Sunday, July 20, 2008

Murah dan Mudah

Salam.
Baru pulang daripada aktiviti biasa di hujung-hujung minggu. Keluar menyelamatkan dunia. Oh, ini bukan kerja part-time saya, tetapi kerja yang saya harus lakukan setiap masa dan ketika. Cuma ketika di hujung minggu saya punya lebih masa untuk ke mana-mana dan menjalankan tanggungjawab ini. By the way, ini bukan tanggungjawab saya seorang saja. Semua orang pun perlu menyelamatkan dunia. Bukankah kita semua adalah khalifah Allah di bumi ini?

Memang masih ramai lagi manusia yang tidak faham dengan konsep menjadi khalifah a.k.a penyelamat dunia (yang saya lebih suka gelarkan sebagai Super Hero) ini. Saya pun di antara orang yang dahulunya akan memberi jawapan skema peperiksaan Pendidikan Islam jika ditanya tentang tugas khalifah --> Mentadbir alam dan memakmurkan bumi. Tapi, jika difikirkan kembali. Apakah maksudnya memakmurkan bumi itu? Tanam lebih banyak tumbuh-tumbuhan, pelihara alam sekitar, cipta alat-alat yang eco-friendly dan jimatkan penggunaan sumber asli. Begitukah?

Pelika ya, kenapa saya tidak terfikir mengenai perkara ini ketika di sekolah dulu. Oh, dulu belajar cuma untuk peperiksaan. Tamat peperiksaan, segala ilmu yang ada dulu dah siap-siap bungkus untuk ke tempat pelupusan sampah. Mungkin ada yang terselamat dan sempat dikitar semula. Alhamdulillah, Allah sayangkan saya. Dibukanya pintu hati saya untuk memahami Islam semula. Dalam keadaan yang memang saya tidak pernah sangka-sangka. Masya Allah, sangat kasihnya Allah =)

Kini kefahaman saya tentang konsep khalifah, sama sekali berbeza. Ya, khalifah itu mentadbir bumi. Tetapi mentadbir bumi dengan Islam yang pastinya menjamin keselamatan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Saya mengaku, dulu saya juga pernah ragu-ragu apakah Islam mampu membawa kepada kemajuan. Tetapi sekiranya kita selidik semula Sejarah Islam, hanya dengan berbuat segala sesuat atas dasar Tauhid, Allah buka semua pintu untuk kita discover bermacam-macam khazanah ilmu di dunia. Benar, Rasulullah tidak pernah mengajar ilmu perubatan, tetapi bagaimana umat islam terdahulu hebat dalam bidang ini yang pada ketika itu, tamadun barat masih bergelumang dalam zaman gelapnya?

Bukankah segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah. Dengan mengikut segala-galanya dengan cara yang telah digariskan oleh Allah, tidak mustahil kita boleh kembali menjadi umat yang berjaya. Membina tamadun hebat seperti yang mereka sebelum kita lakukan. Itulah pentingnya kita pelajari dan hayati sejarah kita yang dahulu. Sejarah umat islam yang hebat... jauh lebih hebat dari negara-negara barat yang kita selalu kagumkan.

Mungkin ramai yang pelik bagaimana saya dan rakan-rakan bekerja menyelamatkan dunia. Bagaimana ingin membangunkan dan menyelamatkan dunia kembali ke tahap yang terhebat seperti mereka yang sebelum kita. Mungkin juga ramai yang pelik, apakah kami tidak berasa penat terpaksa berpergian ke sini dan ke sana. Hujung minggu yang rata-rata pelajar akan menghabiskan masa untuk bersantai dan berehat, telah kami gunakan untuk bekerja menyelamatkan dunia sepenuh masa. Pelikkah?

Saya tak nafikan dahulu saya juga melihat perkara ini sangat sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi apabila kita telah larut dalam kerja ini, yang dilihat hanyalah yang indah dan manis-manis sahaja. Benar, sekiranya kita masih belum dapat melihat keindahan dan kemanisan hidup dalam perjuangan, kita belum memberi sepenuh hati kita untuk berjuang. Apakah yang lebih manis daripada melihat orang lain turut bahagia di dalam cahaya iman dan islam?

Semalam baru sahaja mendengar kata-kata Syed Qutb yang sangat menarik:
"Dalam perjuangan ini, semuanya akan menjadi murah dan mudah.."

Murah dan mudah.
Bila berada di jalan ini, kita melihat segala di dunia sebagai murah. Harga wang itu murah, jika dibandingkan dengan mahalnya syurga Allah itu. Kalau dahulu saya seorang yang sangat particular dengan expenses saya, tetapi islam mengajar saya yang wang itu jika diinfakkan ganjarannya jauh lebih tinggi daripada nilai wang itu sahaja. Nyawa itu amat berharga, tetapi untuk mendapat syahid.. Nyawa itu terasa sangat murah harganya.

Kalau dahulu untuk mengorbankan hari-hari minggu dan masa-masa senggang adalah sesuatu yang membebankan. Ketika di kolej, saya mencipta pelbagai alasan dan helah untuk curi-curi keluar daripada aktiviti kolej. Sangat sukar untuk mengorbankan waktu yang saya ada untuk orang lain. Kini Allah membuatkan saya melihatnya sebagai sesuatu yang mudah. Apalah sangat berkorban apa yang kita ada demi mendapat redha Allah dan syurga yang sangat hebat itu?

Semoga Allah membantu kita untuk melihat dunia ini, sebagai murah dan mudah.. agar kita terus yakin untuk terus berada di jalan ini. Insya Allah ^_^

No comments: