Tuesday, January 1, 2008

Pinjaman, peminjam dan meminjam

Tiba sudah tahun 2008. Semester baru pun bermula. Walaupun saya masih belum kembali ke kampus, bahang kerinduan untuk kembali semakin menyengat. Bukan kerana sudah bosan memerap di rumah, tetapi saya ada misi yang perlu direalisasikan. Misi yang saya harap dapat terus membangunkan diri ini, mendorong saya melakukan yang terbaik dalam hidup.

Kala sibuknya ibu bapa menyediakan persiapan untuk anak-anak ke sekolah, menghabiskan ratusan ringgit untuk keperluan anak-anak, saya cukup kecewa lantaran terdapat anak-anak yang tidak menghargai pengorbanan ibu bapa mereka. Mungkin mereka tidak pernah merasa hidup susah, hidup yang sentiasa dilimpahi dengan apa sahaja di depan mata, dicurahi dengan kehidupan materialistik yang digilai rata-rata golongan manusia. Kadang-kala saya bingung. Bagaimanakah harus saya lakukan untuk membuatkan mereka faham tentang erti kehidupan ini.

Buka sahaja portal kampus, terpapar dalam forum-forum utama pelajar-pelajar sibuk membincangkan mengenai wang pinjaman yang masih belum diterima. Walaupun saya yang memegang biasiswa tidak berkenaan dalam hal ini, saya turut terkena tempiasnya. Masakan tidak, biasiswa yang diterima kurang RM1000 dari yang biasa membuatkan saya sedikit gusar. Setelah dicongak-congak, saya hanya mempunyai kurang dari RM600 untuk perbelanjaan sepanjang semester. Namun hal ini tidaklah membuatkan saya bingung sehingga tidak mampu makan mahupun tidur. Saya cuma sedikit hairan, ke manakah agaknya wang itu pergi?

Pinjaman, peminjam dan meminjam.
Andainya pada suatu hari, teman baik anda memberi kereta kesayangannya untuk dipinjamkan kepada anda (dan kereta itu sememangnya adalah kereta idaman anda selama ini), apakah perasaan anda? Pastinya anda berasa sangat gembira, teruja dan sangat berterima kasih kepada teman tersebut. Namun begitu, teman itu mengenakan beberapa syarat untuk anda menggunakan kereta tersebut. Syarat-syarat tersebut tidak lain dan tidak bukan pastilah untuk memastikan kereta itu sentiasa berada dalam keadaan baik sehinggalah tiba saat anda perlu memulangkan kereta itu kembali. Di antara syarat-syarat tersebut ialah: hendaklah mematuhi undang-undang jalan raya, tidak memandu dalam keadaan letih atau mengantuk, sentiasa memeriksa keadaan kereta sebelum perjalanan, tidak membiarkan orang lain memandu kereta itu dan sentiasa memastikan kereta diparkir ditempat yang selamat dan dikunci dengan cermat. Kereta itu merupakan suatu pinjaman yang diberikan oleh teman anda atas suatu kepercayaan bahawa anda dapat menjaganya dengan selamat. Sekiranya teman anda tidak mempercayai anda, dia pasti tidak akan membiarkan kereta kesayangannya dipandu oleh orang lain. Anda sebagai peminjam mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap barang pinjaman tersebut. Anda seharusnya sentiasa sedar bahawa anda hanyalah meminjam kereta tersebut, iaitu kereta itu bukanlah hak anda yang sebenar yang anda boleh berbuat sesuka hati anda sendiri walaupun anda sentiasa terbayangkan kereta itu menjadi milik anda sendiri. Anda sebagai orang yang meminjam juga perlu mematuhi syarat-syarat yang diberikan oleh teman anda atas kepercayaan yang diberikan dan tanggungjawab yang anda terima. Sekiranya anda tidak mematuhi syarat-syarat yang diberikan, anda boleh dikategorikan sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab, tidak tahu berterima kasih dan tidak boleh dipercayai. Sebagai akibatnya, anda mungkin menyakiti hati teman anda dan merosakkan hubungan persahabatan yang telah sekian lama dibina.

Begitu juga dengan hidup ini, segala-galanya adalah milik Allah. Dialah Pencipta dan Pemilik apa sahaja yang terdapat di seluruh alam ini termasuklah diri kita sendiri. Dialah Pemilik diri kita dan kita hanyalah peminjam yang meminjam jasad, ruh dan segala yang ada di sekeliling kita. Kita tidak akan ada sekiranya bukan kerana Allah yang mewujudkan kita. Kita adalah sesuatu yang tidak punya apa-apa, lemah dan tidak berkuasa. Allah yang memeberi kita pinjaman - jasad, akal, ruh, alam dan segala suatu yang ada di dalamnya. Terlalu banyak untuk dihitung nikmat yang telah diberikan. Dan pinjaman ini diberikan atas suatu kepercayaan dan tanggungjawab. Syarat dan peraturan yang diatur dalam kehidupan ini juga adalah untuk memastikan kita berada dalam keadaan baik sekembalinya kita kepadaNya kelak. Kita yang merupakan seorang peminjam 100%, mempunyai tanggungjawab yang besat untuk memelihara diri ini berdasarkan syarat dan peraturan yang ditetapkan. Adalah tidak layak untuk kita menggunakan mana-mana bahagian yang dipinjamkan untuk tujuan selain Allah, apatah lagi untuk perkara-perkara yang amat dilarang oleh-Nya. Adalah tidak layak untuk kita menyombong diri terhadap kelebihan yang ada padahal ia bukanlah milik kita, tetapi suatu pinjaman sahaja. Ibarat orang yang bermegah-megah dengan kereta 'pinjam'nya sahaja. Adakah patut kita yang meminjam daripada Allah mempunyai sembahan-sembahan lain selainNya? Apakah patut kita yang masih perlu bergantung kepadaNya menyombongkan diri dan mengingkari perintahNya? Melakukan laranganNya? Menjadi si peminjam yang sombong, tidak bertanggungjawab dan tidak tahu berterima kasih terhadap pinjaman-pijamannya? Menjadi si peminjam yang lupa daratan, merasakan segalanya seolah-olah miliknya dan lupa suatu hari nanti segalanya perlu dikembalikan semula kepada pemiliknya yang Abadi? Menjadi peminjam yang sombong dan sering mempersoalkan syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan, walhal syarat dan peraturan tersebut adalah untuk menjamin keselamatan dirinya sendiri?

Sedarlah wahai peminjam sekalian, anda masih meminjam dan akan terus meminjam. Oleh itu, bertanggungjawablah terhadap pinjaman-pinjaman anda.

p.s: Saya juga seorang peminjam, maka tulisan ini adalah peringatan buat semua peminjam terutamanya penulis sendiri.

3 comments:

Hilman Nordin said...

salam... hm at first i thought the direction of this post was going to someplace else. ye lah, org sibuk ckp pasal pinjaman nak blaja, thot you are going to write bout tht.

you came to different angle. this is the same with the hindraf story.. i thought it is something to bash them, but again, you see things in different perspective.

a great reminder! hmm.. peminjam ini mengharapkan redha yg meminjamkan bila masa kita bertemu semula untuk menghisab apa yg kita dah lakukan dengan barng pinjaman... menuju mardhatillah...

Rina said...

Salam..

kd, this post is very thought provoking.. baca dari awal sampai habis, penuh dengan peringatan n pengajaran..

=)

Mama Hazim said...

hmm.. apa yang ditulis semuanya dengan menggunakan apa yang telah dipinjamkan kepada sahaja. Praise be to the creator. By the way, I'm always looking forward to use analogies to simplify and clarify things. I hope it will helps more in understanding ourselves and this deen itself. I have just read a book by Ali al-Thonthowi,and it is really good. Some of his analogies seems to be similar just the way I was thinking to put it as =D