Sunday, October 14, 2012

Pilihan

Alhamdulillah. Malam ni rasa macam nak bagi tabik spring kepada encik suami kerana berjaya membuat pilihan yang terbaik. Daripada petang tadi dia berkira-kira sama ada mahu ke usrah atau ke kem sekolahnya. Alhamdulillah, hidayah daripada Allah juga dia memilih untuk bergembira di bulatan gembira. Rasa seperti nak senyum hingga ke telinga bila dia berkata, "rasa lama sangat dah tak pergi usrah..".

Serius, itulah kemanisan usrah. Bila lama sangat tak berusrah kita akan rasa rindu yang amat-amat sangat. Walaupun usrah itu tidaklah apa-apa sangat. Mungkin saja perjumpaan sekitar sejam dua, senyum-senyum dan salam-salam tanpa pengisian yang super dasyat pun. Tapi kesannya, macam minum secawan coklat yang panas di tengah-tengah kesejukan malam. Sangat menghangatkan jiwa!

Mungkin buat pembaca yang tidak tahu sangat tentang ini, maka saya ingin maklumkan di sini. Encik Suami bukanlah kenalan atau sesiapa yang rapat dengan saya mahupun keluarga saya sebelum ini. Bagaimana kami bertemu dan akhirnya diikat sebagai suami isteri memang sangat tidak dapat dibayangkan oleh saya sendiri sebelum ini. Mahu menulis panjang lebar di sini, saya sendiri jadi malu segan silu.

Tetapi saya paling ingat saat saya mahu membuat pilihan, segalanya saya letak bulat-bulat kepada Allah. Dengan doa yang tidak sudah-sudah (sehingga kini juga, walaupun sudah bergelar isteri).
"Andai dia memang terbaik untukku, maka permudahkanlah.."
Lalu sepanjang perjalanan menuju pernikahan itu seakan mudah. Walaupun hakikatnya untuk membuat pilihan itu sangatlah susah. Entah berapa liter air mata saya tumpah, kerana saya amat takut andai pernikahan ini membuatkan saya lantas gugur dari jalan dakwah. Kerana yang merisik ini bukanlah para ikhwah, hanya seorang yang baru berjinak-jinak dengan usrah.

Sehingga saya bertembung dengan satu ayat saat mentadabbur usai tilawahnya. Seolah ayat itu menempelak saya kerana meletakkan ikhwah yang akan memastikan saya kekal di jalan dakwah! Tidak, hanya Allah yang berkuasa atas segala sesuatu.

Lalu di situasi lainnya, saat bermusafir dan  saya berdoa di sepanjang permusafiran itu agar diberi petunjuk atas pilihan ini. Mahu bertanya kepada yang lebih arif, saya jadi sangat malu. Tetapi sungguh Allah Maha Mengetahui. Allah memberi jawapan melalui lisan seseorang tanpa saya perlu bertanya sendiri. Sungguh, saat itu air mata saya mencurah-curah keluar. Mujur tiada siapa menegur. Terasa begitu dekatnya Allah menjawab segala persoalan.

Andai diminta memberi nasihat buat mereka yang mahu menjejak ke tangga baitul muslim, mahu  saja saya mengingatkan biar pilihan ini pilihan terbaik dari Allah dan untuk dakwah. Sentiasa memperbaharui niat sehingga saat akad itu dilafazkan. Kerana niat itu menjadi pendorong dan penguat saya untuk mengorak langkah membina Baitul Muslim.

Wallahu a'lam.
Moga ada manfaat dalam perkongsian ini.
Mohon doa agar saya terus tsabat.

Thursday, October 11, 2012

Si Kecil


Ok, kali ini bukan post tentang Si kecil yang di luar tetapi Si Kecil yang di dalam.
Kasihan Si Kecil ini.
Mungkin kerana saya terlalu memberi perhatian kepada Si Kecil yang di luar, maka tanpa di sedari saya telah meminggirkan perhatian buat Si Kecil di dalam ini. Oh!

Kasihan dia.
Saat Si Hazim Kecil menangis kerana tersepit pintu almari, demam atau jatuh terhantuk saat mula bertatih.. apa mungkin Si Hati Kecil di dalam diri ini juga sedang meraung-raung kerana cedera parah yang amat sangat.
Tapi kasihannya. Saya sudah kurang perhatian kepada Si Hati Kecil...

Saya sibuk memikirkan makanan, susu, dan pelajaran buat Si Hazim Kecil. Tetapi bagaimana dengan Si Hati Kecil saya sendiri. Sepertinya saya sendiri semakin lupa akan tugas untuk tetap membangunkan jiwa sendiri..
Astaghfirullah...

Alhamdulillah. Terima Kasih ya Allah atas lintasan yang Kau berikan pada Si Hati Kecil ini. Insya Allah akan saya usahakan untuk kembali menyantuni Si Hati Kecil. Moga ia dapat sama-sama membesar sihat dan kuat bersama-sama Si Hazim Kecil.

Terima Kasih ya Allah kerana masih memberiku peluang untuk memperbaiki diri. Moga aku dapat terus bangkit dan menjadi lebih baik. Aku mohon Ya Allah agar diberi ketetapan iman dan kekuatan hati untuk terus beramal dengan Deen Mu.

Amin Ya Rabb.


Sunday, October 7, 2012

Nikmat

Alhamdulillah.
Bersyukur di atas kurniaan Allah yang tak terhingga. Kadang-kadang risau juga andai nikmat yang diberi ini sebenarnya ujian yang tidak terduga. Sejauh mana kita sedar akan ujian dalam bentuk kesenangan yang diberi, berapa banyak hak-hak nikmat yang Allah beri ini telah kita penuhi.. Astaghfirullah. Mohon Allah ampuni segala khilaf diri.

Hazim hampir menjengah 10 bulan dan saya sangat bersyukur Allah masih memberi peluang untuk saya menyusukan Hazim sepenuhnya dalam tempoh ini. Penyusuan secara penuh adalah sangat mencabar bila menjadi ibu yang bekerja. Stok EBM beku sekejap sahaja surut. Sejak Hazim 7 bulan saya perlu bekerja lebih keras setiap hari untuk mendapat hasil tuaian bagi bekalan hari esok. Semua rezeki daripada Allah dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran atas nikmat yang diberi ini. Moga Allah menambahkan rezeki untuk Hazim dan menjadikannya khalifah Allah yang soleh dan musleh.

Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang tempoh Allah memberi saya peluang menjadi ibu. Anak kecil yang masih suci, fitrahnya adalah kepada segala yang baik. Saat berkumandang azan dan zikir, Hazim akan terdiam dan melihat penuh khusyuk. Tetapi turut menjadi kebimbangan saya, apakah saya mampu untuk mendidik amanah Allah ini dengan sebaiknya? Allahu Allah..

Saya percaya setiap ciptaan Allah itu unik, begitu juga dengan anak-anak kecil. Tidak perlu dibanding-bandingkan dan kita sebagai orang dewasa sepatutnya sentiasa memberikan nilai-nilai yang positif kepada mereka. Hazim sangat aktif dan lasak, maka doa saya moga dia nanti bisa menjadi pejuang yang tangkas, cekap dan sentiasa bertenaga untuk menegakkan deen Allah ini.

Paling indah bagi seorang ibu pada saat ini ialah menikmati senyuman si anak. Melihat matanya dalam-dalam dan sentiasa mendoakan dia agar menjadi manusia yang memberi manfaat yang sebanyak-banyaknya buat umat manusia.

Si kecil yang tangkas,
moga besar kelak kau bisa memangkas,
sang jahiliyah yang cepat dan lekas,
membuat sang pejuang tertewas...

Lalu jangan kau lalai dan leka,
kerana Iblis dan tenteranya tidak pernah lupa,
akan janjinya pada Tuhan Maha Kuasa
mahu disesatkan seluruh manusia
kecuali mereka yang benar-benar bertaqwa.




Muhammad Hazim


Much love,
Mama Hazim.

Thursday, August 16, 2012

Kejutan yang manis!


Akhirnya, hari terakhir sekolah sebelum cuti! Entah kenapa tahun ini saya ternanti-nanti untuk cuti sekolah. Mungkin kerana lambakan kerja dan pelajar-pelajar yang sangat tak bersemangat nak belajar kerana menantikan cuti menyebabkan saya juga turut berharap untuk cepat-cepat bercuti. Atau sebenarnya saya mengharapkan cuti kerana stok EBM (expressed breast milk) yang sudah habis lalu mengharapkan cuti supaya saya dapat terus DF (direct feed) Hazim. Juga Alhamdulillah syukur, hingga ke saat ini (Hazim 8 bulan) saya masih menyusukan Hazim sepenuhnya. Terima kasih atas rezeki dari-Mu, ya Allah.

Kejutan untuk saya, ada sekeping kad dan sekotak hadiah di atas meja saya. Pertama kali menerima kad raya daripada pelajar di zaman kad raya sepertinya sudah agak asing buat mereka. Daripada Nini (bukan nama sebenar). Eh, siapa ni? Saya tertanya-tanya. Ah, teruknya! Takkan saya tak ingat pelajar yang agak baik dengan saya?

Saya terus membuka kotak hadiah tersebut. Di dalamnya ada sekeping surat berlipat kemas. Saya membaca surat panjang tersebut dan hampir menitiskan air mata. Subhanallah! Daripada seseorang yang tidak saya duga. Pelajar yang telah lama hilang tanpa khabar berita dan dengan kuasa Allah menghubungkan kami semula. (Padanlah saya tak tahu siapa Nini sebab itu nama panggilannya di rumah!)

Ini bukan kisah biasa.

Tahun 20XX saya dilantik menjadi guru tingkatan 2 kelas nombor 4. Di pertengahan tahun saya dikejutkan apabila mengetahui salah seorang pelajar kelas ini mengandung! Terasa seperti mahu pengsan. Rasa bersalah yang amat sangat. Astaghfirullah, bagaimana keadaan ini boleh terjadi! Lebih menggemparkan bila diperiksa kandungannya sudah mencecah 5 bulan, dan saya langsung tidak perasan perubahan pada dirinya! Malah ibunya juga baru mengetahui keadaan anaknya bila pihak sekolah menghubungi dia. Akhirnya kes dia dirujuk kepada bahagian kaunseling juga menjadi kes polis dan atas faktor keselamatan dia terpaksa dipindahkan dan dirahsiakan keadaannya. Oleh kerana itu saya langsung tidak mendengar khabar berita darinya sejak itu.
Alhamdulillah, saya fikir ini hadiah yang cukup besar buat saya di Ramadhan kali ini. Moga Allah melimpahkan kepada dirinya dan kita semua dengan hidayah dan taufik-Nya. Semoga kita terus berusaha mengubah diri menjadi yang lebih baik dan terus-terusan istiqamah dalam kebaikan.

Dalam keadaan saya rasa agak mustahil untuk kembali berhubung dengannya, Allah itu lebih berkuasa. Mungkin tugas saya belum selesai, lalu Allah pertemukan kembali  saya dengannya. Moga diberi petunjuk oleh Allah untuk terus membimbing manusia (termasuklah diri saya sendiri!) dan kekuatan untuk melaksanakannya.

Allah, Allah..
pada-Nya kita semua berharap.
Moga Allah mengampunkan dosa-dosa kita.


Ramadhan Kareem!
27 Ramadhan 1433H

Tuesday, June 19, 2012

Missing this place

How, I've been missing this place so much! Sorry dear blog, sangat lama tak menjengah anda. Datang-datang je dah berubah segala. I've always wanted to write, but I just couldn't find the right time to do so.. Ini pun kerja masih berlambak tak siap-siap.

A quick post to wish all the newly weds.. Barakallahu lakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a baina kuma fi khair! 

Doalah semoga saya dapat buat post khas, sebagai nasihat dan perkongsian dalam berumah tangga.
Haha..macam bagus je. But really, I just want to share so that some time later it can be useful for me too ;)

(Rasa sangat bahagia bila tengok orang berumah dan bertangga...hehe)

P/S: Doakan my dear Hazim, he is not really in a good shape. But always as active as ever ;)