Sunday, September 5, 2010

29:57

Saya kira pertama kali bertemu ukhti itu semasa sama-sama iftar. Saya kira ukhti itu baru menjejakkan kaki dan cuba menyesuaikan diri dengan suhu bumi Malaysia sekembalinya daripada negara matahari terbit itu. Malam itu kami taaruf ringkas dan ukhti ini menjadi tetamu istimewa dalam usrah kami. Subhanallah, kami bertemu di bulan Ramadhan dan berpisah di bulan Ramadhan setahun kemudiannya!

Ukhti Raihana binti Zainuddin, seorang yang sangat ceria dan sentiasa tampak senyuman di wajahnya. Masih berbaki ingatan semasa kami mukhayyam bersama. Ditakdirkan kami satu kumpulan, berempat dalam khemah yang sama. Bersama-sama merasa kepayahan hidup menjadi keluarga paling miskin dalam kampung mukhayyam itu. "Miskin harta, tapi kaya jiwa!" Seloroh seorang ukhti yang lain. Benar, biar kumpulan kami paling tidak berharta..tapi terasa sangat bahagia bersama. Tidak perlu sibuk-sibuk memikirkan mahu memasak apa untuk juadah tengah hari dan malam, kerana kami tidak punya apa-apa melainkan sedikit beras dan sardin. Lalu berdikit-dikit kami makan dan berkongsi lapar dan dahaga. Subhanallah..itulah perasaan yang sungguh membahagiakan. Juga di penghujung petang, Allah menghadiahkan kami pelangi yang indah. Lalu kami bergembira bermain dan berkasih sayang bersama di bawah jaluran indah warna-warnanya.

Di Subuh hening 26 Ramadhan ini, sepintas lalu saya membaca surah al-Ankabut sehingga meniti ayat ke- 57. Ayat yang membuatkan Khalid al-walid mengulang-ulang bacaannya kerana bergetar seluruh tubuh mengingatkan tentang kematian. Bacaan yang langsung menyebabkan jin pengsan mendengarkannya! Subhanallah. Betapa lebih dekat lagi tazkirah yang Allah hendak beri kepada saya pada hari ini. Saat menerima berita pemergian ukhti Raihana, saya tergamam. Membaca berulang-ulang mesej tentangnya. Innalillahi wainnailaihi raji'un... sungguh istimewa kerana dipilih Allah untuk pergi di bulan yang sungguh mulia ini. Moga di saat dipanggil pergi, ukhti sudah pun dibersihkan dari dosa-dosa yang lalu dan kembali menemuinya dalam keadaan yang terbaik.

Di petang yang hening, perkarangan rumah kampung ukhti kita dipenuhi dengan saudara dan sahabat-sahabat. Saya berpeluang melihat jenazah ukthi buat kali terakhir. Menatap wajah ukhti di balik kain kafan yang membalut tubuh, hati bergetar.
Subhanallah, adakah begini keadaanku nanti? Saat suatu masa nanti tubuh terbujur kaku, tidak mampu berbuat apa-apa kerana masa di dunia sudah tamat. Dipanggil menghadap Ilahi untuk dinilai segala amal! Lalu bagaimana amalku saat itu? Apakah dosa-dosaku telah terhapus, atau masih ada dosa-dosa baru yang aku lakukan?

Perlahan saya membacakan al-Fatihah dan berdoa, moga ukhti dalam keadaan terbaik menemui Tuhan dan juga buat diri sendiri..moga ini tazkirah terbaik untuk saya sentiasa mengingati mati.
Melihat ibunya yang duduk di sebelah jenazah ukhti dan cuba menahan sebak dalam riak wajahnya yang sayu. Sesekali dia menyapu wajah ukhti dan mengucup perlahan. Saya bersalaman dengan ibunya dan meminta izin untuk mengucup arwah. Wajah ukhti terasa sejuk dan wangi. Tidak berapa lama selepas itu, solat jenazah dimulakan. Alhamdulillah, sekali lagi diberi peluang oleh Allah untuk melakukan solat jenazah bersama-sama. Dalam hati saya memohon doa, moga ini tarbiyah dan tazkirah buat kita semua yang masih hidup. Peringatan bahawa bila-bila saja Allah bisa menamatkan tempoh kita di dunia. Lalu bagaimanakah keadaan yang kita mahu berada saat dipanggil nanti?

Usai solat saya masih melihat-melihat jenazah ukhti yang terbujur di atas katil di sudut rumah kampung itu. Ada tompok-tompok darah yang menembusi kain kafan yang membaluti. Mungkinkah ukhti menemui syahid kerana darahnya masih mengalir? Subhanallah, andai benar..tiada yang lebih saya impikan berbanding berada dalam keadaan sebegitu juga! Moga Allah menganugerahi syahid buat ukhti tercinta, juga buat asy-syahid di dalam kandungannya!
Moga ukhti Raihana bisa mengecap Raihannah di dalam syurga kelak. dan moga saya dipertemukan dengan ukhti kembali di syurga!

Subhanallah wa astaghfirullah, moga kita giat berusaha menempatkan diri untuk layak berada di syurga Allah! teruskan berusaha memperbaiki diri dan beramal untuk redha-Nya. Berazam untuk siap-siapa setiap detik dan ketika, kerana ajal itu datang tanpa amaran..dan tidak juga dapat ditunda! Lalu bagaimana keadaan akhir kita, kita sendiri yang memilihnya! Oleh itu betapa perlu kita berusaha untuk istiqamah, moga di saat Izrail datang bertandang kita sedang dalam ketaatan kepada Tuhan.

2 comments:

Anonymous said...

kenangan tercipta utk jd bekal mgugahkan jiwa!

jzkk kd, sharing yg sgt terzoukk

ya ALLAH,kurniakan kami kesudahan yg terbaikk, teguhkan hati2 kami


luv fillah

yg sama2 dlm khemah n iftar bersama2

Ummu Abdullah said...

sharing yang sangat membangkitkan iman dan kesedaran... jzkk kd.. miss u so much... =)

rindu untuk dengar bait2 ayat dari kd... sungguh masa sangat cemburu...