Cik Bella melihat sahabat baiknya, Rara di suatu sudut di taman bunga. Wajahnya muram mencuka. "Pasti Rara sedang berdukacita," Perlahan-lahan Cik Bella menghampiri Rara. "Assalamualaikum, Rara. Sedang khusyuk bertasbih nampaknya!" Cik Bella memberi senyuman semanis-manis madu. Oh, bukankah berusaha memberi senyuman dan menggembirakan saudaranya itu sesuatu yang sangat disukai Allah. Cik Bella teringat ceramah Amru Khaled dalam rancangan "Bismika Nahya" tentang nama-nama Allah. Allah as-Syakuur, Maha Membalasi, Maha Mensyukuri...akan menilai usaha baik kita walau sekecil-kecilnya. Subhanallah, sungguh Cik Bella berharap dapat menyegerakan diri kearah kebaikan. Moga-moga Allah mengganjarinya dengan limpahan iman.
"Waalaikumsalam, Cik Bella..." Rara menjawab perlahan. Nafas dilepaskan berat. "Rara, okey ke? Kenapa macam tak gembira lihat Cik Bella. Cik Bella mengganggu ke? Maaflah kalau begitu. Tapi kalau ada apa-apa yang Cik Bella boleh bantu, marilah cerita kepada Cik Bella." Cik Bella tetap bernada ceria. Harapannya besar untuk menggembirakan sahabatnya dan membantu sedaya mampu. Rara memandang Cik Bella. Raut wajahnya kelihatan bersungguh sekali mahu membantu. Mungkinkah Cik Bella diutus Allah untuk membantunya? Rara cuba tersenyum dalam sukar. "Terima kasih Cik Bella. Rara sebenarnya...keliru. Mungkin juga geram dan sedih..." Tanpa semena-mena, butir-butir jernih mula jatuh dari kelopak mata Rara. Kelihatan berat sungguh beban yang dipikul oleh Rara. Cik Bella mengusap bahu Rara perlahan. Rara menyeka air mata.
"Sejak keluar daripada kepompong dan menjadi rama-rama, sepertinya dunia ini sudah berbeza. Asing, ganjil..Rara rasa sungguh keliru. Banyak yang perlu Rara pelajari, banyak tanggunjawab yang menanti. Ah, kadang-kadang Rara skeptikal terhadap diri sendiri, akan kemampuan Rara sendiri. Rara rasa sangat lambat. Lihat, sampai sekarang Rara masih tidak dapat terbang tinggi seperti sahabat yang lainnya. Rara geram dengan diri Rara sendiri!", Rara kembali menangis. "Subhanallah. Ini ujian Allah buat Rara. Pasti Allah tahu yang Rara mampu hadapinya. Bukankah Allah akan menguji kita di titik terlemah diri kita? dan Allah menguji kita untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya? menguji kita, untuk membuatkan kita malah lebih hebat dari sebelumnya!"
"Percayalah Rara, setiap daripada kita adalah istimewa. dan lebih-lebih istimewanya kita bila kita menyedari bahawa diri sedang diuji... kerana mereka yang diuji itu ialah insan-insan istimewa yang dipilih oleh Allah! Andainnya Rara berasa sedih keluar daripada kepompong dan perlu mula hidup berdikari...maka Cik Bella harusnya lebih bersedih kerana menjadi belalang dan tidak pernah punya peluang untuk berada dalam kepompong! Cik Bella harus belajar berdikari sedari awal dan untuk hari-hari yang seterusnya!" Rara tersentak. Ah, benar. Betapa dia terlupa akan nikmat diberi Allah untuk punya hidup di dalam kepompong yang indah itu. Belajar menguatkan diri sebelum keluar dan akhirnya mula terbang sendiri! Ah, masakan dirinya selemah itu...dia sudah punya pengalaman dan pelajaran indah semasa di dalam kepompong dulu, lalu mengapa tidak digunakan segala nikmat yang diperolehnya untuk mula mendidik diri menjadi rama-rama yang bisa menyemarakkan taman bunga?
Rara tertunduk malu. Malu kepada dirinya, malu kepada Cik Bella dan malu kepada Allah terutamanya! Astaghfirullah, moga Allah mengampuni dosa-dosanya kerana tidak menggunakan kurniaan nikmat itu sepenuhnya. Benar, saat mula hidup berdikari..seharusnya Tarbiyah Dzatiyah itu lebih utama. Mutabaah amal harus dijaga..istiqamah dalam melaksanakan amal. Ah, bagaimana Rara boleh sampai terlupa apa yang dipelajarinya semasa dalam kepompong tempoh hari.
"Terima kasih Cik Bella!" Rara mendakap Cik Bella penuh mesra. "May Allah reward you with the best of rewards! Rara dah tahu nak buat apa!!" Rara tersenyum gembira. Cik Bella yang sudah cukup tafahum dengan perangai Rara hanya tertawa geli hati. Ketawa sunnah Rasulullah, cukuplah hanya dengan menampakkan gigi. "Rara, Rara...moga Allah membalasimu dengan sebaik-baik ganjaran juga, insya Allah."
"Ni dah bersedia nak terbang lebih tinggi la ni?" Cik Bella kembali mengumpan sebuah jawapan. Rara tersenyum, "Ha..yang tu kena tunggu lepas Rara dah baiki sayap ni..". "Jangan lambat sangat, nanti traffic jam pula! Masih banyak tanggungjawab di luar sana."
"Erk...baik! Insya Allah Rara cuba untuk baiki diri cepat-cepat. Sekarang juga. Assalamualaikum Cik Bella!" bergegas Rara berlari meninggalkan Cik Bella. Cik Bella tersenyum geli hati sekali lagi melihat gelagat Rara dan kembali mengalunkan tasbih untuk alam semesta.
No comments:
Post a Comment