Saturday, May 3, 2008

Gembira-kah?


Riuh. Suara mereka kedengaran begitu gembira meraikan malam yang mereka tunggu-tunggu. Gembira? Teruja? Dan aku masih di sini, namun aku pasti aku orang yang lebih gembira daripada mereka. Aku tak perlu gelak tawa untuk menunjukkanya dan aku tak perlu bersorak-sorai untuk meraikannya. Yang pasti aku memang gembira, gembira dikurniakan hadiah paling berharga, dikurniakan insan-insan paling bermakna. Sesuatu yang tidak pernah aku jangka untuk mendapatkannya dan begitu sukar untuk diperoleh jika bukan atas izin-Nya. Alangkah indah jika mereka dapat menikmati bersama, seperti apa yang aku rasa. Islam itu indah, dan lebih indah jika semua orang dapat menikmatinya. Dan aku gembira untuk mengenali Islam semula. Gembira yang hanya mampu digambarkan dengan rasa terharu dan kesyukuran tidak terhingga kepada Yang Maha Esa atas kurnia-Nya yang tidak ternilai harganya.

Baru sahaja minggu lepas aku bertemu dengan cikgu. Entah macam mana kata-kata cikgu menyebabkan aku sebak. Cepat-cepat aku tahan air mata itu daripada tumpah. Aku tahu, cikgu tidak bermaksud menujukannya kepada siapa-siapa. Tapi, aku terasa seperti apa yang dikatakan oleh cikgu seperti mengena diriku dan betapa aku sangat bersyukur dibawa ke jalan ini hingga kini. Cikgu sebenarnya sedang memberitahu, apa yang dia usahakan dan harapkan ialah suatu perubahan yang lahirnya daripada hati. Bukan sesuatu yang berasal daripada luaran yang dilakukan secara paksaan. Ibarat emas yang disadur pada besi yang berkarat, lama-kelamaan akan tertanggal dan terlihat juga keburukan yang di dalam. Saduran itu tidak kekal. Tetapi sekiranya daripada dalaman lagi kita usahakan untuk menjadi emas, pastinya emas itu lebih kukuh dan bakal bersinar. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas (Analogi ini adalah ciptaan saya sendiri. harap maklum). Seperti yang dikatakan oleh cikgu, begitulah juga aku. Aku berasa sangat bersyukur kerana perubahan yang aku lakukan ini adalah didasari atas pilihanku sendiri. Atas perasaan yang dicampakkan oleh Ar-Rahman ke dalam hatiku, atas pertolongan Ar-Rahiim untuk membuat aku cepat-cepat membuka pintu hati dan menerima perasaan itu. Dan aku bersyukur kerana tiada siapa yang memaksa aku untuk berubah (kerana aku memang seorang yang degil, sekiranya dipaksa pasti aku memberontak). Semoga perasaan kurniaan Allah ini masih kekal dan terus teguh mendasari hati ini. Insya Allah...

Bukankah, jika Allah ingin memberikan kebaikan kepada seseorang, Allah akan memberi kebaikan dalam Agama-Nya? dan Aku amat bersyukur untuk dianugerahkan kebaikan yang tidak ternilai ini.

Malam itu aku bertemu secara maya dengan saudaraku di NZ. Tanpa semena-mena hatiku berasa begitu sebak. Teringat tatkala kami kali pertama bertemu, di suatu kawasan jauh di pinggir desa. Di situlah, Allah memancarkan hidayah-Nya terus masuk ke hatiku. Walau aku tidak bercadang sebenarnya untuk ke sana, walau aku ke sana dalam keadaan yang amat terpaksa. Namun, itulah perancangan Allah yang Maha Hebat. Di sana aku dipertemukan dengan seorang teman, yang menjadi cahaya dan membawa cahaya dalam hatiku. Dan mengingatkan itu, air mataku tumpah, tidak tertahan lagi. Aku bukannya sedih berjauhan dengannya, tidak juga. Aku amat bersyukur, syukur kerana dikurniakan seorang teman yang telah membawaku ke sini, membasahkan hatiku dengan pesanan dan nasihat, menggembirakan hatiku dengan janji-janji Allah, memberi semangat tatkala hati ini mula lesu dan sentiasa menggilap hati ini bila dihinggap debu-debu penuh noda.

Aku: Sahabat, aku ingin menjadi seperti Abu Bakar...

Dia: Pertama kali aku mengenali mu, aku tahu kau memang seperti Abu Bakar. Kau bawa teman-temanmu... sama seperti Abu Bakar.
Aku: ...

(Tapi... aku mahu lebih dari itu. Aku mahu jadi secekal dan setabah hatinya. Aku mahu mencintai Rasulullah seperti yang dicintainya. Aku mahu... Tapi, mampukah aku? T_T)

P.S: Saat menulis coretan ini, aku mendapat panggilan telefon dari rumah dari adik perempuanku yang di darjah 4. Nyata dia kebosanan. Masakan tidak, ditinggalkan sendirian bersama adiknya yang di darjah satu dan abang yang di tingkatan satu (dan belum matang, kerana mereka selalu bergaduh). Oh, di manakah ahli keluargaku yang lain pada waktu malam seperti ini??

P.P.S: This is not the first time that they have been left home alone. Usually, the two youngest kids. I feel so sorry for them, and feel very bad that I couldn't accompany them. Sometimes I just wish that my parents will be more concern on what is happening to the family instead of ... work. Oh.... T_T

P.P.P.S: and I still have another two papers to go for the final exam.. Ayuh, berjuang!!!

No comments: