Tuesday, June 2, 2009

Tidak tahu diuntung

Dia berjanji
saat lakunya mendapat murka Ilahi
akan disesatkan makhluk manusia itu seluruhnya
akan diheret mereka ke gerbang neraka
biar sama-sama menderita azabNya.

Dia berjanji
tanpa lelah janji itu mesti ditepati
kerana makhluk manusia itu musuh utamanya
makhluk manusia yang jijik dibuat dari tanah cuma
sedang dia dicipta dari api yang hebat membara.

Dia berjanji
dan kini dia mampu tersenyum
melihat makhluk manusia itu
semakin lemah dalam dakapannya
gembira menjadi hamba
kepada sang musuh yang utama.

Ah manusia,
inikah makhluk mulia ciptaan Tuhan?
sedang mereka bersuka-ria mengingkari Tuhan.
apakah mereka lupa pada janji musuh itu?
bila hidup ini adalah pertarungan
dan mahu kembali ke syurga abadi itu satu perjuangan
apakah manusia itu tidak ingat bahawa dia akan dikembalikan?

Pastinya dia
tidak pernah leka untuk membuang masa
memperjuangkan yang batil dan menyesatkan
sedang para pejuang al-haq
masih diulit mimpi dusta dunia
dan debu indah merona
melakukan yang sia-sia
membiarkan jutaan manusia dalam kesesatan.

Ah,
dia tertawa geli hati
melihat pejuang al-haq itu
kononnya sedang menegakkan kebenaran
duduk bersimpuh
bermain-main dalam barisan
sedang barisan yang memperjuangkan kebatilan
lebih kukuh dan utuh
setia berjanji dengan teguh.

Ah manusia!
apakah kau masih mahu terleka?
pabila kau kata hidup ini adalah perjuangan,
masakan kau punya masa untuk berliburan?
bila hidup ini adalah satu peperangan,
antara sang syaitan dan keturunan Adam
lantas kau lebih dulu menyerah
dan jatuh berguguran.

Ah manusia!
Tuhan menciptakan kau sebaik-baiknya.
Kau makhluk istimewa ciptaan Yang Esa
mahu diberinya kau syurga segala
andainya kau tetap memilih untuk mengikut sang penggoda
masih punya waktu yang sia-sia
untuk apa lagi kau mahu mengidamkan syurga?

Nyah kau, makhluk tidak tahu diuntung!

4 comments:

NHalimah said...

ooo...dasatnya puisi ni...deep meaning

Hilman Nordin said...

Sharp.

Janji Setan ditepati.
Janji kita janji Melayu?

X jadi.

PuteriBonda Anis said...

salam kak kd

salam kak kd
ouh, sedapnyer puisi nie
tersentuh di sanubari
huhu

sungguh alpa manusia kini
termasuk diriku ini

terima kasih kak kd
atas puisi ini

*muhasabah diri*

Mama Hazim said...

alhamdulillah. Segala pujian selayaknya kembali untuk Allah.

Peringatan buat diri saya terutamanya,
hidup ini adalah medan pertarungan.
moga kita tak tersesat dan terperdaya..
kerana syurga itu layaknya untuk kita..
maka, marilah berusaha untuk ke sana!!

^__^