Wednesday, October 6, 2010

Rasa hati

tumblr_ky7c6nLxeF1qzr04eo1_500

“Ciiik-guu!”

Suara dengan ton a panggilan yang sangat dikenali. Saya menoleh. Ah, apa mereka buat di tingkat lima ni? Bukankah peperiksaan PMR akan bermula sekejap lagi? A dan sepuluh orang gerombolannya membuat muka selamba berjalan mengelilingi tingkat lima sambil membuat bising. Pada mulanya saya sangkakan mereka di tempatkan di bilik khas di tingkat lima. Saya menghentikan kerja di bilik darjah yang kosong itu dan kembali melihat mereka. Kumpulan pelajar Tingkatan 3 yang sudah sepatutnya berada di dalam dewan peperiksaan itu sengaja menarik perhatian pelajar-pelajar sesi petang. Saya cepat-cepat berada di satu sudut apabila melihat mereka kembali.

“Eh, awak ni nak pergi mana sebenarnya?”

“Hehe, nak pergi surau cikgu!”

“Bukankah awak nak periksa PMR ni, cepat turun ye..”

“Ok, cikgu.””

Hari ini.

“A cepat turun!” Cikgu disiplin paling digeruni itu menjerit memanggil A dan kawan-kawannya yang kembali menunjukkan aksi mereka pada hari kedua peperiksaan PMR.

Sela beberapa minit, Cikgu disiplin itu terpaksa menjerit lagi memanggil mereka turun. Ah, A dan kawan-kawannya buat hal lagi!

Teringat semasa saya mula-mula mengenali A di penghujung tahun lepas, semasa mula-mula menjadi guru. Pelajar kelas nombor sepuluh. Memang dia suka meronda-ronda. Tapi setiap kali saya masuk ke kelas, dia mesti ada. Bahasanya memang kasar. Pernah saya saja-saja tanya bagaimana cikgu-cikgu sekolah ini,terus dihamburkan dengan perkataan kesat. Saya senyum saja. Mungkin sejak itu, dia selalu menegur saya setiap kali berselisih. Kadang-kadang, “Assalamualaikum” tapi paling selalu dengan “ciiik-guu!” saja.

Kalau sebelum posting saya selalu terfikir, bagaimana cikgu-cikgu boleh bertahan di sekolah yang pelajar-pelajarnya bermasalah. Mungkin
Allah memberikan saya jawapan dengan saya sendiri berada di sekolah kategori begini. Seorang guru yang baru ditempatkan juga terkejut bila mendapati keadaan pelajar sekolah ini yang semacam sangat dahsyat keadaannya. “Masa saya praktikal di KL dulu pun tak teruk macam ni budak-budaknya!”

Entah, saya pun sedang mencari ubat terbaik untuk pelajar-pelajar begini. Bagaimana mahu menasihati, cikgu sendiri pun tak dihormati? Bukan sekali dua saya degar mereka memanggil nama cikgu-cikgu sesama mereka dengan hanya nama sahaja tanpa perkataan cikgu pun di awalnya.

“Wei, (cikgu) X ada kat sana la!”

“(cikgu) Y tu memang gila!”

Alhamdulillah, di sebalik dahsyatnya dan ramainya pelajar yang bermasalah..masih ada pelajar-pelajar yang dihadiahkan Allah dengan hati yang lembut dan mudah menerima perkara-perkara baik. Betapa syukurnya saya kala ada pelajar yang mudah saja diajak ke program-program remaja kawasan (dan kala itu saya harus berterima kasih dengan sangat banyaknya kepada pakcik dan makcik yang bertungkus-lumus mewujudkan program untuk remaja). Betapa sejuknya hati saat melihat pelajar-pelajar kelas saya naik ke pentas untuk menerima hadiah pertandingan hafazan dan tilawah al-Qur’an.

Lalu mungkin itu sepertinya jalan dakwah ini. Seringkali kita patah semangat dengan keadaan masyarakat yang caca-marba. Mungkin saja kita merasa lelah melihat hasil yang tidak seberapa dalam tempoh yang sekian lama. Tapi Allah tetap menghadiahi kita dengan keadaan-keadaan yang mampu membuat kita tersenyum dan mengingatkan kita bahawa Dia pasti bersama dalam setiap susah-payah kita. Dalam keliru memilih jalan yang terbaik, mungkin itu saatnya Allah mahu kita kembali merujuk kepada-Nya untuk memastikan langkah dan tetap merendah diri dalam memohon pertolongan-Nya.

Ah, bagaimana tidak kita mencintai jalan dakwah ini. Sedang Allah telah mengubah kita menjadi insan yang lebih baik pada hari ini?

betapa mulianya Allah yang memuliakan kita sebagai pembawa risalah, lalu betapa hinanya kita andai mencampakkan saja tugasan mulia ini dengan memilih dunia!

Betapa kasihnya Allah yang Maha Mengasihi kita sehingga yang diberikan kita baik-baik saja, lalu bayangkan andai kita yang berada di tempat pelajar dan manusia yang bermasalah, jauh dari Allah malah jauh sekali dari mengingini kebaikan yang mahu diberi oleh-Nya.

Subhanallah, bersyukurlah! dan tunjukkan syukurmu dengan kerja penuh ikhlas buat deen-Nya!

No comments: