Thursday, July 3, 2008

tivi, kerja dan keluarga (bosan je, dah tak tahu nak bagi tajuk apa)





Banyak sangat nak luahkan. Sampai sesak rasanya. Nak cerita yang mana satu dulu ek?
Hmm.. tadi teman adik siapkan kerja sekolah. Saya pula menggosok baju, sekejap-sekejap saya menoleh ke peti tivi yang sedang berdrama. Makin lama tengok makin sakit hati saya dibuatnya. Masakan tidak, tivi zaman sekarang ni dah jadi macam racun tikus tak pun macam minyak tanah yang memarakkan api yang membakar. Panas!! Selamba-selamba boleh tayang bahagian yang selalunya disensor atau dipotong. Saya bukan cakap mengenai cerita luar negara, tetapi cerita yang pelakonnya ialah orang Islam. Mungkin 99% daripada krewnya. Aduh, macam mana remaja sekarang tak menjadi-jadi perangainya. Sedih.. lebih sedih lagi kalau ibu bapa turut serta menonton seolah-olah tidak ada apa-apa masalah tentang cerita itu. Saya yang menonton turut rasa sakit hati dan sesak nafas. Pening memikirkan cerita-cerita begini yang meracun pemikiran masyarakat. Pakaiannya pun semakin ntahpape, sekarang ni sanggup buat perlakuan sumbang di hadapan tivi. Seolah-olah menunjuk-nunjuk trend baru untuk ditiru masyarakat umum.

Orang dewasa sibuk dengan politik negara dan harga minyak. Rasanya ada ke remaja yang sibuk berhibur ni nak kisah pasal ni? Maka, siapa yang nak berfikir masalah ini? Saya pun pelik, bila ada berita gempar dalam politik, semua orang dewasa pun sibuk nak cari maklumat dari laman web itu dan ini. Mahu lihat siapa yang benar, atau siapa lebih cepat dapat maklumat? dan sekali lagi, masalah remaja ini terpinggir dan mereka sibuk dengan hal mereka sendiri. Seperti orang dewasa yang sibuk dengan hal politiknya yang tidak sudah-sudah. Kasihan mereka, dahlah sudah sesat makin ditinggal dan semakin sesat lagi. Orang dewasa buat tak tahu. Yang penting, harga minyak mesti turun dan gaji naik. Haha..semua orang pun fikir pasal poket sendiri.

Orang sibuk bekerja. Untuk apa? Cari makan untuk keluarga? Kalau setakat cari makan, takkanlah sampai berpulun-pulun bekerja. Kalau hanya cari makan, cukuplah dapat makan pagi, tengah hari dan petang. Bukan begitu? Tapi manusia sekarang meletakkan hawa nafsu sebagai matlamat utama. Masakan tidak, yang dikejarnya adalah menjadi seorang jutawan. Bakal hidup mewah dan mampu membeli apa sahaja. Memasang angan-angan hingga berawan-awan.


Pada saya, bukan masalahnya menjadi kaya. Bukan salahnya mahu jadi kaya. Tetapi tujuan menjadi kaya itu masalah utamanya. "Jadi kaya bagus, kita boleh beri bantuan kepada orang yang memerlukan". Ya, benar. Tapi jangan jadikan ini alasan untuk justifikasi sendiri. Cuba membenarkan kehendak diri dengan memberi alasan yang baik-baik, kononnya. Bukan saya mahu buruk sangka. Tapi cubalah lihat matlamat kita itu sebaiknya.

Adakah kita meletakkan mahu membantu mereka yang memerlukan di #1 dan membeli keperluan dan kemahuan di #2
atau
meletakkan membeli apa sahaja yang diimpikan di #1 dan membantu mereka yang memerlukan di #2 atau nombor yang selain dari nombor 1.

Cuba nilai sendiri.

Itulah masalah sebenarnya. Kita bekerja kerana turutan nafsu dan kehendak sendiri atau kehendak Allah semata-mata? Bukankah kita seringkali melafazkan ikrar ini, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah semata-mata". Dalam setiap solat kita. Maka, takkan soal bekerja pula kita mahu menurut kehendak nafsu?

Sekali lagi saya seolah-olah memutar belit topik sehingga tidak nampak arah tujuannya. Maka, sila baca baik-baik untuk lihat kaitannya. Jika bekerja itu tuntutannya untuk Allah, maka haruslah pekerjaan yang dicari itu bukan dilihat atas faktor lumayannya dari segi wang. Tetapi dari aspek mudahnya untuk menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah yang sebenar. Masalah yang dihadapi oleh remaja-remaja sekarang ialah kurang perhatian daripada ibu bapa. Bila ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak ditinggal sendirian. Membiarkan anak-anak mengasuh diri mereka sendiri dengan didikan tivi yang menjadi racun yang bakal membunuh. Harus diingat, bekerja itu adalah untuk memenuhi tuntutan Allah. Perlu diselaraskan agar anak-anak tidak terpinggir. Mendidik anak-anak nombor satu, kerana itu tugas ibu bapa yang utama. Memberi nafkah itu juga tugas, tetapi satu perkara harus diingat. Rezeki telah ditetapkan sejak kita di alam roh. Tugas mencari nafkah itu ialah untuk berusaha. Berusaha agar ada asbab untuk rezeki itu menjadi milik kita. Tak kisahlah dengan pekerjaan bagaimana. Tidak perlu bekerja dengan nama besar-besar, yang penting usaha yang baik. Jika menjadi tukang cuci bisa memberi rezeki yang halal, apa salahnya. Masalah manusia sekarang ialah risau dengan pandangan orang lain. Aduh, pandangan Allah bagaimana? Sanggupkah untuk menjawab bila disoal di akhirat kelak? Ini tanggungjawab. Lebih penting dari ikut perarakan membantah kenaikan harga minyak mahupun membaca blog tunangan orang yang dituduh menjadi mangsa @#$%^!

Mungkin ada yang membantah dengan mengatakan saya ini masih belum cukup dewasa untuk bercakap soal ini. Belum punya pengalaman berada di alam ini. Oleh kerana saya belum berfikir seperti orang dewasa dan belum menjengah ke alam pekerjaan, saya tulis awal-awal di sini. Takut-takut, bila sudah ke alam dewasa saya turut tenggelam dan berfikir seperti orang-orang dewasa lainnya berfikir. Jika demikian, saya harus kembali membaca tulisan saya ini sebagai peringatan.

Apa-apapun, kembalilah kepada Allah. Mintalah pertolongan dari Allah untuk memberi pilihan yang terbaik untuk diri. Agar kita dapat meletakkan seluruh hidup ini hanya untuk Allah. Sebelum memilih sebarang pekerjaan, mohonlah agar Allah tunjukkan andainya pekerjaan itu membawa kebaikan. Bukankah Allah yang Maha Mengetahui segalanya?

Titipan buat teman-teman yang telah tamat pengajian dan bakal bekerja. Juga mereka yang sedang membina keluarga ^_^

No comments: