar-pakar Ilmu yang hebat pada waktu itu? Semua itu bermula dengan membentuk Iman. Ilmuwan Islam ketika itu tidak melakukan sesuatu hanya kerana tuntutan hawa nafsu. Tetapi, kerana ingin membantu dan mempermudahkan manusia untuk beribadah, menjadi abid yang taat kepada segala perintah Allah. Maka terciptalah saliran air contohnya, agar mudah untuk berwuduk. Semuanya dicipta bagi membantu muslim yang lain untuk lebih taat dan patuh kepada Allah. Bukan untuk suka-suka. Bandingkan dengan diri kita...

Banyak lagi nak diterangkan mengenai hal ini. Harapnya, sedikit sebanyak dapat memberi manfaat. Insya Allah.

No comments: