Thursday, August 27, 2009

Train Delay


"Tren ke Rawang akan tiba dalam masa 40 minit. Harap maklum." Pembesar suara di stesen komuter tersebut seperti tidak segan-segan memberitahu akan tren yang kelambatan. Bukan sekali dua begini, tapi hampir setiap kali. Lumrah buat mereka yang belum mampu lagi mempunyai kereta seperti saya, menjalani kehidupan bersesak gaya masyarakat kota.

"Sorry Abah, tren delay. 40 minit." Pantas jemari menaip mesej ringkas buat Abah. Suasana di stesen tegang. Kelihatan ramai yang stress. Saya tersenyum sendirian melihat gelagat manusia. Terus menyambung bacaan buku yang sudah separuh dibaca. Tidak dapat tidak otak ini ligat memikirkan sesuatu. Teringat cerita seorang ukhti sekembalinya dia dari Mesir. "Di Mesir, kalau tiba-tiba ada orang bangun dan bagi tazkirah dalam tren, itu biasa!". Wah, saya kagum betul. Terus tersenyum dan memandang sekeliling. Kalau bukan saya teringat yang saya ini masih perempuan, mahu saja saya ke depan dan memulakan sepatah dua kata pembuka bicara. Teringat pada as-Syahid IHAB, yang senang saja memberi tazkirah di kedai-kedai kopi. Masakan tidak, jika hanya memberi di masjid, siapa saja yang mendengarnya. Kebanyakannya golongan senior dan bukannya pemuda pemudi harapan bangsa yang mahu berada di sana.

Lalu, saya pun terus duduk dan menyambung bacaan dengan harapan datanglah seorang hero yang bakal memberi wajah baru kepada dunia. Oh, paling sedikit pun kepada stesen komuter ini. Tidaklah saya ikut stress melihat mereka semua mengelamun tidak ketahuan hala. Oh, manusia dunia! Ayuh duduk dan beriman sejenak! Paling tidak pun, kenapa tidak digunakan saja pembesar suara sedia ada untuk mengalunkan tazkirah buat hati lesu nan layu dimamah serigala dunia. Bukankah indah hidup ini dikelilingi dengan bayangan-bayangan indah syurga, lalu segala fitnah dunia ini kelihatan kusam tak berselera saja buat kita kerana tentunya syurga itu lebih-lebih lagi istimewa.

Otak masih ligat berfikir. Andai saya mahu juga memberi tazkirah ringkas, di mana pula saya mahu memulakan bicara saya? Melihat ke langit, ke bumi dan ke dalam diri! Ah, saya suka benar pada surah Asy-Syams yang membawa manusia mengembara dan berfikir akan kejadian alam ini. Subhanallah. Bagaimana harusnya manusia itu menjadi stress, sedang mereka dikurnia nikmat yang terlalu banyak oleh Yang Maha Penyayang?

Duduk sejenak dan melihat. Langit yang indah, hebat gagah perkasa. Saya bersyukur kerana langit hari ini masih lagi indah dan baik-baik saja. Andai langit sudah merekah, itu tandanya bumi bakal musnah! Lalu bayangan-bayangan ngeri surah al-mursalat, an-naba' dan at-takwir mula menggugah.

Lihatlah ke langit, lagi dan lagi. Apakah kamu lihat kekurangan dalam penciptaannya? Matahari dengan cahaya yang hebat. Menerangi dan memberi haba secukupnya buat kita. Betapa besar nikmat Allah kepada kita di atas penciptaan matahari. Ah, jika mahu bercerita tentang kehebatan makhluk yang satu ini takkan cukup satu muka! Apalagi jika kalian yang bijak pandai mahu menjelaskan. Tentu lebih banyak lagi. Tapi betapa banyak manusia yang hanya tahu ilmu sains pada dasar cuma. Sayang sungguh jika tidak melihat yang tersirat di sebalik setiap penciptaan Maha Hebat ini. Lalu, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (55:55)

Masya Allah.
Lihat pula ke bumi dengan segala apa yang ada. Selamilah surah abasa, betapa kudrat Ilahi itu tidak terjangkau dek manusia yang sungguh kecil ilmunya tetapi selalu saja bersikap angkuh pada Tuhannya. Betapa ramai manusia yang sombong dengan apa yang dimilikinya, sedang Tuhan telah berpesan bahawa apa saja nikmat dunia yang kita perolehi ini ialah UJIAN buat kita. Semuanya pun dipinjam saja kepada kita, masakan boleh pula kita bersikap sombong dan berbangga-bangga dengan barang pinjaman? Harus diingat, bukan kita yang punya tetapi Allah Yang Maha Kuasa yang memiliki seluruh alam dan segala isinya!

Oh, lihat pula ke dalam diri manusia...
dari apa ia diciptakan? betapa manusia sangat bergantung kepada Allah ketika dia dicipta dari bahan yang sungguh lemah tak berdaya..
dan..

"Oh, tren dah sampai!". Tersentak dari lamunan. Bergegas bersama penumpang yang lain ke muka pintu. Oh, sesak nampaknya. Hari ni, jadi lauk sardin lagi. Alhamdulillah. Ujian sabar lagi. Ubatnya, ingat ayat ni: Innallaha ma'as Sobirin. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. (2:153)

Jadi Sabar = Allah bersama.
Bestnye jadi geng dengan Allah!
Bila Allah banyak bagi ujian sabar kepada kita.. bukankah maksudnya Allah nak geng dengan kita? ^.^
tapi kena banyak berlatih sabar ye! Baru boleh jadi geng ;)

2 comments:

Anonymous said...

tahu situasi itu..selalu alami train delay. cerita yg paling kurang enak adelah apabila berada di dalamnya..
apepun, pernah satu ketika semasa tren yg sy naiki singgah di satu stesen..ia disambut dgn senyuman kesyukuran oleh bakal penumpang di stn itu. seolah2 tren itu mbawa harapan yg besar setelah dikecewakan oleh tren sebelumnya (agaknyelah..hehe)
btw, ur post buatkan kak aii berangan jugak ade yg tetiba berani menyampaikan alhaq di stn kmtr tuhh..bestnye

Mama Hazim said...

^__^ ya, cikgu!