Monday, January 28, 2008
Rumah yang sangat jauh...
Wahhh.. lamanya tak update blog!! Dah bersawang-sawang pun, rumput pun dah makin tinggi. Sibuk sangat ke? Hmm.. Maybe I'm just out of ideas, or maybe I'm out of time (duh?), or maybe I'm just giving excuses.. and this is my post that I've been keeping so long as draft. A few weeks back, almost a month I should say. I wrote this the day after I'm back from Fraser's Hill and here it goes....
Semalam baru pulang dari Fraser's Hill. Bermula dari pagi Sabtu kami memulakan perjalanan menyusuri jalan penuh liku untuk ke puncak. Akhirnya kami tiba juga ke sebuah rumah tersergam indah di puncak bukit. Banglo yang dikelilingi pohonan bunga yang sungguh ceria. Suasana damai dan nyaman. Begitu berbeza dengan terik pekan TM. Untuk sampai ke sana bukanlah mudah. Pelbagai halangan dan cabaran terpaksa diharungi. Jalan yang terlalu banyak selekoh sahaja sudah memeningkan kepala. Bagi sesiapa yang tidak tahan, terpaksa merelakan isi perut dimuntahkan. Mual, loya dan sangat meletihkan. Apatah lagi kepada si pemandu yang harus fokus di sepanjang perjalanan bagi memastikan keselamatan penumpang-penumpang yang lainnya. Si pemandu harus cekap mengawal kenderaan, harus bijaksana membuat keputusan, harus berpengetahuan luas mengenai selok belok jalan agar tidak tersesat.
Manusia yang ditugaskan sebagai Khalifah Allah juga seharusnya menjadi pemandu yang bijak agar yang dipandu tidak tersalah arah. Harus fokus atas jalan yang ingin dibawanya. Bersedia dari segi mental dan fizikal. Sekiranya pemandu tewas di perjalanan, bagaimana pula dengan mereka yang dipandu? Pemandu perlu sedar akan bahaya yang mungkin muncul di sepanjang perjalanan, oleh itu seharusnya dipersiapkan segala kelengkapan untuk menghadapinya. Keselamatan yang dipandu bergantung kepada pemandunya. Pemandu yang leka dan tidak fokus, tidak cekap megawal kenderaannya mungkin menyebabkan kenderaan terjerumus ke curam-curam yang berbahaya. Pemandu perlu mahir tentang selok belok perjalanan, semoga yang dipandu selamat tiba ke destinasi yang dituju.
Rumah indah yang dituju sememangnya memerlukan pengorbanan untuk ke sana. Cabaran dan dugaan yang tidak henti-henti. Sekiranya kita tersungkur di perjalanan, bingkaslah bangun. Jangan dibiarkan diri terdampar keseorangan dan dibawa oleh tangan-tangan kotor ke lembah berbahaya. Dan sekiranya di perjalanan kita berjumpa dengan mereka yang tersungkur, hulurkanlah bantuan. Pimpinlah tangan mereka, bawalah mereka menaiki kenderaan kita. Jangan biarkan mereka keseorangan dan hanya melihat mereka berlalu pergi dengan kenderaan yang menghala ke jalan yang salah.
Di sepanjang perjalanan, pastinya kita menemui pelbagai kenderaan. Ada yang kecil, ada yang besar. Ada yang canggih, ada yang konvensional. Ada yang laju, ada yang perlahan. Tidak kisahlah anda menaiki kenderaan yang mana, yang pasti kita menuju destinasi yang sama. Tetapi, pastikan di sepanjang perjalanan janganlah sampai melanggar antara satu sama lain. Mereka yang menaiki kenderaan yang besar dan canggih, janganlah memandang hina mereka yang berkenderaan kecil. Bukankah kita sama-sama hendak ke sana? Seharusnya kita sama-sama menyokong antara satu sama lain. Bukankah begitu lebih baik? Kenderaan yang pelbagai jenis mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kenderaan yang perlahan mungkin terjumpa manusia yang perlukan bantuan, yang mungkin tidak disedari oleh kenderaan yang laju. Kenderaan yang laju, boleh segera memberi bantuan kepada musafir yang keseorangan. Semuanya mempunyai kelebihan masing-masing.
Semoga kita tiba ke destinasi yang dituju dengan apa jua kenderaan yang kita naiki. Berjaya mengharungi cabaran dan dugaan di sepanjang perjalanan. Tidak diperdaya oleh papan tanda yang menyesatkan. Tidak ditarik oleh nikmat-nikmat palsu yang dijaja di tepian jalan. Tidak terikut panggilan-panggilan yang ingin membawa kita menuju jalan yang salah. Tidak terikut mereka yang sedia menolak kita jatuh ke cenuram yang dalam. Tidak tertipu dengan keindahan yang sementara di kaki bukit, agar kita tetap teruskan perjalanan mendaki hingga ke puncak.
Menuju ke destinasi, rumah yang abadi...
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Teringat seorang sahabat Rasulullah, Abu ad-Dardaa'. Suatu malam ada tetamu ingin menumpang tidur di rumah beliau. Abu ad-Dardaa' menyambut tetamu itu dengan penuh mesra dan menyediakan tempat tidur untuk mereka. Menjelang malam, suhu menjadi semakin sejuk. Tetamu itu kesejukan dan tidak dapat tidur lena. Oleh kerana tidak tahan dengan keadaan yang terlalu sejuk, tetamu itu memberanikan diri untuk meminta selimut daripada tuan rumahnya, Abu ad-Darda'. Dilihatnya Abu ad-Dardaa' hanya tidur beralaskan kain yang sangat nipis, dan tiada sebarang perabot lain di biliknya. Tetamu itu berasa sungguh terkejut kerana Abu ad-Dardaa' merupakan seorang yang kaya sebelumnya. Esoknya, tetamu itu bertanya kepada Abu ad-Dardaa' akan barang-barang yang terdapat di rumahnya dahulu. Abu ad-Dardaa' menjawab "Barang-barang itu telah saya hantar ke rumah yang sangat jauh, yang saya cuba persiapkan. Saya akan menyusulnya kemudian.."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment